Ahad, 28 Mei 2017

THE STAR HINA SOLAT TERAWIH DAN ISLAM

KENYATAAN AKHBAR 

Akhbar harian The Star digesa meminta maaf kepada seluruh umat Islam di negara ini kerana menyiarkan tajuk berita utama berkenaan 'pengganas' disertai dengan gambar umat Islam sedang bersolat terawih di halaman muka depannya bertarikh 27 Mei 2017.

Meskipun tajuk berita tiada kena mengena dengan gambar tersebut, ia boleh menyebabkan orang ramai  tersalah tafsir apa yang disiarkan akhbar The Star seolah-olah merujuk pengganas kepada orang Islam dengan meletakkan kedua-dua berita dan gambar tersebut dalam satu muka surat besar di halaman depan.

The Star sebagai salah satu akhbar 'senior' berbahasa Inggeris utama di Malaysia sepatutnya lebih peka dengan sensitiviti di negara ini yang majoriti rakyatnya beragama Islam lebih-lebih lagi dengan banyak insiden keganasan yang terjadi di luar negara kini.
Tambahan pula umat lslam  menyambut hari pertama bulan ramadan, bulan mulia umat lslam.

Sama ada penyiaran muka depan akhbar itu disengajakan atau tidak, saya menggesa pengarang The Star untuk meminta maaf dengan seluruh umat Islam dan berjanji akan lebih sensitif dalam menyampaikan berita bagi mengelakkan tercetusnya ketegangan dalam komuniti berbilang kaum di negara ini lebih-lebih lagi memberi persepsi yang salah tentang agama Islam.

Saya juga menggesa pihak berwajib yang bertanggungjawab untuk melakukan pemantauan dalam memastikan tiada berita yang boleh mencetuskan kemarahan mana-mana agama dan kaum disiarkan.

Sesungguhnya media yang merupakan medium penyampaian berita memainkan peranan yang sangat penting dalam
menyampaikan laporan yang tepat dan tidak mengelirukan kepada rakyat.

SHAHAR ABDULLAH
KETUA PEMUDA UMNO PAHANG
28 Mei 2017