Jumaat, 16 Ogos 2013

Exco Menafikan Tuduhan Bahawa Pas Tidak Bawa Pembangunan di Kelantan

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Kelantan menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya tiada pembangunan dan kemajuan yang dibawa PAS walaupun berjaya mengekalkan kuasa pemerintahan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Mei lalu.
 
Exco Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Hanifa Ahmad berkata, projek Lebuh Raya Rakyat Kota Bharu - Kuala Krai dan Stadium Bukit Merbau misalnya sedang dalam rundingan dan kata putusnya akan diketahui pada penghujung bulan ini.
 
"Ada perkembangan, kertas kerja dihantar pada akhir bulan Ogos ini untuk mengadakan kerjasama dengan sebuah syarikat Malaysian-based 'Eco-Bound Sdn Bhd' yang mana kita minta mereka hantar kertas kerja yang konkrit untuk kita buat keputusan beri projek kepada mereka atau tidak. Akhir Ogos baru kita tahu keputusannnya.
 
"Projek Stadium di Bukit Merbau pun sama dengan projek lebuh raya. Jalan Kota Bharu-Kuala Krai di ambil dalam 30 km merupakan fasa pertama bagi kerajaan Kelantan, dan pakej sekali dengan projek stadium. Sebab bekas MB Kelantan dah lancar dahulu, jadi kita buat sekali," katanya ketika dihubungi Antarapos, di sini.
 
Rundingan projek-projek utama negeri itu menurut Hanifa bakal menggunakan konsep wakaf yang merupakan inisiatif dana persendirian daripada pihak swasta, selain kerjasama kerajaan pusat dan negeri.
 
Projek Lebuh Raya Rakyat yang menghubungkan Kota Bharu - Kuala Krai telah lama dinanti rakyat Kelantan bagi mengurangkan masalah kesesakan jalan, terutamanya apabila menjelang musim perayaan dan cuti umum.
 
Akibat beberapa masalah yang melibatkan kerajaan negeri, kontraktor utama yang terlibat di dalam projek berkenaan juga bertindak menarik diri atas alasan tiada jaminan pembayaran.
 
Isu pentadbiran dan pembangunan Kelantan menjadi bualan banyak pihak termasuk di laman sosial Facebook, setelah penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Agus Yusoff melontarkan pandangannya terhadap prestasi PAS selepas 100 hari PRU13 berlalu.
 
Hanifa yang juga Adun Pengkalan Pasir berkata pihaknya menerima kritikan dan pandangan Agus terhadap kerajaan negeri yang kini diteraju Menteri Besarnya yang baharu, Datuk Ahmad Yaakob.
 
Ahmad Yaakob menggantikan Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat.
 
"Jika Dr Agus perhati betul-betul, kita memang teruskan dan bukan senyap sahaja. Tetapi perkara ini dah lama dan kerajaan pusat dah isytihar sejak RMK-5 tetapi tertangguh, dan kita usahakan juga dan dijangkakan pada bulan September akan dapat satu keputusan konkrit.
 
"Kita tak pasti dimana Dr Agus mendapat sumber berkenaan, beliau patut mendapatkan fakta daripada pihak kerajaan negeri. Tetapi kita hormat pandangan beliau, kemungkinan beliau ada menaruh kebimbangan mengenai projek-projek di Kelantan. Tetapi kita tak diam, cuma publisitinya kurang," katanya lagi.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.