Selasa, 21 Januari 2014

Ingkar Titah Yang Dipertuan Agong Adalah Sikap Penderhaka

 

'Ibarat Cacing Naik Ke Mata'. Mungkin itu antara perumpamaan yang sesuai diberikan kepada tindakan dan kenyataan berbaur perkauman yang ditimbulkan oleh sesetengah pihak kerana ingin mengeruhkan keharmonian dan perpaduan yang wujud di negara ini.

 

Hari demi hari, pasti ada sahaja laporan mengenai isu yang menyentuh sensitiviti kaum yang mana sekiranya tidak dibendung atau langkah pencegahan dilakukan dikhuatiri bakal mewujudkan suasana tegang antara kaum.

 

Terbaru kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang peguam, Edmund Bon yang mengatakan orang bukan Melayu tidak perlu patuh dengan titah Yang Dipertuan Agong kerana ia melanggar hak perundangan dan beragama mereka.

 

"Bukan Islam tidak boleh didakwa di Mahkamah Syariah. Jadi mana-mana fatwa daripada Majlis Fatwa Kebangsaan tidak terpakai kepada bukan Islam," katanya.

 

Tidak cukup dengan itu, portal pro pembangkang turut melaporkan kenyataan seorang yang kononnya pakar perlembagaan yang mengatakan Malaysia merupakan sebuah negara sekular dan bukan Islam. Oleh itu, negara ini tidak perlu mematuhi mana-mana titah dikeluarkan pemerintah negeri atau fatwa dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan.

 

Pengasas Lawyers for Liberty Eric Paulsen juga mengatakan tidak ada apa yang boleh dilakukan oleh penguatkuasa agama terhadap bukan Islam.

 

"Apa-apa titah dikeluarkan, sama ada daripada Sultan atau Yang di-Pertuan Agong, tidak terpakai kepada bukan Islam," kata Paulsen.

 

"Walaupun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengeluarkan perintah, ia tidak memberi kesan kepada bukan Islam."

 

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dalam titah baginda sempena istiadat menyembah tahniah dan pengurniaan darjah serta bintang kebesaran pada Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-86 di Istana Anak Bukit sebelum ini menegaskan, kalimah Allah adalah merupakan hak eksklusif umat Islam dan penggunaannya dilarang dalam kalangan penganut agama lain.

 

Seri Paduka Baginda turut menitahkan, ketetapan tersebut sudah jelas dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1986 dan ia perlu dihormati.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom ketika mengulas mengenainya berkata titah tersebut perlu dipatuhi oleh rakyat bagi menjamin keharmonian serta sensitiviti masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Sudah berulang kali dijelaskan bahawa kalimah Allah dan takrifan 'God' atau tuhan bagi Kristian adalah berbeza. Paling ketara adalah konsep ketauhidan dan keesaan tuhan yang kita baca dalam surah al-Ikhlas iaitu pengakuan kita terhadap tuhan yang satu.

 

"Kalau sudah ada konsep 'God' yang bersifat triniti, maka sudah tentu akan berlaku kecelaruan. Pada saya semua kita sudah faham tetap masih ada segelintir yang ekstrem menyebabkan kelompok masyarakat jadi keliru," katanya.

 

Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad ketika mengulas mnegenainya berkata, setiap rakyat negara ini tanpa mengira kaum dan agama mesti menjunjung titah Seri Paduka.

 

Mana-mana pihak yang mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong, yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain boleh dianggap sebagai penderhaka. Menurut beliau, sesiapa sahaja yang mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong tidak layak untuk menjadi warganegara Malaysia.

 

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina), Ibrahim Mohd. Hassan berkata, tindakan tegas hendaklah diambil ke atas mana-mana pihak yang mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong.

 

Jika masih tidak mahu tunduk dan meminta maaf, mereka boleh dianggap sebagai ingkar serta derhaka," jelasnya.

 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula ketika diminta mengulas mengenainya enggan memberikan sebarang komen.

 

"Saya tak naklah bagi komen apa-apa, takut nanti disalah tafsir. Biarlah mereka yang dalam bidang guaman dan undang-undang yang berikan pendapat. Walaupun saya ada maklumat mengenainya" katanya.

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.