Selasa, 4 Jun 2013
Pemuda Umno Ipoh Barat sudah bertindak, Pemuda Umno Larut dan Taiping bila lagi?
Pemuda UMNO Ipoh Barat, 20 NGO buat aduan polis
IPOH 3 Jun - Sebanyak 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk UMNO membuat laporan polis terhadap dua individu yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menerusi laman sosial Facebook dan Twitter.
Laporan tersebut dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi dengan diiringi oleh kira-kira 50 ahli pergerakan itu serta wakil NGO di Balai Polis Sungai Senam di sini, kira-kira pukul 1 petang ini.
Antara NGO yang turut serta adalah Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Perak, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kinta, Gerakan Belia 4B Ipoh Barat, Suara Anak Muda 1Malaysia, Majlis Belia Malaysia (MBM), Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Perak, Persatuan Bas Stesen Ipoh, Majlis Tindakan Rakyat, Persatuan Belia Islam Perak dan Persatuan Belia 4B Parit.
Syamsul Baharin ketika ditemui mendakwa, dua individu berkenaan iaitu Melissa Gooi dan Effi Obefiend bersikap biadab dan tidak menghormati institusi diraja apabila memperlekehkan Yang di-Pertuan Agong secara terbuka melalui laman sosial berkenaan.
Kenyataan tersebut dakwa beliau, juga disifatkan sebagai mencabar institusi diraja dan individu terbabit perlu dilucutkan kerakyatan serta-merta.
"Kami berasa terkejut dan amat marah berhubung kenyataan celupar mereka yang menghina Yang di-Pertuan Agong. Mereka ini sangat melampau kerana tidak menghormati langsung kedudukan baginda.
"Kenyataan mereka menerusi Facebook dan Twitter adalah keterlaluan dan tidak boleh diterima. Golongan seperti ini perlu dilucutkan kerakyatan mereka serta-merta," katanya.
Mingguan Malaysia semalam melaporkan sekumpulan pengguna Facebook telah menghina titah ucapan Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sempena Hari Keputeraan baginda yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada Jumaat lalu menerusi akaun milik seorang wanita yang dikenali sebagai Melissa Gooi.
Dalam pada itu, seorang blogger, Effi Obefiend menerusi laman Twitternya turut menulis kenyataan berbentuk penghinaan terhadap baginda.
Syamsul Baharin berkata, pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri perlu melakukan siasatan segera dan mengambil tindakan tegas terhadap dua pemilik akaun berkenaan.