Penambahan nilai pelaburan oleh kilang dari Amerika Syarikat iaitu Finisar Corporation yang melibatkan RM400 juta amat dialu-alukan oleh Kerajaan Negeri Perak.
Kilang pembuatan itu bertempat di Chemor, merupakan antara kilang gergasi terbesar di Malaysia dan Asia iaitu telah memulakan operasinya sejak tahun 2001.
Perkara tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Diraja Mohd Najib Tun Razak yang mengadakan dengan penemuan bersama Pengerusi Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finisar, Jerry S. Rawls semasa lawatan rasminya ketika ini ke California.
Sementara itu, perkara tersebut diulas oleh Menteri Besar Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir ketika ditemui di Kampung Gajah, hari ini.
“CEO bertemu dengan saya beberapa bulan lalu untuk memperluaskan pelaburan Finisar, dan Finisar adalah gergasi yang besar di Malaysia dan Asia dan kita alu-alukan.
“Pertemuan Perdana Menteri ke California memberi keyakinaan kepada negeri Perak dan kita mengalu-alukan pelaburan Finisar di Perak,”katanya kepada pemberita.
Tambah Datuk Seri Diraja Dr Zambry, menerusi persefahaman antara Kerajaan Negeri dengan pihak Finisar, masyarakat tempatan diberikan keutamaan untuk bekerja.
“Finisar memberikan keutamaan kepada pekerja-pekerja tempatan dan sedikit dari luar dan itu persefahaman antara kita dengan mereka,” jelas beliau.
Setakat ini, Finisar sudah melabur AS$160 juta (RM666 juta) di Perak dan sumbangannya adalah yang terbesar dalam kalangan syarikat multinasional yang beroperasi di Perak dengan jumlah pekerja sedia ada seramai 7,000 pekerja.
Pelaburan Finisar juga menyumbang 25 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pembuatan Perak dan lima peratus daripada KDNK Perak.