Isnin, 31 Oktober 2016

Pelumba Ducati 04 Dovizioso juara di Sepang



SEPANG: Andrea Dovizioso meraih kemenangan pertamanya dalam Grand Prix Motosikal musim ini di Litar Antarabangsa Sepang di sini, hari ini.

Ia merupakan kemenangan sulung sejak 2009 bagi pelumba Itali yang mewakili pasukan Ducati itu

Dovizioso mendominasi perlumbaan 19 pusingan itu yang berlangsung dalam keadaan hujan dan trek basah dengan catatan 42:27.333s mendahului rakan senegaranya Valentino Rossi daripada Yamaha Movistar Moto GP di tempat kedua dengan 42:30.448s.

Rakan sepasukan Rossi, Jorge Lorenzo turut melakukan penyudah podium dengan catatan 42:39.257s manakala pendahulu kejohanan dunia, pelumba Sepanyol Marc Marquez mewakili Repsol Honda Team pula menamatkan perlumbaan di tempat ke-11 dengan 43:03.813s.

"Perlumbaan ini amat sukar. Rossi amat pantas, tetapi saya tidak berputus asa dan mengelak melakukan kesilapan. Sepang merupakan satu daripada trek kegemaran saya walaupun saya tidak pernah menang di sini sebelum ini.

"Saya gembira dengan prestasi motosikal dalam keadaan trek basah ini kerana saya mampu mengekalkan kelajuan yang sama dari awal hingga akhir. Keputusan ini amat penting bagi pasukan Ducati," kata Dovizioso dalam sidang media.

Kemenangan sebelum ini dicatatkan Dovizioso adalah pada 2009 di Great Britain.

Sementara itu, prestasi Rossi menyaksikannya menduduki tempat kedua dalam kedudukan kejohanan dunia MotoGP musim ini selepas mengumpul 236 mata di belakang Marquez dengan 278 mata.

Rossi berkata ia merupakan keputusan amat penting kerana rakan sepasukannya Lorenzo biasanya amat pantas pada pusingan terakhir MotoGP di Litar Valencia yang akan berlangsung pada 13 Nov.

Lorenzo menduduki tempat ketiga dalam kejohanan dengan 208 mata. Marquez telah pun merangkul gelaran kejohanan dunia pada dua minggu lepas di Jepun.

Rossi, 37, berkata dia mula mengalami masalah apabila trek beransur-ansur kering ketika perlumbaan berlangsung.

"Apabila air (menjadi) semakin kurang, saya berdepan masalah dengan tayar depan dan terpaksa lebih perlahan. Secara keseluruhannya perlumbaan adalah baik, Dovizioso dan motosikalnya beraksi amat baik," kata juara dunia sebanyak sembilan kali itu. -- BERNAMA











Sent from Samsung tablet.