Isnin, 31 Julai 2017

Tidak Perlu Patah Balik, UMNO Untuk Yang Setia:- DSD Mohd Najib Tun Razak


Presiden UMNO, Datuk Seri Diraja Mohd Najib Tun Razak mengingatkan bahawa parti itu hanya untuk mereka yang setia, lalu mereka yang telah berpaling tadah yang ingin kembali perlu mempunyai kriteria itu.

Beliau yang mengakui bahawa dalam parti keramat ini sudah pasti wujud perbezaan pendapat, namun yakin ia diselesaikan mengikut cara yang lebih berhemah.

“Kalau sudah keluar, keluar lah nak balik buat apa? Tidak perlu balik, kita nak orang yang setia pada UMNO.

“Kita boleh beza pendapatan dan bertelagah..takkan semuanya sehaluan sahaja, kita memang ada perbezaan pendapat tapi jangan sesekali hancurkan parti keramat kita,” katanya.

Datuk Seri Diraja Mohd Najib berucap pada majlis perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Parit di MRSM Parit, pada Sabtu.

Katanya lagi kesemua 199 UMNO bahagian seluruh negara telah menyerlahkan kekuatan dan semangat masing-masing disamping menyusun rapi barisan demi memastikan parti keramat itu terus unggul di bumi bertuah Malaysia.

“Bila pilihan raya, hanya ada dua sahaja (pilihan) sama ada pakatan yang dipimpin oleh UMNO atau alternatifnya.

“Pada kita bila ada dua pilihan kita mesti bagitahu bahawa pilihan yang terbaik untuk negara, orang melayu dan semua kaum adalah BN yang diterajui oleh UMNO; itu mesej kita kepada orang kampung,” katanya.

Tambahnya beliau mahu kuasa BN di Parlimen Parit terus dikekalkan dan bagi tujuan itu ahli UMNO perlu turun padang untuk selesaikan masalah rakyat baik masalah besar mahupun kecil.

Tentang kerancakkan pembangkang yang cuba pelbagai cara untuk dapatkan sokongan, Datuk Seri Diraja Mohd Najib berkata parti itu sendiri kelihatan celaru dalam perjuangannya.

“Rakyat boleh menilai dan nampak bahawa bila kita ini bukan sahaja selesaikan masalah tetapi kita beri pengharapan baharu kepada rakyat. Di bawah UMNO saya percaya wajah negara kita boleh berubah.

“Dalam politik Malaysia, bila reformasi ditubuhkan untuk apa?untuk gulingkan orang yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, yang digelar sebagai maha firaun dan diktator yang berdepan dengan suasana korupsi, salah guna kuasa,” ujar beliau.

Terdahulu Datuk Seri Diraja Mohd Najib mengumumkan sejumlah 3,160 hektar sawah padi di Parit dimasukkan ke dalam Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak.