Sabtu, 16 Julai 2016

BANTU MULA (JUMP-START) KETIKA KECEMASAN: APABILA BERASA RAGU, RUJUK BUKU PANDUAN PEMILIK PROTON

SUBANG JAYA, 9 Jun 2016 – PROTON Holdings Berhad (“PROTON” atau “Syarikat”) ingin menyangkal imej yang tersebar baru-baru ini di media sosial, yang mengesyorkan pengguna Proton untuk tidak melakukan sebarang tindakan bantu mula pada model-model Proton yang tertentu kerana ia akan menyebabkan kerosakan yang teruk kepada Unit Kawalan Transmisi (TCU). Kami ingin menegaskan bahawa semua kereta boleh melalui tindakan bantu mula. 

Walau bagaimanapun, seperti OEM yang lain, kereta-kereta Proton telah dilengkapi dengan sistem elektronik yang sensitif kepada lonjakan kuasa. Kami ingin memberi panduan yang lebih tepat mengenai perkara ini dan untuk memberi jaminan kepada pemilik Proton bahawa penggunaan kabel bantu mula adalah selamat untuk menghidupkan enjin selagi berpandukan langkah-langkah yang betul, seperti yang dinyatakan dalam buku Panduan Pemilik Proton. 

Berikutan dengan ini, PROTON ingin mengambil kesempatan untuk menjelaskan bahawa prosedur yang betul untuk melakukan bantu mula kereta adalah dengan menyambungkan terminal (+) bateri dari kereta yang membantu kepada terminal (+) bateri kereta yang terjejas. Akan tetapi, terminal (-) dari kereta yang membantu mesti disambungkan ke badan kereta yang terjejas, dan BUKAN di terminal (-) kereta terjejas tersebut. Apabila berasa ragu, selalulah merujuk kepada buku Panduan Pemilik Proton. 



Langkah-langkah yang perlu diambil seperti yang dinyatakan dalam buku Panduan apabila menggunakan kabel „jumper‟ yang disambungkan kepada bateri dari kenderaan lain, seperti: 

  • Kenderaan mestilah dirapatkan supaya kabel ‘jumper‟ boleh disambungkan, tetapi pastikan kenderaan tidak menyentuh satu sama lain. 
  • Sekiranya bersentuhan, ia boleh menyebabkan sambungan bumi yang tidak diingini. Kenderaan mungkin tidak akan dapat dihidupkan dan pembumian tidak diingini boleh merosakkan sistem elektrik (Unit Kawalan Transmisi, TCU).
  • Kenderaan yang membantu mestilah mempunyai bateri 12-volt dan keupayaan (Ah) bateri penggalak tidak boleh lebih rendah berbanding bateri yang tidak boleh digunakan, ini adalah untuk mengelakkan kerosakan litar pintas pada kedua-dua kenderaan. 
  • Gunakan hanya kabel „jumper‟ dengan pengapit bateri berpenebat. 
  • Kenderaan mestilah berada dalam keadaan "P" (PARK) untuk transmisi automatik dan "N" (NEUTRAL) untuk transmisi manual.
  • Matikan pencucuhan pada kedua-dua kenderaan terlebih dahulu.  Apabila menyambungkan kabel penggalak, jangan sambungkan positif (+) kabel ke negatif (-) terminal atau ia akan menyebabkan percikan api dan bateri boleh meletup. 
  • Kabel „jumper‟ negatif (hitam) tidak boleh dikapitkan ke saluran bahan api dengan sarung logam atau ke penapis bahan api atau garisan brek kerana ini boleh menyebabkan kebakaran. 
  • Hidupkan enjin kenderaan yang mempunyai bateri penggalak, biarkan enjin hidup untuk beberapa minit dan kemudian hidupkan enjin kenderaan yang terjejas. 
  • Selepas enjin dihidupkan, buka sambungan kabel mengikut urutan terbalik.
Untuk panduan yang lebih terperinci, pemilik kereta Proton dinasihatkan untuk merujuk kepada buku panduan kenderaan mereka sebelum melakukan apa-apa bantu mula kecemasan kepada bateri. PROTON sentiasa memastikan kereta-keretanya dikeluarkan mengikut piawaian keselamatan yang tinggi dan tidak menjejaskan keselamatan pelanggan. Untuk pemeriksaan lanjut dan penukaran bateri, sila hubungi Talian Khidmat Pelanggan kami di 1800 888 398 atau emel kepada customercare@proton.com untuk sebarang pertanyaan dan bantuan