Rabu, 9 Oktober 2013

Isu kehilangan aset PDRM

PDRM kehilangan 309 aset bernilai RM1.33 juta dalam tempoh tiga tahun dari 2010 hingga 2012 termasuk 44 unit senjata api.

Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini menyatakan aset tertinggi yang hilang ialah gari iaitu sebanyak 156 unit selain 29 unit kenderaan PDRM.

“Pengauditan ini dijalankan di ibu pejabat PDRM Bukit Aman dan tiga Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) iaitu Kuala Lumpur, Selangor dan Johor serta 10 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan sembilan balai polis di bawah tanggung jawab 3 IPK yang dipilih,” menurut laporan itu.

Pengauditan yang dijalankan antara November 2012 hingga Januari 2013 mendapati keseluruhan pengurusan kehilangan aset di ibu pejabat PDRM dan tiga IPK yang diperiksa adalah kurang memuaskan.

Antara 10 kelemahan yang ditemui ialah kehilangan aset lewat dikesan ialah; 
  1. kelewatan melaporkan kehilangan kepada ketua jabatan dan polis
  2. ketua jabatan lewat menyediakan laporan awal kehilangan aset
  3. kelewatan penubuhan jawatan kuasa penyiasat kes kehilangan aset
  4. kelewatan laporan akhir jawatan kuasa penyiasat.

Menurut laporan itu, 
  1. Urus Setia Kehilangan dan Hapus Kira lewat mengambil tindakan susulan berhubung laporan kehilangan aset
  2. kelewatan mengambil tindakan di peringkat kontinjen
  3. kelewatan mengambil tindakan proses surcaj
  4. tempat penyimpanan selamat aset tidak disediakan dan ruang penyimpanan terhad.

Sehubungan itu, Audit mengesyorkan beberapa langkah untuk memastikan pengurusan kehilangan aset dilaksana dengan cekap termasuk memastikan pemeriksaan berkala di laksanakan supaya dapat mengesan kehilangan aset dan pematuhan kepada norma masa proses kerja hapus kira aset.

Audit juga mengesyorkan supaya kehilangan aset yang berpunca daripada kecurian, penipuan atau kecuaian dikenakan tindakan seperti
  1. surcaj atau tatatertib
  2. memastikan tempat penyimpanan aset yang selamat
  3. memastikan pegawai atau anggota mencukupi untuk menguruskan kehilangan aset
  4. menyediakan kursus terhadap perkara itu.