Sabtu, 25 November 2017

Isu Tanah Rezab Melayu Di Selangor

3 years ago

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Khir Toyo membidas kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang mendakwa bahawa isu tanah rezab Melayu seluas 3960.77  ekar yang ditukarkan hak milik kepada bukan Melayu, berlaku sebelum tahun 2008 iaitu ketika negeri itu di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan bukannya di zaman pemerintahan beliau.

Jelas beliau, selama lapan tahun menjadi Menteri Besar Selangor, hanya tanah rezab Melayu di Putrajaya dan juga Cyberjaya saja yang ditukar hak milik di atas arahan kerajaan pusat untuk melaksanakan projek KLIA dan juga Multimedia Super Corridor (MSC) di dua kawasan tersebut.

“Laporan audit itu memberitahu tanah rezab Melayu yang ditukar hak milik itu melibatkan kawasan di Kuala Selangor, Klang dan juga Sabak Bernam, di mana ianya tidak pernah berlaku di zaman pemerintahan BN di Selangor.

“Sepanjang lapan tahun menjadi MB Selangor, saya hanya terlibat dalam penukaran hak milik tanah rezab Melayu seluas14 ribu hektar di kawasan Putrajaya dan Cyberjaya. Penukaran hak milik  itu dilakukan pun adalah bertujuan untuk melaksanakan projek kerajaan pusat bagi pembinaan KLIA dan MSC.

“Untuk makluman, tanah-tanah yang kita ambil untuk laksanakan projek tersebut  sudah pun kerajaan negeri gantikan semula. Jadi, jelas isu penukaran hak milik tanah rezab Melayu berjumlah tiga ribu ekar lebih sepertimana laporan ketua audit negara itu bukanlah berlaku di zaman pemerintahan BN di Selangor, ianya berlaku di zaman pemerintah PKR,” jelas beliau kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Semalam, laporan Ketua Audit Negara 2013 mendedahkan seluas 3960.77 ekar  tanah rizab Melayu di Selangor telah diberi hak milik kepada orang bukan Melayu, di mana semakan terhadap 129 carian rasmi kepada dokumen hak milik mendapati ia melibatkan 18 (13.9%) hak milik tanah di daerah Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Justeru itu, Khir menasihati Tan Sri Khalid agar mengambil tahu perjalanan pentadbiran negeri dan jangan hanya tahu untuk menyalahkan pihak lain bagi menutup  kelemahanya dalam menjalankan pentadbiran negeri.

“Saya minta Khalid jangan berdolak dalih dalam hal ini. Janganlah asyik jawab tak tahu, lepas itu lepas tangan dan dakwa  perkara itu berlaku di zaman pemerintahan BN, sedangkan hakikatnya tidak begitu. Di zaman saya jadi MB, tanah rezab Melayu ini betul-betul kita jaga dan kita tidak sesuka hati menukar hak milik tanah tersebut.

“Macam mana Khalid sebagai seorang MB mengatakan dia tidak tahu di mana tanah rezab Melayu tersebut? Apa yang beliau buat sebagai seorang MB dan di mana kepekaannya sebagai seorang pemimpin Melayu tertinggi di Selangor selama dua penggal ini, apabila beliau tidak tahu di mana tanah-tanah rezab Melayu di Selangor? Apatah lagi, isu ini melibatkan kepentingan orang Melayu di negeri tersebut,” tegasnya.-MediaUMNO