Secara dasarnya, GMMF menyeru negara anggota agar mengamalkan kesederhanaan serta menolak dan mengecam pelampau di negara masing-masing.
Yayasan ini diterajui oleh Dato' Saifuddin Abdullah sebagai Ketua Eksekutif GMM, yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.
Sejak dari awal perlantikannya lagi Saifuddin telah memperlihatkan sikap 'tidak senang' dengan NGO yang mewakili orang-orang Melayu, iaitu PERKASA. Saifuddin langsung tidak berselindung dalam menggambarkan pendapatnya terhadap NGO itu yang dianggapnya ekstrem.
Dalam kenyataan akhbarnya sempena penubuhan GMM pada September 12, 2012, beliau mengingatkan PERKASA bahawa tiada pihak yang boleh mendapat 100% apa yang mereka mahukan di negara ini. Saifuddin juga mengigatkan PERKASA bahawa NGO itu tidak mewakili pendapat majoriti rakyat. Perjuangan PERKASA untuk memartabatkan bangsa Melayu dikatakan tidak menepati slogan kesederhanaan.
Namun, di masa yang sama Saifuddin secara tidak langsung menyokong pihak ekstremis Cina Dong Zong, dengan menyatakan bahawa pintu rundingan masih terbuka mengenai Dasar Pendidikan Nasional. Saifuddin langsung tidak mengecam Dong Zong yang berdegil ingin memisahkan kaum Cina dari aspirasi negara. Saifuddin juga tidak menganggap Dong Zong ekstrem walaupun jelas pertubuhan itu ingin mengukuhkan keCinaan bangsanya yang mana amat bertentangan dengan slogan kesederhanaan.
Benar, bahawa PERKASA tidak mewakili majoriti rakyat tetapi Dong Zong pula jelas mewakili hanya segelintir rakyat. Justeru, adalah tidak wajar bagi GMM untuk mengambil sikap berpihak dalam menyatakan pendapat. Apatah lagi memilih untuk berpihak kepada minoriti yang kecil.
Apa yang berlaku menunjukkan bahawa Saifuddin atau GMM, PERKASA, Dong Zong, dan mungkin juga sekalian rakyat atau pemimpin negara ini mempunyai tafsiran yang berbeza-beza mengenai 'moderation' (kesederhanaan). Kita yakin, ramai yang keliru antara 'sederhana' dengan 'kebebasan', dan kemudiannya keliru pula antara 'kebebasan' dengan 'kebebasan total'.
Baru-baru ini pula, Saifuddin atau GMM memilih untuk menyokong COMANGO serta mengecam tindakan mengharamkan gabungan itu. Ini adalah bukti bahawa tafsiran Saifuddin/GMM mengenai 'kesederhanaan' adalah berbeza dengan tafsiran majoriti rakyat negara ini.
Ini tidak mengejutkan kerana antara personaliti yang menerajui GMM ialah Datuk Seri Wong Chun Wai, CEO akhbar The Star yang giat menikam belakang UMNO.
Selain GMM, Suhakam dan Majlis Konsultansi Perpaduan Negara (MKPN) juga dilihat menyokong COMANGO atas alasan 'kesederhanaan'. Menurut semua pihak ini, pengharaman COMANGO adalah keterlaluan dan tidak menepati slogan kesederhanaan Perdana Menteri dan juga perjuangan hak asasi manusia.
Bagi GMM, COMANGO, MKPN dan juga SUHAKAM serta rangkaian pembangkang iaitu SUARAM atau BERSIH, 'kesederhanaan (moderation)' tidak mungkin dapat dilaksanakan secara tuntas selagi negara ini berpaksikan kepada agama Islam dan bersandarkan kepada perlembagaan yang dikuncikan dengan Hak Istimewa Melayu.
Bagi majoriti rakyat, dan akar umbi UMNO sendiri yang menjadi tunjang kerajaan pula, 'kesederhanaan (moderation)' adalah memberi ruang kepada semua bangsa dan agama untuk mengamalkan budaya dan ibadah masing-masing tanpa sekatan di samping meletakkan Islam di tempat teratas sejajar dengan perlembagaan negara. Dalam kata lain, tidak diubah apa-apa mengenai perlembagaan dan undang-undang negara.
Untuk membuat keputusan mengenai pendapat siapa yang perlu diikut atau pendirian siapa yang benar dan tepat mengenai apa itu 'bersederhana' tentulah sukar dan hampir mustahil.
Pastinya, pihak yang bersama GMM merasakan pendirian mereka tepat dan penentang mereka adalah kolot, ketinggalan atau bodoh.
Manakala pihak majoriti Melayu Islam di negara ini pula merasakan pendirian merekalah yang tepat dan penentang mereka sebagai jahil, sesat atau kafir.
Justeru, inilah ditekankan agar pihak kerajaan memberi tafsiran yang tepat mengenai apa itu 'kesederhanaan' yang dilaungkan dan ke mana arah tujuan negara ini? Apakah kerajaan benar-benar ingin mengubah struktur sosial dan identiti negara? Apakah Malaysia sedang menuju ke liberalisasi dan tidak lagi ingin berpegang kepada agama Islam sebagai agama rasmi?
Sementara itu, inilah juga diingatkan bahawa perkara utama yang perlu dipertimbangkan dalam menentukan hala tuju negara ialah, keamanan dan kesejahteraan keseluruhan rakyat.
Tiada siapa yang dapat menafikan bahawa perlembagaan negara yang bertunjangkan agama Islam dan Hak Istimewa Bumiputera telah memperlihatkan kejayaan yang besar. Kita pernah dinobatkan sebagai Harimau Asia dengan bersandarkan kepada perlembagaan yang sama. Hak Istimewa Bumiputera juga membantu kita mengatasi ancaman ekstremis Cina sepertimana yang berlaku pada 13 Mei 1969.
Malah, perlembagaan yang sama juga yang memberi peluang kaum Cina untuk menguasai ekonomi negara ini.
Penganut agama lain tidak pernah dihalang untuk beribadah, malah setiap perayaan mereka juga diiktiraf sebagai cuti umum yang mana tidak mungkin dapat dinikmati oleh minoriti di negara lain di dunia. Mereka juga diberi hak untuk mencetak dan mengedar akhbar dalam bahasa masing-masing serta mempunyai sekolah berasingan, yang mana tidak mungkin dapat dinikmati oleh minoriti di negara lain di dunia.
Jelas, tidak ada kepincangan dalam kesederhanaan yang kita amalkan malah terlebih-lebih pula. Malaysia sudah cukup sederhana dan kesederhanaan itulah yang meletakkan kita di mana kita berada pada hari ini.
Bagi yang melihat 'kesederhanaan' diamalkan Malaysia belum lengkap atau tidak tepat, kita ingin bertanya, apakah wajar kita memperjudikan kehidupan yang baik ini untuk mencuba 'kesederhanaan' mengikut tafsiran mereka?
Berbaloikah kita mengambil risiko membuat perubahan bagi memuaskan hati segelintir dari kumpulan minoriti? Ingatlah, bahawa Kristian hanya mewakili 9% dari rakyat, dan dari jumlah itu pula tidak semuanya menyokong tuntutan menggunakan nama 'Allah' dalam Injil berbahasa Melayu. Dan golongan yang mengamalkan LGBT pula tidak mungkin melebihi 5% pun.
Berapa ramai pula yang ingin sangat untuk murtad? Sepuluh? Dua puluh orang?
Wajarkah kita menggadaikan keamanan negara bagi memuaskan hati segelintir manusia ini? Bukankah Saifuddin, sebagai Ketua Eksekutif GMM sendiri menyatakan bahawa kita tidak boleh menunaikan 100% kehendak satu-satu golongan itu dan tidak semua orang akan 100% berpuas hati?
Minoriti telah mendapat kuasa ekonomi dan majoriti mendapat kuasa politik yang menentukan identiti negara ini. Sebarang 'pengurangan' kuasa ke atas mana-mana sektor wajarlah berlaku secara seimbang. Jika satu pihak membolot kedua-dua kuasa maka ia akan bermakna kehancuran pihak yang lagi satu.
'Kesederhanaan' yang kita amalkan merupakan formula terbaik untuk negara ini. Biarpun majoriti menentukan hala tuju dan identiti negara tetapi selagi minoriti dapat hidup sejahtera, malah mewah pula, maka kita sebenarnya tidak punya masalah apa-apa.
Jika tiada masalah, kenapa perlu dicari masalah?
Hakikatnya, kesederhanaan yang kita amalkan adala tepat dan GMM sendiri wajib mencerna hakikat ini sebaik-baiknya.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.