Khoo Kay Kim |
Pilihan Raya Umum ke-13 ini akan melihat Barisan Nasional (BN) akan mendapat tentangan hebat daripada pakatan pembangkang tetapi akhirnya keputusan berpihak kepada BN yang akan terus mendapat mandat menerajui kerajaan, kata penganalisis politik tempatan Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.
Katanya, berdasarkan perkembangan semasa pakatan pembangkang sememangnya akan mencuba berhabis-habisan untuk mendapatkan kepercayaan rakyat menjelang hari pengundian tetapi akhirnya BN lebih diyakini.
“Pakatan pembangkang akan memberi saingan dalam pelbagai aspek kepada BN tetapi dengan pengalaman dan kematangan BN yang dahulunya Parti Perikatan iaitu sejak 1955, maka akhirnya BN akan menang PRU ini,” katanya kepada UMNO-Online.
Ujar beliau, biarpun ada khabar angin yang mengatakan bahawa akan berlaku kekacauan dan huru-hara pada hari pengundian tetapi ianya diwujudkan oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab dan mahu merosakkan sistem demokrasi.
“Sejak pilihan raya pertama hinggalah tahun 2008, rakyat tidak pernah berdepan dengan masalah dalam pilihan raya dan mana-mana parti yang menang akan membentuk kerajaan dan perlu membuktikan kebertanggungjawabannya kepada masayarakat.
“Biarlah rakyat yang menjalankan tugas mereka sebagai pengundi dengan memilih serta membuat penilaian berdasarkan kepada pelbagai perkara yang berlaku antara BN dan pakatan pembangkang. Masyarakat hari ini adalah mereka yang mampu berfikir dengan matang dan mempunyai latar pendidikan yang baik untuk membuat keputusan.”
Ujar beliau yang juga profesor di Universiti Malaya, terpulanglah kepada ahli politik yang mana mereka perlu bijak dalam mengaplikasikan pelbagai insiden yang berlaku.
“Apa yang berlaku pada 13 Mei 1969 adalah antara kesan daripada pilihan raya yang sangat memeranjatkan tetapi ia tidak merebak hingga ke seluruh negara apabila anggota berkuasa dapat mengawalnya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau juga percaya bahawa kekacauan tidak akan berlaku berikutan kesungguhan pihak berkuasa yang sentiasa bersedia dalam menjaga ketenteraman awam dan memastikan kelangsungan keamanan dalam negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak membubarkan Parlimen pada 3 April lalu dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada Rabu ini bagi menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) selepas. -