Isnin, 10 April 2017

MB Inc Sumbang Lebih RM53juta:- Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid



Dakwaan pembangkang mengatakan Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) tidak menyumbang kepada Kerajaan Negeri adalah bercanggah sama sekali apabila sehingga Mac 2017, sebanyak RM53.7 juta telah disumbangkan.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Kadir menjelaskan nilai berkenaan melibatkan pembayaran royalti hasil mineral dan galian, yuran kepada Pejabat Tanah dan Galian serta sumbangan secara langsung kepada kerajaan negeri.

"Kalau kita faham sesuatu agensi kerajaan ia beri sumbangan kepada kerajaan bukan hanya melalui cukai tetapi ia boleh beri sumbangan seperti dividen,sumbangan terus kepada kerajaan, serta melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Pada 31 Mac 2017, sumbangan MB Inc kepada kerajaan negeri ialah RM53.7 juta ini merupakan sumbangan dari aspek royalti, hasil disumbang secara langsung kepada kerajaan negeri," katanya.

Daripada jumlah itu, sumbang terbesar diberikan oleh MB Inc ialah menerusi royalti mineral dan galian iaitu RM 34.6 juta, yang mana ia merupakan teras perniagaan yang dilaksanakan oleh perbadanan tersebut sejak ia diaktifkan pada tahun 2012.

Jelas Datuk Mohammad Zahir lagi, MB Inc tidak pernah mendapat suntikan modal daripada Kerajaan Negeri sebaliknya membuat pinjaman awal sebanyak RM500,000 dan kini pinjaman itu telah diselesaikan.

"Jadi tidak wajar timbul kekecohan di sidang DUN kalau kata MB Inc tidak membuat sumbang dan ianya tidak benar sama sekali," ujarnya yang membidas dakwaan pembangkang.

Pada sesi sidang DUN kali ini pembangkang menuduh pelbagai hal terhadap MB Inc termasuk tidak telus dan tidak berintergriti; tidak berkemampuan mengurus; diberikan tanah dan aset yang besar; diberikan keistimewaan melebihi agensi lain; mempunyai liabiliti; tidak menyumbang kepada negeri dan rakyat serta menjadi pesaing kepada pemain industri lain dalam bidang batu-batuan, mineral dan hartanah.

Dalam hal ini, Datuk Mohamad Zahir berkata MB Inc tidak pernah mendapat keistimewaan dari aspek operasinya .

"Kelulusan kita profesional...bila sesuatu kelulusan (projek dan seumpamanya) perlu melalui semua jabatan jadi kalau tidak lulus maka tidak boleh diteruskan...jadi tidak ada special treatment kepada MB Inc," ujar beliau lagi.

Tambahnya lagi, selaku syarikat milik kerajaan negeri, segala nilai hasil yang diperoleh oleh MB Inc penyata kewangannya secara tidak langsung dibentang di dewan menerusi akaun kewangan negeri.