Khamis, 17 Ogos 2017

CERITA BOHONG MUDAH DIPERCAYAI OLEH NETIZEN



Orang ramai diingatkan supaya tidak mempercayai tular kejadian ikan naik sendiri ke darat di pantai Tanjung Sedili yang dikatakan petanda bakal berlaku bencana di kawasan itu.

Ketua Kampung Tanjung Sedili, Ibrahim Yahaya berkata, memang benar gambar ikan terdampar adalah di kawasan berkenaan namun ia bukan naik sendiri ke pantai, sebaliknya dipukat oleh nelayan.

Menurutnya, gambar tersebut diambil Selasa lalu di Pantai Telok Mahkota, di mana bagi penduduk tempatan ia bukanlah sesuatu perkara baharu.


"Ia berlaku kelmarin, semalam saya tinjau ke lokasi sudah tidak ada ikan yang terdampar. Ikan-ikan ini sisa-sisa dari tangkapan nelayan yang memukat.


"Kebanyakan udang, ikan bersaiz besar sudah diambil nelayan dan yang tinggal hanyalah anak ikan serta ikan bersaiz kecil yang tak boleh dikomersialkan.

"Tambahan pula mereka yang memukat bukanlahorang tempatan dan kebanyakan orang luar. Jadi bila hasil pukat ditarik ke pantai dan bila terlalu banyak ikan kecil, mereka pun tinggalkan sahaja. Bila tular ikan bersepah di pantai mereka cakap ikan naik ke pantai pula, ia tak benar," katanya kepada pemberita.

Ibrahim berkata, sejak pekara itu tular di laman sosial, beliau menerima pelbagai pertanyaan dari masyarakat luar.

Katanya, bagaimanapun bagi penduduk sendiri tiada perkara pelik dan luar biasa mengenai kejadian itu.

"Saya sudah tinggal di sini berpuluh tahun tak pernah jumpa kejadian ikan naik sendiri ke darat. Kita nasihatkan kepada mereka yang mengandaikan perkara bukan-bukan bakal terjadi ekoran tular gambar tersebut agar hentikan.

"Kejadian ini bukanlah sekali berlaku malah sejak dahulu lagi cuma bezanya dahulu tak ada yang tularkan. Zaman ini zaman teknologi sekejap sahaja sudah tular tetapi apa diperkatakan itu tak benar," katanya.

SINAR HARIAN