Ketika banyak calon Umno bekerja keras untuk memastikan kemenangan mereka pada pemilihan parti tidak lama lagi, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebaliknya sibuk mempromosi Malaysia di mata dunia di sini.
Beliau bukan berjumpa dan beramah mesra dengan perwakilan Umno tetapi dengan pemimpin dan penggiat industri kandungan kreatif dunia untuk merintis jalan yang lebih besar dan luas bagi memudahkan produk-produk kreatif keluaran Malaysia menembusi pasaran global dan menjana pendapatan negara.
Lawatan kerjanya selama empat hari ke MIPCOM 2013, pasaran terbesar global bagi produk industri kandungan dan kreatif, mengetuai 60 syarikat Malaysia, telah membuahkan hasil jualan sebanyak US$50 juta (RM156 juta) sama ada dalam bentuk produk mahu pun perjanjian penerbitan bersama atau pelaburan dalam industri itu.
"Kehadiran menteri kita di sini banyak membantu... beliau memberi semangat kepada kami. Di sini ada 4,000 pembeli dari luar negara dan bila yang datang ke gerai pameran kami diberitahu hal ini mereka menganggapnya sebagai sokongan serius kerajaan kepada kami," kata seorang peserta Malaysia.
Penjual produk animasi Malaysia itu berkata pembeli produk kandungan dan kreatif hanya mahu berurusan dengan penjual atau penerbit yang serius, yang mempunyai produk bermutu dan boleh menjamin kesinambungan hubungan perniagaan untuk jangka panjang.
Tidak ada siapa yang tahu di sini bahawa Ahmad Shabery akan bertanding untuk jawatan anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno dengan memakai nombor 13, namun itu tidak menghalang beliau daripada mengadakan pertemuan dan perbincangan bukan saja dengan penggiat industri tetapi juga ketua-ketua delegasi negara lain.
Ketika ditanya mengenai persiapan beliau untuk pertandingan jawatan MT Umno itu, Ahmad Shabery berkata, "Saya serah kepada Tuhan dan kepada perwakilan untuk menilai kerja saya."
Walaupun sedang memikul tugas di sebarang laut, Umno dan perwakilan parti sentiasa dekat di hatinya malah tidak pernah lekang daripada ingatannya lantaran itu beliau dengan rendah hati memohon maaf kepada mereka kerana tidak sempat bertemu seperti semahunya.
"Saya meminta maaf kerana tidak sempat turun ke negeri dan bahagian untuk berjumpa perwakilan. Tugas di sini adalah amanah negara yang mesti saya sempurnakan," katanya.
Beliau sedar bahawa syarikat-syarikat Malaysia yang menyertai MIPCOM 2013 memerlukan kehadirannya dan memberitahu wartawan Malaysia bahawa: "Di sini juga saya rasakan mereka memerlukan (saya) dan saya mengadakan beberapa pertemuan dengan para penggiat strategik industri ini yang saya tak boleh hantar wakil."
Menurut pemerhatian penulis, misi Ahmad Shabery di sini memberi kesan jangka panjang kepada industri kandungan dan kreatif Malaysia dan kesan berganda yang besar kepada negara dari segi menarik pelaburan asing yang sekali gus mewujudkan banyak peluang pekerjaan dan menjana pendapatan.
Mengenai harapan beliau terhadap perwakilan pada pemilihan Umno nanti, beliau berharap mereka membuat pilihan yang bijak.
"Saya (menawarkan diri) hanyalah untuk bekerja memberi sumbangan membantu negara dan parti. Saya percaya perwakilan kita bijak dan tahu siapakah yang akhirnya membolehkan Umno lebih diterima dan lebih dilihat sebagai parti terbaik untuk negara," tambahnya.
Mengenai peremajaan Umno, beliau berkata Umno mestilah dilihat bersedia menyesuaikan diri untuk masa depan bagi memenuhi selera dan tuntutan masyarakat sepanjang masa, menjalani transformasi tetapi tetap mengekalkan teras perjuangan.
"Orang terima hakikat bahawa Malaysia yang ada sekarang ini adalah hasil yang diusahakan oleh kerajaan BN. Negara kita stabil, politik kita baik, ekonomi kita bagus dan berkembang sebab itu kita dapat apa yang kita ada dan nikmati sekarang.
"Saya katakan kita (Umno) tidaklah sempurna dan ada kelemahannya tetapi hakikat yang tetap ialah pembangkang bukanlah pilihan," katanya. - Bernama