Keterujaan kira-kira 150 pembeli rumah kos sederhana di Jalan Permai, Bukit Gambir di sini terencat apabila mereka diminta untuk membuat tambahan hampir RM60,000 sekiranya berminat untuk menduduki rumah berkenaan.
Kos tambahan itu dikenakan oleh pihak pemaju perumahan terlibat dengan alasan proses pengubahsuaian dalaman setiap unit rumah telah dilakukan biarpun tanpa persetujuan pembeli.
Wakil pembeli berkenaan, Norlida Masturo, 43, berkata, bayaran tambahan berkenaan menjadikan harga rumah mereka melambung hampir sekali ganda berbanding harga asal sebanyak RM72,500.
Melalui surat bertarikh 29 November lalu, pemaju mengkehendaki saya membayar harga baharu iaitu tambahan RM59,000 untuk kos ubah suai yang telah dilakukan.
Saya juga dikenakan bayaran lain RM28,000 untuk lot tempat letak kereta dan ini menjadikan jumlah keseluruhan yang perlu saya bayar hampir mencecah RM160,000. Ini sememangnya tidak masuk akal," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Bandar, Desa dan Perumahan negeri, Jagdeep Singh Deo di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini.
Norlida dalam pada itu menambah, mengikut pelan asal projek perumahan berkenaan yang ditunjukkan pemaju kepada mereka sebelum ini tiada langsung wujudnya proses pengubahsuaian tambahan.
Kami tidak diberitahu awal tentang pengubahsuaian ini tetapi sebaliknya terus diminta membuat pembayaran kos berkenaan," ujarnya.
Selain itu, bayaran untuk lot tempat kereta juga berbeza-beza kerana ada pembeli yang dikenakan bayaran sebanyak RM15,000 dan RM30,000," ujarnya.
Visit website