Jumaat, 25 April 2014

Tiada Kenaikan Harga Yang Tinggi, Malah Ada Penurunan – Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata pemeriksaan harga barangan keperluan pengguna di 9,500 premis perniagaan di seluruh negara pada Januari hingga Mac tahun ini mendapati tidak berlaku kenaikan harga yang tinggi malah terdapat juga penurunan.

Timbalan Perdana Menteri berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah menjalankan kutipan harga seperti barangan basah, barang runcit/ kering, barang berbungkus/tin/pek, makanan bayi, rempah ratus dan siap masak bagi memastikan kedudukan sebenar harga barangan itu.

Kenyataan akhbar berhubung hasil analisis perbandingan harga itu dikeluarkan selepas Muhyiddin mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kenaikan Kos Sara Hidup Rakyat selama dua jam di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Beliau memberikan contoh tinjauan harga itu seperti telur ayam gred B (10 biji) yang kekal pada harga RM3.70 di Semenanjung, Sabah (RM3.90) dan Labuan (RM4.30) dalam tempoh Jan-Mac manakala harga di Sarawak turun dari RM3.60 (Jan) kepada RM3.30 (Mac).

 Harga ayam bersih standard di Semenanjung naik 10 sen daripada RM7.60 bagi sekilogram (Jan) kepada RM7.70 (Mac) manakala harga yang mengalami penurunan ialah di Sarawak dari RM9.10 (Jan) kepada RM8.70 (Mac), Sabah dari RM10.70 (Jan) kepada RM9.80 (Mac) dan Labuan dari RM10.60 (Jan) kepada RM10.52 (Mac), katanya.

Harga ikan kembung hitam turun di Semenanjung, Sarawak dan Labuan manakala berlaku kenaikan kecil. Di Semenanjung harga ikan itu turun kepada RM8.60 sekilogram (Jan) kepada RM8.10 (Mac), Sarawak turun daripada RM8.00 (Jan) kepada RM7.50 (Mac), Labuan RM12.00 (Jan) kepada RM10.00 (Mac) manakala di Sabah dari RM6.70 (Jan) kepada RM7.40 (Mac).

Muhyiddin berkata kerajaan melalui KPDNKK menjalankan pemeriksaan dan pemantauan yang rapi dan menyeluruh ke atas semua barangan dalam Ops Harga 2014 bagi menangani pihak-pihak yang menaikkan harga barang secara tidak munasabah.

 “Sehingga 20 April tahun ini, sebanyak 437,992 pemeriksaan premis telah dilakukan dan 2,925 tindakan undang-undang telah diambil ke atas peniaga dan melibatkan rampasan bernilai RM521,453.87 dan kompaun sebanyak RM147,550,” katanya. 

Bagi mengatasi isu ketidakstabilan harga yang berpunca daripada factor pengeluaran dan bekalan, Muhyiddin berkata peranan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) akan diperkasa dalam meningkatkan bekalan dan mengukuhkan ekonomi.

Muhyiddin berkata kerajaan melalui FAMA dan NEKMAT telah membelanjakan RM14.2 juta untuk menyediakan stok simpanan barangan komoditi bagi memastikan bekalan produk agromakanan berterusan.

Sehingga 15 April, FAMA dan NEKMAT telah menyediakan stok simpanan bagi komoditi tomato, kubis bulat, kelapa, kentang, bawang besar, bawang merah, bawang merah kecil, lobak merah, ikan dan ayam bagi memastikan produk agromakanan segar, berkualiti dan cukup.

Pada Januari lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilaporkan mengumumkan peruntukan tambahan RM20 juta untuk FAMA dan NEKMAT melaksanakan stok penimbal bagi mengatasi masalah kekurangan barang. Muhyiddin berkata Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA) melalui FAMA sedang menambah bilangan pasar tani borong dan pasar tani kekal di seluruh negara sebagai ruang pasaran tambahan bagi produk agromakanan pada harga yang lebih rendah.

Beliau juga berkata Program Jimat Belanja Dapur di pasar tani turut menyediakan dan menawarkan 32 jenis komoditi barangan terpilih pada “MoA sedang menambah beberapa Pusat Pengumpulan Peladang bagi memastikan hasil-hasil pertanian dari ladang terus dibawa ke pusat pengumpulan dengan perkhidmatan pengangkutan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan.

Ini dapat mengurangkan penglibatan orang tengah,” katanya. Muhyiddin berkata kerajaan juga memberi fokus kepada pemerkasaan kepenggunaan ke arah mengubah gaya hidup pengguna kepada amalan berbelanja secara bijak Dalam hal ini, beliau berkata kempen melibatkan 20 badan bukan kerajaan (NGO) pengguna yang terdiri daripada badan bebas dan berkecuali akan menjalankan program di peringkat kebangsaan, negeri serta daerah.

 “Penyaluran maklumat telah dilaksanakan melalui program ceramah, street team, media cetak mahupun media elektronik yang mensasarkan kumpulan wanita, belia dan pelajar sekolah,” katanya.

 Turut hadir dalam mesyuarat itu termasuk Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, beberapa menteri kabinet seperti Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.