Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengambil langkah tidak memperbaharui lesen pemilik pasar raya Sabasun dekat sini, setelah pemiliknya tidak mengendahkan undang-undang dan prosedur yang ditetapkan sekian lama.
Datuk Bandar, Datuk Adzlan Mohd. Dagang berkata, pihaknya sudah terlalu lama bertolak-ansur dan tindakan perlu diambil bagi mengingatkan bahawa peraturan tidak boleh diabai begitu sahaja dan tidak boleh diselesaikan dengan memburukkan pihak berkuasa.
Katanya, banyak perkara yang berkait dengan pasar raya ini perlu diselesaikan termasuk isu pemilikan tapak bagi membolehkan lesen perniagaannya diperbaharui semula, selain mempertimbangkan pemberian permit perniagaan sementara.
Selain itu, tindakan pemilik itu yang telah membina struktur tetap iaitu bangunan yang dikatakan sebuah stor dan ruang perniagaan di atas tanah milik MBKT dan kerajaan negeri menyalahi undang-undang.
Bercakap kepada pemberita di sini semalam katanya, seharusnya pemilik pasar raya itu sedia maklum tentang prosedur pembinaan sebarang struktur di atas tanah kerajaan yang perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan yang berkaitan.
Isu pasar raya Sabasun menjadi hangat sejak beberapa hari lalu apabila pemiliknya dikatakan mendakwa MBKT cuba menindas peniaga Melayu kerana enggan memperbaharui lesen perniagaannya yang akan tamat hujung tahun ini.
Ini dipaparkan melalui pelbagai blog dan Facebook dan dijadikan suatu politik yang mengecam tindakan pihak berkuasa, kononnya menindas peniaga Melayu yang berjaya.
Menurut Adzlan, pasar raya Sabasun yang terletak di Bukit Kecil ini telah lama beroperasi dengan memberi kelulusan sebagai sebuah kedai runcit, berkeluasan 83.7 meter persegi.
Ketika ini pemiliknya menambah binaan baharu pula pada keluasan lebih 186 meter persegi dan telah menggunakan nama pasar runcit besar .
Tindakan tersebut, jelas beliau sepatutnya perlu mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) seperti Mydin atau Giant.
"Kita telah bertolak ansur yang mana pada tahun 2000, kita juga tawarkan satu ruang di tanah milik kita untuk dibuat tempat meletak kenderaan.
''Namun ketika ini, pemilik telah membuat binaan di atas tanah itu sedangkan isu pemilikan tanah asal pasar raya itu juga masih belum selesai," katanya.
Visit website