Jumaat, 10 Jun 2016

#KEKALBN Hapuskan Islamofobia

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan umat Islam di negara ini agar memberikan gambaran baik kepada orang bukan Islam bagi menghakis pandangan Islamofobia di seluruh dunia.

Ahmad Zahid berkata, Islam merupakan agama yang baik dan umat Islam harus membetulkan imej serta gambaran yang tidak betul dilemparkan sebelum ini.

“Jangan disebabkan hanya satu dan dua orang yang terlibat dengan kegiatan pengganas, Islam telah diberikan gambaran yang salah oleh orang lain,” katanya ketika berucap dalam Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya al-Madrasathul Faridiyah, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Abdul Halim Abdul Samad; Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari dan Pengerusi al-Madrasathul Faridiyah, Datuk Jawahar Ali Taib Khan.

Dalam majlis tersebut, Ahmad Zahid turut menyampaikan sumbangan bantuan Hari Raya Aidilfitri kepada 1,000 golongan asnaf di Wilayah Persekutuan.

Sumbangan daripada Madrasathul Faridiyah tersebut berupa hamper barangan keperluan asas bernilai RM250 untuk setiap penerima yang terdiri daripada golongan asnaf di sekitar Parlimen Setiawangsa dan Wangsa Maju.