Selasa, 7 Julai 2015

PM tidak akan khianati rakyat

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan beliau tidak akan mengkhianati rakyat dan negara dan akan berusaha mencari jalan kebenaran dalam menangkis segala tuduhan dilemparkan terhadap kepimpinannya.

Najib berkata, beliau berterima kasih terhadap sokongan diberikan oleh pemimpin UMNO dan juga oleh pemimpin tertinggi Pas, Mursyidul Am Pas, Datuk Haron Din yang menjelaskan tuduhan dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu sebagai tidak masuk akal.

"Saya tidak akan khianati rakyat. Saya akan cari (jalan) untuk tegakkan kebenaran, bertenang, kebenaran akan terbukti," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Besut dan Pelancaran program Al-Syahadah Al-Ulya Ulul Albab di sini, Isnin.

Beliau menyeru rakyat untuk bertenang serta bersatu dalam menangkis segala tuduhan terhadap kerajaan dan pemimpin negara walaupun mereka berbeza dari segi fahaman politik.

Menurutnya untuk membina sebuah tamadun yang maju, rakyat sesebuah negara itu tidak seharusnya berpecah-belah.

Pada Ahad, Najib berkata, beliau akan membuat keputusan dalam masa beberapa hari mengenai bentuk tindakan yang akan diambil berhubung tuduhan kononnya kira-kira AS$700 juta (RM2.6 bilion) daripada dana 1MDB telah disalurkan ke dalam akaun peribadinya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, negara maju tidak akan memperlekeh negara ini jika rakyat mempunyai kekuatan iman dan takwa yang menjadi asas untuk membangunkan sebuah tamadun yang hebat lagi berjaya.

Beliau berkata untuk melahirkan generasi ulul albab, negara bukan sahaja perlukan generasi yang ada kekuatan fizikal malah juga kemampuan minda.

"Kita bukan sahaja mesti ada kekuatan secara peribadi, kekuatan yang terbit daripada keimanan dan ketakwaan mesti ada untuk melahir dan membangun sebuah tamadun yang hebat lagi berjaya, barulah kita boleh setanding dengan negara yang lebih maju daripada kita hari ini," katanya.