Rabu, 13 Ogos 2014

Khalid Move musnahkan Kajang Move ( Zainuddin Mydin)



SUATU persefahaman tersirat selama ini antara Pas dan UMNO ialah; kedua-duanya tidak dapat menerima Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM). Penolakan UMNO kerana dia seorang homoseksual telah lama diketahui umum tetapi penolakan Pas hanya baru diketahui sekarang.

Krisis dalam Pakatan Rakyat yang berpunca daripada Khalid Move membantah penyingkirannya sebagai Menteri Besar (MB) telah membuka pandora box yang mendedahkan pekung dan paling menggemparkan sekali ialah Pas tidak bersetuju Anwar menjadi PM malah sedia menerima bekas pemimpin besar UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.

Ini adalah antara lain rahsia dalaman yang didedahkan oleh Setiausaha Agung, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam interviu dengan wartawan The Sunday Star, Shahanaaz Habib yang perlu dibaca oleh semua peminat politik tanah air. Di antara yang didedahkan ialah:

Sebulan sebelum Pilihan Raya Umum 2013, Pas menemui pemimpin-pemimpin PKR dan memberitahu mereka tidak setuju Anwar sebagai PM kerajaan Pakatan Rakyat, walhal sejak enam tahun sebelumnya telah bersama dengan PKR dalam majlis-majlis ceramah di atas pentas yang sama.

Kegagalan mendapat persetujuan ini menyebabkan Pakatan Rakyat hanya dapat mengumumkan pembahagian kerusi dan tidak bakal PM.

Dalam masa sama, Pas juga menemui Tengku Razaleigh dan memintanya untuk bertanding sebagai calon Pas untuk menjadi PM. Ini adalah gelombang yang tidak diketahui rakyat dalam masa Pilihan Raya Umum 2013.

Sekarang barulah saya tersedar rupa-rupanya poster gergasi Pakatan Rakyat gambar besar Anwar sebagai PM dalam Pilihan Raya 2013 sebenarnya tidak direstui Pas (saya melihatnya di Tikam Batu, Kedah).

Bagaimanapun sekiranya PR menang, maka PKR boleh mendakwa poster gergasi itu membantu kemenangannya, kerana Anwar dijanjikan sebagai PM. Dengan itu DAP dan PKR boleh memaksa Pas menerima Anwar sebagai PM.

Dalam masa sama, suara Pas Harakah yang dikuasai oleh Anwarinas telah memperkecilkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan mempromosikan bahawa beliau hanya mahu menjadi nelayan.

Anwar memang memandang rendah Abdul Hadi kerana tidak boleh berbahasa Inggeris dengan baik.

Sewajarnya sekarang, rakyat terutama orang Pas insaf dan sedar bahawa kasih sayang yang ditunjukkan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Anwar hanyalah kasih palsu semata iaitu "di depan cakap lain, di belakang cakap lain," kata Saifuddin. Kasih sayang itu hanya atas persefahaman antara Nik Abdul Aziz dan Anwar untuk membalas dendam pada UMNO.

Tetapi Allah maha kuasa, Khalid Move telah mendedahkan nilai yang sama antara Pas dan UMNO, iaitu tidak dapat menerima Anwar dari segi moral untuk menjadi PM, menolak homoseksual sebagai pemimpin tertinggi negara. Jika bukan kerana ini, apalagi sehingga sanggup menerima Tengku Razaleigh dari UMNO untuk jadi PM.

Maka itu Kajang Move atau "Langkah Kajang" diperlukan sebagai strategi Anwar untuk menjadi PM kerana sekiranya boleh menjadi Menteri Besar maka tidak ada alasan lagi atau tidak logik bagi Pas untuk menolaknya sebagai PM.

Maka itu jugalah Kajang Move tidak dirundingkan lebih dahulu dengan Pas kerana seperti kata Saifuddin kepada The Sunday Star - "So when people ask why we didn't seek consensus,tell me how we can do that because you can't even agree on Anwar as the choice for PM".

Semoga Khalid Move yang mendedahkan persetujuan dan persamaan nilai dalam perkara moral antara Pas dan UMNO ini, akan membuka laluan yang lebih besar bagi kerjasama kedua parti itu di masa akan datang yang tidak seharusnya dititik beratkan atas soal Melayu dan Islam tetapi atas kepentingan moral dan integriti rakyat Malaysia berbagai kaum dan agama.

Dalam pada itu, saya mengangkat topi pada saudara Saifuddin kerana bercakap secara terus terang mendedahkan masalah dalaman PR khususnya mengenai Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim demi untuk mengawal kemusnahan (Damage Control) lebih besar, kerana percaya jika Abdul Khalid terus menjadi MB maka Pakatan Rakyat pasti akan kalah.

Pada peringkat ini Khalid Move telah pun memusnahkan Kajang Move dan membawa malapetaka yang besar kepada PR.

Tan Sri Zainuddin Maidin ialah bekas Menteri

Penerangan.

Oleh Zainuddin Maidin