Selasa, 11 April 2017

KENYATAAN MEDIA : SAMBUT BAIK SARANAN KETUA UMUM KEADILAN MENGENAI RUU 355

*Pkr dah mula buat pusingan U*

10 April 2017

Angkatan Muda Keadilan menyambut baik saranan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat yang menerima usul Rang Undang-Undang 355 dan secara prinsipnya bersetuju bahawa RUU355 yang telah diperjelaskan oleh YB Marang, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan YB Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan; adalah sebagai salah satu usaha bagi memperkasakan sistem perundangan Mahkamah Syariah di negara ini.

Angkatan Muda Keadilan juga beranggapan, polemik mengenai RUU355 yang telah dimainkan UMNO sebelum ini tidak harus lagi digunakan sebagai modal politik dan menimbulkan keresahan di dalam masyarakat. Kami juga mengecam tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menafikan perbahasan untuk RUU355 dengan menangguhkan sidang lebih awal daripada kebiasaan. Tindakan Speaker ini membuktikan betapa Barisan Nasional dengan sengaja dan terancang menggunakan isu ini bagi mewujudkan kontroversi dan polemik yang berpanjangan.

Angkatan Muda Keadilan juga mengulangi tekad Keadilan yang menghormati hak YB Marang dan PAS untuk membentangkan RUU355, seperti yang dijamin Perlembagaan dan amalan demokrasi di negara ini. Pencerahan yang diberikan YB Marang dan Kota Bharu sedikit sebanyak mampu meredakan keresahan yang timbul sebelum ini dan diharap ianya dapat menjurus kearah satu situasi yang membina dan bermakna untuk usaha pemerkasaan Mahkamah Syariah di negara ini.

Angkatan Muda Keadilan juga menggesa semua pihak, untuk menghentikan sebarang bentuk prasangka dan tindakan yang melulu dalam mendepani isu RUU 355 ini. Kami juga sekali lagi mendesak pihak Kerajaan Barisan Nasional untuk segera mewujudkan satu Jawatankuasa Pilihan bagi menilai RUU ini. Kami juga menyarankan agar satu wacana yang sihat dan terbuka diadakan bagi membincangkan soal pemerkasaan dan meningkatkan integriti Mahkamah Syariah di Malaysia.

Dr Afif Bahardin
Timbalan Ketua
Angkatan Muda Keadilan