Khamis, 18 Julai 2013

3 tuduhan menyebabkan blogger porno menjadi anjing hilang ekor

Alvin Tan Jye Yee dan pasangannya Vivian Lee dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana menghina agama Islam dengan memuat naik gambar makanan haram sebagai juadah berbuka puasa dalam Facebook, dua minggu lalu.

1. Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa menerbitkan satu penerbitan menghasut di laman sosial facebook "Alvi dan Vivian-Alvivi".  Penerbitan itu mengandungi gambar dan komen yang bertajuk "Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh.. wangi, enak, menyelerakan!!!" yang mengandungi logo halal dan ayat-ayat yang mempunyai kecenderungan menghasut.  Mereka didakwa mengikut subseksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948. Bagi kesalahan pertama kali, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan berikutnya, boleh dipenjara maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.

2. Tuduhan kedua mereka juga didakwa memuat naik penerbitan itu di Syed Restoran, Jalan Dang Wangi, yang mana perbuatan itu berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan agama berlainan. Mereka didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.

3. Bagi pertuduhan ketiga, kedua-dua tertuduh didakwa mempamerkan gambar-gambar yang didapati lucah di www.alviviswingers.tumblr.com. Mereka didakwa mengikut subseksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 yang membawa hukuman denda minimum RM10,000 atau maksimum RM50,000 atau boleh dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.