Diterbitkan pada 06/03/2013
Bukit Gantang, 7 Mac- Barisan Nasional Parlimen Bukit Gantang sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihanraya Umum ke-13 dengan tekad untuk merampas kembali kerusi Parlimen Bukit Gantang yang disandang oleh PAS selain mempertahan kerusi DUN Trong (diwakili BN) selain kerusi DUN Changkat Jering yang kini diwakili wakil rakyat Bebas yang menyokong BN selain merampas kerusi Kuala Sepetang yang kini diwakili PKR.
Pengerusi BN Bukit Gantang, Datuk Rosli Husin berkata, BN Bukit Gantang hanya menunggu paluan gendang perang dari Datuk Seri Najib, kerana jentera BN Bukit Gantang sudah digerakkan sekian lama, untuk memastikan parlimen dan kesemua 3 DUN di sini dapat dikembalikan sepenuhnya kepada BN untuk membantu kemenangan selesa 2/3 di Dewan Rakyat, selain memastikan BN terus mentadbir di negeri Perak selepas PRU13 ini.
"Kita telah mengerakkan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Parlimen Bukit Gantang, kita dapat melihat dan kita tinjau terdapat 80 peratus dari 39 PDM sudah beroperasi sepenuhnya. Dalam masa yang sama, kumpulan anak-anak muda turut bersama dalam banyak gerakkerja BN, malah dalam perjumpaan dengan kumpulan ini baru-baru ini, walaupun program yang dibuat kecil-kecilan sahaja, namun sambutan yang diterima sangat memberangsangkan.
Dalam masa yang sama, penerimaan rakyat juga nampaknya kembali bersama BN," ujarnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang. Ujarnya, tsunami politik yang berlaku pada tahun 2008 sehingga BN hilang kuasa di beberapa buah negeri termasuk Perak, merupakan satu petunjuk yang diberikan oleh Allah, yang mana mungkin untuk menyedarkan wakil-wakil dari BN supaya terus mendekati dan menyelesaikan masalah rakyat secara keseluruhannya.
"Ini menjadi pengalaman dan pengajaran, bagi saya sendiri kerana di Parlimen Bukit Gantang, hanya saya sahaja yang mewakili BN menang di kerusi DUN Trong, selama 11 bulan diperintah oleh kerajaan Pakatan sungguh menyiksakan.
Kesannya sehingga ke hari ini, khususnya buat pengundi di sini kerana Ahli Parlimen iaitu Nizar Jamaluddin (selepas menang Pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang), hanya boleh turun berceramah tiga bulan sekali tetapi tugasnya sebagai wakil rakyat, tidak dilaksanakan.
Dia tidak memegang amanahnya sebagai wakil rakyat, malah peruntukan sebagai Ahli Parlimen, tidak pernah disalurkan kepada kampung-kampung," tambahnya.
Dalam masa yang sama, selama 11 bulan diperintah kerajaan pakatan menunjukkan bahawa yang memerintah Perak bukanlah Nizar Jamaluddin sebaliknya dua wakil dari DAP iaitu Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming.
Mereka berdua ini sebagai sendi kepada Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar. "Boleh dikatakan bahawa perlantikan Nizar sebagai Menteri Besar kerana terpaksa, walaupun dia sebenarnya tidak disukai oleh kumpulan dari DAP ini.
Hakikatnya, selama 11 bulan pakatan memerintah Perak, tidak ada satu pun kerja yang dibuat mereka merugikan kita," tambahnya lagi.