Rabu, 5 Oktober 2016

KENYATAAN MEDIA RASMI SPRM SPRM TAHAN 4 INDIVIDU TERMASUK DUA PENJAWAT AWAM TERLIBAT RASUAH, RAMPAS WANG TUNAI RM53 JUTA



SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah berjaya membongkar satu kegiatan rasuah melibatkan penjawat awam dengan rampasan wang tunai terbesar di negara ini sejak penubuhan agensi pencegahan rasuah itu 49 tahun lalu.

Semalam, SPRM telah menahan dua penjawat awam yang memegang jawatan Pengarah (J54) dan Timbalan Pengarah (J52) sebuah agensi kerajaan kira-kira pukul 9.15 pagi di pejabat masing-masing di Kota Kinabalu, Sabah.

Kedua-duanya yang mengendalikan projek-projek pembinaan infrastruktur asas bernilai lebih RM3.3 billion sejak tahun 2010 itu dipercayai telah memonopoli kesemua projek dan diserahkan kepada adik-beradik mereka.

Hasil siasatan, SPRM telah merampas wang tunai lebih kurang RM53 juta daripada kedua-dua suspek tersebut.

Ia melibatkan wang berjumlah RM45 juta daripada pengarah terbabit manakala RM 7.2 juta daripada timbalan pengarah tersebut.

Kesemua rampasan itu dibuat di pejabat dan rumah masing-masing.

Susulan penahanan tersebut, SPRM turut menahan dua lagi individu termasuk adik kepada timbalan pengarah terbabit yang juga merupakan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk berusia 55 tahun.

Seorang lagi suspek merupakan akauntan yang bekerja di syarikat Datuk tersebut iaitu lelaki berusia 50 tahun yang dipercayai berperanan membantu untuk menyelenggara duit yang diperoleh secara rasuah.

Selain wang tunai itu, SPRM juga telah menyita beberapa akaun milik Pengarah, Timbalan Pengarah dan Datuk tersebut yang dianggarkan lebih kurang RM62 juta.

SPRM juga mempercayai mereka memiliki wang di beberapa buah bank di luar negara.

Selain itu, SPRM turut membuka satu daripada enam peti simpanan milik timbalan pengarah tersebut di beberapa bank yang mengandungi wang tunai RM2.5 juta. Selebihnya akan dibuka dengan bantuan bank dalam masa terdekat.

SPRM juga telah mengenalpasti beberapa orang lagi individu yang dipercayai bersubahat dengan kesemua suspek dan akan memanggil mereka untuk diambil keterangan dalam tempoh terdekat.

Tindakan proaktif ini adalah selaras dengan amaran Ketua Pesuruhjaya SPRM yang mahu semua yang terlibat dalam rasuah terutamanya penjawat awam supaya menghentikan aktiviti-aktiviti haram mereka dan menjauhkan diri daripada sebarang perbuatan rasuah.

Dalam pada itu, SPRM turut merampas 127 geran tanah, sembilan buah kenderaan mewah iaitu Range Rover, Audi, BMW, Ford Ranger, Mercedes Benz, Mazda, BMW, Lexus, Volvo, jam tangan berjenama, barang-barang kemas serta 94 beg tangan berjenama mewah milik isteri-isteri suspek.

Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari.


DATO' AZAM BAKI
TIMBALAN KETUA PESURUHJAYA (OPERASI)
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
KOTA KINABALU, SABAH

5 OKTOBER 2016



Sent from Samsung tablet.