SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dengan tindakan Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa, yang dikatakan memasuki dan memberi ceramah di sebuah masjid dekat sini, minggu lalu. Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Haris Kasim berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Munir Bani.
"Saya dimaklumkan, Sultan Selangor murka dengan tindakan ahli parlimen itu. "Seperti mana ucapan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa pada Majlis Berbuka puasa Sultan Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah semalam, semua pengurusan masjid perlu akur tidak membenarkan penceramah tiada tauliah memberi ceramah. "Pengurusan masjid terbabit juga sudah dipanggil Jumaat lalu untuk memberi keterangan mengenai insiden itu dan kertas siasatan sudah dikemukakan kepada Istana Selangor," katanya kepada BH.
Rabu lalu, Sivarasa dikatakan memasuki Masjid An-Nur Kg Melayu Subang, sebagai mewakili Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sebelum didakwa memberikan ceramah ketika berada dalam dewan solat. Beberapa gambar kehadiran wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu turut tersebar sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati beberapa pihak.
Semalam, ketika berucap, Mohd Adzib berkata, masih ada penceramah yang secara terang mengajar di masjid dan surau di Selangor atau tempat awam tanpa tauliah, sekali gus melanggar peraturan yang ditetapkan. Mohd Adzib berkata, MAIS menyokong sepenuhnya Operasi Tauliah yang dijalankan oleh JAIS ketika ini bagi memastikan penceramah yang dijemput mempunyai tauliah daripada MAIS.
Terdahulu, empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum kepada JAIS hari ini, membabitkan tindakan Sivarasa itu. Antara kandungan memorandum itu termasuk mengutuk sekeras-kerasnya tindakan berkenaan yang dilihat seakan-akan memperlekehkan agama Islam.
Setiausaha Agong Kesatuan Melayu Nasional (KMN), Datuk Khairul Khuzaini Zamsani berkata, pihaknya bersama NGO dari Permuafakatan Ayahanda-Ayahanda Semalaysia (PERMAS), Wakil Penduduk Kota Damansara; dan Pertubuhan Aduan Masyarakat dan Pengguna Selangor (PAMPS) menyerahkan memorondum berkenaan kepada wakil JAIS.
#deleaks
#infoSelangor
#teamviralSelangor
๐ฑ *Facebook Darul Ehsan Leaks*
๐ฑ *Twitter Darul Ehsan Leaks*
๐ฑ *Instagram*
๐ *Laman Web Darul Ehsan Leaks*
๐ *Kepada yang ingin mendapatkan info Selangor, sila hantar nama anda ke nombor +60145154521 melalui aplikasi WhatsApp dan simpan (save) nombor tersebut di telefon pintar anda*