Rabu, 22 Jun 2016

Pemimpin Pembangkang Yang Sakit Bukan Pengundi

“Mereka sebenarnya yang berpenyakit sehingga menyebabkan rakyat khususnya pengundi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar menolak parti yang mewakili pakatan mereka iaitu Amanah, kalau mereka tak berpenyakit, rakyat akan mengundi dan memberikan kemenangan kepada mereka”, demikian menurut Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli pada Ahad lepas, yang mengatakan rakyat derita dengan dua penyakit iaitu sentimen perkauman atau keagamaan dan penyakit kebendaan sehingga memberi kemenangan kepada BN dalam dua PRK berkenaan.

Jelasnya lagi penyakit pembangkang ini makin kritikal dengan barah yang lebih teruk iaitu tidak mampu menerima hakikat bahawa parti mereka kalah dalam kedua-dua PRK tersebut.

“Lebih teruk di Kuala Kangsar apabila mereka bukan sahaja kalah kepada BN malah PAN (Parti Amanah Negara)  ketinggalan kepada parti Pas yang mana ada bekas pemimpin mereka melabelkan Pas sebagai parti kebudak-budakan,” ujarnya  yang juga Pengerusi BN Parlimen Sungai Besar dan Pengarah Jentera Pilihanraya Sungai Besar baru-baru ini.

“Rafizi, Tony Pua dan parti-parti pakatan ini tidak perlu diubati lagi, tak payah nak bagi ubat dan sebagainya, sebaliknya kita `talkin’kan pada PRU 14 yang akan datang.

“Teruskan penyatuan kita, kerja keras kita, ukhwah di kalangan ahli UMNO dan perkukuhkan kerjasama yang lebih erat bersama rakan-rakan kompenan BN yang lain, dekati dan selami masalah rakyat, insya-Allah mereka akan kembali menyokong dan bersama BN dalam pilihan raya yang akan datang,” tambahnya lagi.

Terdahulu, kemenangan cemerlang BN dalam PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 18 Jun lalu meletakkan pemimpin pembangkang bagaikan cacing kepanasan seperti Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang mempersoalkan keputusan pengundi terus memberi sokongan kepada BN.-MediaUMNO