Rabu, 1 Jun 2016

Pindaan Untuk Perkasa Mahkamah Syariah, Islam Agama Rasmi, Tiada Kena Mengena Dengan Hudud


KOTA BAHARU, 31 Mei – Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) patut dipinda untuk memperkasa Islam sebagai agama rasmi seperti yang dihasratkan Perlembagaan Persekutuan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata pindaan itu tidak kena mengena dengan hudud sebaliknya hanya untuk memperkasa Mahkamah Syariah.

"Hukuman denda RM5,000, penjara tiga tahun dan rotan enam kali sudah tidak lagi relevan untuk masa ini.

Asyraf Wajdi


"Sebab itulah kita ingin pertingkat dan memperkasa Mahkamah Syariah seiring dengan apa yang dihasratkan oleh Perlembagaan iaitu Islam sebagai agama rasmi dan paling penting ia tidak boleh melangkaui kuasa yang telah dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya selepas memberi taklimat mengenai cadangan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)  (Pindaan) 2016 di sini, hari ini.

Sesi taklimat itu dihadiri para pemimpin Barisan Nasional (BN) Kelantan termasuk MCA dan Gerakan serta para pegawai jabatan kerajaan.

"Tidak timbul langsung bahawa cadangan ini adalah satu jalan untuk membuka kepada pelaksanaan hudud kerana untuk melaksanakan hudud, kita perlu pinda Perlembagaan sekurang-kurangnya bagi tiga artikel,"katanya.

Asyraf Wajdi berkata artikel itu ialah Perkara 76A(1) yang membolehkan negeri mengubal undang-undang berkaitan dengan kuasa mereka termasuk kuasa Persekutuan, Perkara 8 yang menetapkan hak kesamarataan dan mengelakkan diskriminasi agama serta Jadual Kesembilan yang menyentuh tentang bidang kuasa Mahkamah Syariah.

"Bagi menggubal Jadual Kesembilan ini, kita perlukan pindaan Perlembagaan dengan majoriti dua pertiga.

"Yang ini, kita perlukan 148 daripada 222 (Anggota Parlimen). Dalam keadaan sekarang, kalau dicampur semua Anggota Parlimen yang beragama Islam pun hanya ada 135 orang daripada 222 orang. Ini tidak mungkin menghasilkan hudud," jelas beliau.

Oleh itu, katanya soal cadangan pindaan itu tidak seharusnya dibahaskan secara emosi tanpa ilmu dan pemahaman mendalam kerana ia boleh menimbulkan huru hara dan ketidakharmonian dalam masyarakat.

Asyraf Wajdi berkata keadaan sedemikian bukan sahaja mengelirukan merekayang bukan Islam malah, akan menyukarkan akta itu dipinda sedangkan ia membawa kebaikan kepada perundangan Islam.

"Semua pihak harus sedar bahawa apa yang sedang berlaku hanyalah sebagai usaha untuk menaikkan kuasa Mahkamah Syariah yang telah lapuk dan
ketinggalan zaman tanpa sebarang pindaan sejak 1984," tegasnya.

Khamis lepas, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan usul Rang Undang-Undang Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.




Sent from Samsung tablet.