Pengalaman Datuk Mah Siew Keong melihat kesengsaraan penduduk Pasir Bedamar berdepan bencana banjir kilat, terutama pada satu upacara kematian, membuatkan beliau bertekad mengatasi masalah itu.
“Saya masih ingat ketika saya menjadi anggota Parlimen Teluk Intan, banjir besar melanda kawasan pekan. Saya ke Pasir Bedamar. Ada upacara pengebumian dan oleh kerana paras air begitu tinggi iaitu mencecah pinggang, amat sukar bagi mereka untuk mengusung keranda.
“Saya menyaksikan perkara itu dan ketika itu saya berjanji kepada diri saya sendiri untuk melakukan apa sahaja bagi memastikan masalah banjir selesai. Ia bukan sekadar janji sebaliknya perkara yang sudah saya lakukan dan bangga melakukannya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan manifesto Barisan Nasional bagi pilihan raya kecil (PRK) Teluk Intan di sini hari ini.
Mah, calon BN untuk PRK itu, berdepan pertandingan satu lawan satu dengan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud.
Beliau berkata Teluk Intan pada satu masa dahulu dikenali sebagai ‘bandar terapung’ berikutan sering dilanda banjir kilat.
Selepas pelaksanaan fasa pertama dan kedua program tebatan banjir membabitkan kos sebanyak RM30 juta semasa Mah menjadi Anggota Parlimen Teluk Intan pada 1999 hingga 2008, masalah itu dapat diatasi.
Mah berkata projek tebatan banjir yang dicadang itu mempunyai lima fasa membabitkan kos kira-kira RM100 juta namun hanya dua dapat dilaksana berikutan kekalahannya pada pilihan raya umum 2008.
Kedua-dua fasa projek itu yang sudah dilaksana membantu mengurangkan masalah banjir kilat di Teluk Intan sebanyak 80 hingga 90 peratus.
“Saya bangga dengannya. Saya rasa penduduk Teluk Intan menghargai apa yang telah saya lakukan,” katanya.
Mah berkata projek itu harus diteruskan memandangkan benteng lama perlu diperbaiki bagi mengelak kejadian banjir berulang kerana Teluk Intan terletak antara muara Sungai Perak di utara dan muara Sungai Bernam di selatan, serta Selat Melaka di sebelah barat.
Teluk Intan merupakan pekan terakhir di persisiran Sungai Perak sebelum ke Selat Melaka.
Fong Kam Chuen, 69, yang tinggal di Jalan Pasar, Kampung Pasir Bedamar amat mengingati jasa Mah dalam mengatasi masalah banjir kilat di kawasan itu.
Beliau berkata dahulu kampung itu sering dilanda banjir kilat setiap kali hujan lebat dan projek pembinaan benteng sepanjang Sungai Perak oleh kerajaan pusat banyak membantu mengurangkan masalah berkenaan.
“Kawasan kampung ini dikelilingi Sungai Perak, jadi setiap kali hujan, ia senang dimasuki air dan menyebabkan banjir kilat kerana kawasan tersebut rendah,” katanya kepada Bernama.
Fong berkata pada 1950-an, kawasan itu adalah tempat menanam limau namun oleh kerana sering dilanda banjir sehingga menjejaskan tanaman berkenaan selain banjir besar pada 1986, ada penduduk terpaksa berpindah.
“Jika tidak ada bantuan dan inisiatif oleh Mah sebagai wakil rakyat yang menggesa kerajaan pusat menjalankan projek tambakan, kami tidak tahulah nasib kami macam mana,” katanya.
Beliau amat berharap Mah dipilih semula sebagai wakil rakyat Teluk Intan bagi membolehkan projek tebatan banjir diteruskan demi pembangunan kawasan parlimen itu.
Lee Meng Chan, 85, pula berkata Mah turut membawa pembangunan ke kawasan itu yang sebelum ini tiada bekalan air dan elektrik.
“Mah juga seorang yang peka dan prihatin dengan masalah banjir di kampong kita,” katanya.