Isnin, 31 Julai 2017

Penilaian Calon Berpotensi PRU Diserahkan:- DSD Dr Zambry Abd Kadir


Senarai calon pilihan raya akan datang kini mungkin dalam proses penilaian dan pertimbangan oleh kepimpinan parti, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir.

Jelasnya, mereka yang dicalonkan adalah yang memenuhi kriteria yang ditetapkan selain mengutamakan aspek populariti seseorang calon itu dalam kalangan penduduk kawasan.

“Antara kriteria yang ditetapkan oleh Presiden parti (Datuk Seri Diraja Mohd Najib Tun Razak) iaitu kita lihat sejauh mana kesesuaian calon itu di kawasan berkenaan. Sama ada (calon adalah) sedang berkhidmat atau calon-calon baharu yang akan dipilih nanti. Ia berdasarkan kepada kaedah yang akan dilakukan iaitu, penilaian dan pemantauan.

“Ini sangat penting kerana calon yang hendak dipilih ialah calon yang dipilih hendaklah dikenali rakyat, dan mereka yang sedang berkhidmat adalah memberi sumbangan yang baik atau kepada calon baharu yang dipilih kita yakin dia dapat berikan perkhidmatan yang terbaik,” jelasnya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Gerik di Gerik pada Ahad.

Dari aspek penilaian dan pemantauan, Datuk Seri Diraja Dr Zambry berkata ianya tidak diketahui oleh para calon sebaliknya pucuk kepimpinan parti mempunyai caranya tersendiri.

Namun yang pasti, mereka yang disukai dan disenangi oleh rakyat tempatan berpotensi untuk mewakili BN pada pilihan raya umum ke-14 nanti.

Elemen ini turut diguna pakai pada Pilihan Raya Negeri Sarawak serta pilhan raya kecil sebelum ini.

“Calon-calon pun tidak tahu tentang kaedah-kaedah ini tetapi yang paling penting ialah calon itu hendaklah dikenali, disukai oleh orang ramai dan kita telah melaksanakan kaedah kajian ini,” katanya.

Sementara itu, beliau mengingatkan pembangkang supaya tidak menjadi ‘pak sibuk’ dalam urusan parti UMNO dan BN.

“Pembangkang jangan jadi ‘pak sibuk’. Kita tahu matlamat dia nak wujudkan suasana supaya perbahasan dalam masyarakat akan berlaku, pembangkang tetap pembangkang ia akan cetuskan yang tidak ada untuk menjadikannya ada.
.
“Dia jadi ‘pak sibuk’ dalam hal kita, biarkan dia, kita tidak usah melayan,” ulas Menteri Besar itu