Ahad, 19 November 2017

Laporan Ekonomi Oleh Bank Negara 1996 dan 2016/17 Yang Lebih Mencabar

Ekonomi rantau Asia, Eropah dan Amerika banyak yang menguncup yang menyebabkan berlakunya krisis ekonomi dunia. Tahun 2009 ekonomi Malaysia dan dunia terus menguncup dengan teruk berbanding unjuran yang dibuat sebelumnya.

Ia menjadikan tahun 2016 menyaksikan pertumbuhan KDNK dunia yang paling rendah sejak Krisis Kewangan Global sejak 10 tahun kebelakangan.

Pertumbuhan perdagangan antarabangsa pula mencatat prestasi lebih rendah berbanding pertumbuhan KDNK dunia untuk tahun kedua berturut-turut. Pertumbuhan KDNK yang lebih sederhana ini disebabkan oleh aktiviti pelaburan yang perlahan dalam kebanyakan ekonomi dan harga komoditi yang lemah. Ini berlaku dalam keadaan ketidakpastian politik dan dasar yang meningkat dalam ekonomi utama. 

Matlamat pemulihan yang berterusan menjadi matlamat yang sukar dicapai oleh banyak ekonomi. Inflasi pula terus berada di bawah paras yang disasarkan oleh banyak bank pusat utama. 

Di Singapura yang mengamalkan pelabuhan bebas cukai menjadi tempat bersidainya ribuan kapal dagang kerana tiada permintaan untuk import dan eksport. Ia menjadikan malam begitu indah dan menyakitkan mata di waktu siang.


Ketika ini lah YAB Dato Seri Najib Razak dilantik untuk menjadi perdana menteri Malaysia ke 6 menggantikan Pak Lah yang melepaskan jawatannya, maka segala bebanan dan tekanan ekonomi terpaksa dipikul oleh Najib . Tanggung jawab dan amanah untuk memulihkan ekonomi negara.

Bersyukur kita berkat hasil usaha gigih beliau ekonomi kembali pulih dan berkembang.  Hari ini Melaysia meletakkan unjuran untuk menjadi kuasa ekonomi ke 24 terbesar dunia pada 2050. Sama-sama kita berusaha ke arah itu. 

Bloomberg baru baru ini menyatakan ekonomi Malaysia telah berkembang dengan pantas suku tahun ketiga dengan pencapaian 6.2 peratus selepas menongkah naik dari 5.8 peratus.

Manakala Malaysiakini menulis  Bank Dunia meramalkan pada tahun ekonomi Malaysia akan menguncup daripada 4.9 peratus kepada 4.8 peratus untuk tahun 2019. 

Zaman Mahathir menjadi perdana menteri pun tak terlepas dengan kegawatan ekonomi terutama pada tahun 1986/87. 


 EKONOMI MALAYSIA 2016  

Pada tahun 2016, ekonomi Malaysia terus berhadapan dengan rintangan yang besar dari dalam dan luar negeri. Walaupun beberapa kesan kejutan dalam negeri yang dialami sebelum ini beransur-ansur luput pada tahun 2016, prestasi pertumbuhan terjejas oleh risiko baharu yang timbul dan langkah penyesuaian yang berterusan terhadap kejutan dari luar negeri yang telah memberikan kesan kepada ekonomi negara sejak akhir tahun 2014. Meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran ini, ekonomi Malaysia mencatat prestasi yang menggalakkan dengan meningkat 4.2% pada tahun 2016.

Landskap global yang mencabar memerlukan penyesuaian berterusan dalam perbelanjaan isi rumah, perniagaan dan Kerajaan, dalam keadaan kesan kejutan dalam negeri terdahulu yang semakin luput. Prestasi eksport dan aktiviti pelaburan secara relatifnya perlahan sepanjang tahun 2016 berikutan permintaan global yang lembap dan harga komoditi yang rendah (Rajah 1.4). Selain itu, perkembangan politik ekonomi maju yang di luar jangkaan, terutamanya di UK dan AS, serta dasar makroekonomi yang dilaksanakan oleh negara-negara tersebut telah menimbulkan ketidakpastian yang lebih ketara dalam pasaran kewangan serta aliran keluar modal yang besar daripada ekonomi sedang pesat membangun.


Kejutan dari luar termasuk harga komoditi yang rendah, pertumbuhan lebih perlahan dalam ekonomi maju dan serantau, serta perkembangan geopolitik. 


Di dalam negeri, ekonomi negara terus berhadapan dengan rintangan yang berpunca daripada kos sara hidup yang lebih tinggi dan sentimen yang lemah. Penyesuaian oleh isi rumah secara berterusan terhadap kos sara hidup yang semakin meningkat, khususnya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana, telah diburukkan lagi oleh keadaan pasaran pekerja yang lembap . Pada masa yang sama, sentimen perniagaan dan pengguna terjejas disebabkan oleh beberapa faktor global dan faktor dalam negeri, termasuk keadaan pasaran kewangan yang semakin tidak menentu dan prestasi ringgit yang lemah secara berpanjangan (Rajah 1.5).


Cabaran dari dalam dan luar negeri ini telah mengakibatkan pengembangan yang lebih perlahan dalam semua sektor ekonomi pada tahun 2016. Keadaan harga yang lebih tinggi dan ketidakpastian yang semakin ketara menyebabkan pertumbuhan perbelanjaan isi rumah menjadi sederhana. Meskipun terdapat tanda- tanda tentatif bahawa momentum perbelanjaan semakin pulih pada separuh kedua tahun 2016, perbelanjaan isi rumah secara keseluruhan kekal di bawah purata jangka panjang sebanyak 6.6% (1990-2015). Pertumbuhan pelaburan sederhana dalam keadaan pelbagai kejutan kepada ekonomi dan persekitaran perniagaan yang tidak menentu. Pada awal tahun 2016, unjuran hasil berkaitan petroleum yang lebih rendah akibat kejatuhan harga minyak mentah telah menyebabkan Kerajaan membuat pengubahsuaian terhadap Bajet, lantas menyusun semula keutamaan perbelanjaannya. Berikutan pengurangan dalam perbelanjaan Kerajaan, aktiviti ekonomi benar terus mengalami tekanan. 

Dalam sektor luar negeri, akaun semasa dalam imbangan pembayaran kekal dalam lebihan, namun jumlahnya lebih kecil. Hal ini disebabkan oleh lebihan  perdagangan yang lebih rendah berikutan pertumbuhan eksport yang sederhana akibat permintaan global yang lembap. De sit struktur yang berterusan dalam akaun perkhidmatan dan pendapatan juga menyebabkan lebihan akaun semasa menjadi lebih kecil. Akaun kewangan terus mencatat aliran keluar bersih. Meskipun pelaburan langsung mencatat aliran masuk bersih, aliran masuk pelaburan portfolio pada separuh pertama tahun 2016 telah diimbangi oleh aliran keluar bersih yang lebih ketara pada separuh kedua tahun itu.

Asas-asas ekonomi yang kukuh telah memberi kekuatan kepada Malaysia untuk berhadapan
dengan pelbagai cabaran ini. Sumber pertumbuhan ekonomi yang pelbagai membolehkan kesan buruk akibat kejutan di sektor-sektor tertentu terus dapat ditangani. Walaupun pasaran pekerja lembap sedikit, keadaannya kekal stabil dengan pertumbuhan pendapatan yang berterusan telah menyokong perbelanjaan isi rumah. Institusi kewangan yang kukuh dan mudah tunai dalam negeri yang lebih daripada mencukupi turut memastikan pengantaraan kewangan dapat berjalan dengan lancar. Meskipun permintaan global lemah, kedudukan luaran Malaysia kekal kukuh, disokong oleh rizab antarabangsa yang lebih daripada mencukupi serta paras hutang luar negeri yang terurus.

Selain itu, tindak balas dasar yang sesuai dan tepat pada masanya memainkan peranan yang penting dalam menyokong pertumbuhan pada tahun 2016. Tindak balas ini termasuk pelaksanaan gabungan dasar monetari yang akomodatif dan langkah- langkah bersasaran yang menyokong pertumbuhan. Bank Negara Malaysia menurunkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) untuk mengekalkan tahap akomodatif dasar monetari. Pengurangan OPR turut disokong oleh usaha untuk meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah dan menyokong aktiviti sektor perniagaan. Sebagai contoh, Kerajaan mula melaksanakan dasar mewujudkan ekosistem yang kondusif bagi ekonomi perkongsian yang akan membuka sumber pendapatan baharu kepada isi rumah. Langkah-langkah lain, termasuk pengurangan caruman KWSP bahagian pekerja dan pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang lebih tinggi, juga diperkenalkan tahun itu bagi membantu isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana. Pada masa yang sama, insentif juga disediakan untuk menggalakkan lagi aktiviti perniagaan, khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Ini termasuk dana dan insentif untuk meningkatkan penggunaan teknologi, menggalakkan keusahawanan dan meningkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Menyedari akan cabaran trend global dan dalam negeri seperti penduduk yang semakin berusia, kemasukan teknologi baharu dan peningkatan produktiviti yang kecil telah menyebabkan usaha pembaharuan kritikal dan pelarasan struktur menjadi keutamaan. Usaha untuk meningkatkan daya saing eksport dipercepat selaras dengan peranan sektor luar negeri sebagai penggerak pertumbuhan penting ekonomi. Pelaburan yang sedang dilaksanakan untuk menambah baik infrastruktur zikal dan maya diteruskan bagi memenuhi permintaan yang bertambah untuk rangkaian hubungan yang lebih kukuh. Dalam membangunkan tenaga kerja berkualiti tinggi, kualiti sistem pendidikan terus menjadi keutamaan dasar. Oleh itu, penekanan akan lebih diberikan terhadap peningkatan kemahiran dan pembelajaran sepanjang hayat. Meskipun kesan pembaharuan struktur kepada pertumbuhan ekonomi jangka pendek adalah kecil, namun perkara ini penting demi pertumbuhan mampan ekonomi Malaysia pada masa hadapan.

Ekonomi Era Mahathir


Sejak 1988, ekonomi Malaysia mengalami pertumbuhan selama 9-tahun berturut-turut melebihi 8% setahun. Tiga angka 8 yang secara kebetulan dicatatkan itu, menurut kepercayaan kaum China, melambangkan kemakmuran "tiga kali ganda". Mungkin para pengkritik "Noddynomics" Malaysia tidak memahami kepercayaan serupa itu di kalangan masyarakat Asia.

Ekonomi Malaysia memasuki tahun 1996 dengan menghadapi berbagai-bagai kritik berikutan keengganan kerajaan menyederhanakan pertumbuhan sungguhpun mengalami defisit akaun semasa yang tinggi yang mencecah kira-kira 8.6% KDNK nominal pada 1995. Kerajaan sebaliknya mengambil beberapa langkah pentadbiran  menghadkan bekalan barangan pertengahan dari seberang laut serta kehilangan perkhidmatan melalui penyaluran kargo menerusi pelabuhan seberang laut.

Bagaimana pun, 1996 menyaksikan kelembapan eksport serantau yang berlaku berikutan kelembapan industri semi-konduktor dan elektronik global. Ini seolah-olah satu rahmat bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia apabila pertumbuhan menjadi sederhana daripada 9.6% pada 1995 kepada 8.2% pada 1996. Dasar kewangan kekal berhemat setelah kenaikan kadar faedah berlaku beberapa kali pada awal tahun dan sekali lagi pada pertengahan tahun, yang, secara senyap diakui oleh kalangan pengkritik bahawa sedikit kesederhanaan dalam pertumbuhan adalah dianggap perkembangan yang sihat bagi ekonomi Malaysia.

Dengan pertumbuhan yang sederhana, tekanan ke atas akaun luar dan ringgit menjadi reda. Ketika ahli-ahli ekonomi ternanti-nanti setiap pengumuman tentang angka dagangan (angka yang menjadi perhatian pada 1995) pada separuh pertama 1996, para pelabur pula semakin lega. Dua defisit yang besar pada bulan Januari dan Februari diikuti oleh beberapa lebihan kecil yang diselang seli dengan satu-dua defisit. Selepas defisit yang memeranjatkan pada 1995, sikap berhati-hati tokoh ekonomi untuk tampil ke hadapan bagi mengumumkan bahawa "masa paling teruk sudah berlalu" wajar difahami. Tinjauan Reuters tentang agensi-agensi penyelidikan utama pada bulan Januari 1996 meletakkan defisit dagangan bagi 1996 pada RM6.9 bilion dan defisit akaun semasa RM18.5 bilion. Bagaimanapun, menjelang pertengahan tahun, jelas sekali, ramalan perlu dikaji semula.

Defisit dagangan pada tempoh enam bulan pertama 1996 berjumlah RM0.8 bilion berbanding defisit berjumlah RM5.5 bilion pada tempoh yang sama 1995. Sehingga akhir November, defisit dagangan bagi tempoh 11-bulan pertama 1996 berjumlah RM1.4 bilion berbanding defisit berjumlah RM9.8 bilion bagi tempoh yang sama 1995.

Berikutan angka dagangan yang lebih baik daripada yang dijangkakan itu, ramalan bagi defisit akaun semasa  termasuk milik kerajaan  dijangka menurun dengan ketara. Tinjauan Reuters terhadap tokoh ekonomi tempatan yang sama menjelang hujung tahun meletakkan defisit akaun semasa pada RM 13.7 bilion yang tanpa diduga, adalah lebih optimistik daripada ramalan kerajaan sebanyak RM14.8 bilion. Ini memperbaiki kedudukan Malaysia di kalangan negara-negara jiran serantaunya.

Tekanan ke atas matawang yang sebelum ini memaksa Bank Negara menaikkan kadar faedah bagi melindunginya daripada spekulasi jualan singkat pada bulan Januari juga reda menjelang pertengahan tahun apabila semakin jelas bahawa defisit dagangan sudah berubah dan kadar faedah terus ketat sehingga hujung tahun. Kejatuhan nilai ringgit menjelang separuh kedua 1995, apabila kebimbangan berada di puncaknya, berubah menjelang permulaan suku kedua 1996.

Ketika kebimbangan tentang permainan ke atas matawang ringgit reda, penurunan rizab Bank Negara yang diawasi pada separuh kedua 1995 juga mula berubah haluan . Sehingga akhir September 1996, rizab Bank Negara dijangka menyediakan perlindungan yang mencukupi sehingga 4.4 bulan pengekalan import (1995: 4.0 bulan), meletakkan Malaysia pada kedudukan yang dihormati relatif kepada negara-negara jiran serantaunya .

Walaubagaimanapun, bukanlah adil untuk melaporkan bahawa ekonomi Malaysia, seperti yang dilihat oleh semua pihak sebagai sudah terlepas dari segala rintangan. Masih ada kebimbangan di kalangan peserta pasaran tentang kecairan yang ketara dalam sistem pasaran. Pertumbuhan matawang, seperti yang diukur melalui M3 dan pinjaman oleh bank-bank komersil dan syarikat kewangan terus berkembang pada kadar yang agak tinggi, walaupun tidak membimbangkan, kadar pertumbuhan bagi sebahagian besar 1996. Walaupun pertumbuhan kedua-dua agregat ini hanya mula menurun menjelang hujung tahun, pertumbuhan kewangan dan pinjaman sebanyak 25% masih tinggi memandangkan ekonomi bergerak pada atau, lebih sedikit daripada paras potensi. Anggaran ekonometrik kami membayangkan kenaikan pertengahan tahun Bank Negara dalam syarat rizab yang ditetapkan yang akhirnya akan membawa kepada kadar faedah lebih tinggi  akan hanya mendatangkan kesan selepas 6 hingga 8 bulan iaitu tempoh masa yang diperlukan untuk pinjaman diluluskan dan pembayaran sebenar dibuat yang biasanya berlaku mengikut jadual berperingkat.

Ketika inflasi, seperti yang diukur oleh Indeks Harga Pengguna, terus kekal dalam lingkungan 3% - 4%, kebimbangan juga wujud tentang lebihan kecairan yang menaikkan harga aset daripada harga pengguna. Inflasi harga aset yang tidak terkawal, seperti yang sudah diketahui oleh Japan, boleh terbukti berbahaya daripada inflasi harga pengguna. Statistik Bank Negara membayangkan, walaupun wajaran berkaitan sektor tertentu dalam jumlah portfolio pinjaman bank-bank komesil dan syarikat kewangan tidak berubah dengan ketara, wajaran kategori miscellaneous meningkat dengan begitu ketara. Kategori yang kabur ini antara lain termasuk pinjaman bagi pembelian saham dan kredit penggunaan.

1996 juga menyaksikan pengumuman rancangan ekonomi yang penting seperti Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK-7) dan Pelan Induk Perindustrian Kedua. RMK-7 menggambarkan sikap kerajaan yang memahami bahawa ekonomi Malaysia berada di persimpangan dan berusaha menaikkan taraf Malaysia daripada ekonomi berasaskan industri pemasangan dan pengeluaran, kepada ekonomi yang kaya dengan maklumat dan ilmu pengetahuan dengan mengalihkan tumpuan dasar daripada pertumbuhan yang didorong input kepada pertumbuhan yang didorong produktiviti kesemua faktor (TFP)1. Rancangan kedua bertitik tolak daripada apa yang ditinggal kan oleh Pelan Induk Perindustrian Pertama dengan memberi tumpuan mengukuhkan hubungan antara pembekal dengan pembeli serta memajukan teknologi asli dan kemampuan pasaran melalui pendekatan berasaskan kelompok.


1 Produktiviti kesemua faktor (TFP) mengukur keberkesaan yang mana, faktor pengeluaran dalam ekonomi digunakan. Berbeza dengan ukuran mudah produktiviti (buruh) yang disebut sebagai nisbah keluaran sebenar setiap pekerja, TFP juga mengiktiraf bahawa input kapital mengandungi teknologi terbaru dan semasa yang juga menyumbang kepada produktiviti seseorang pekerja. Sesetengah ahli ekonomi merujuk TFP sebagai kaedah mengukur 'kemajuan teknologi' atau 'kecerdikan' sesebuah negara.


Pengumuman belanjawan negara 1997 pada bulan Oktober mendapat sambutan sepi daripada pasaran kerana ramai meramalkan belanjawan kali ini adalah kesinambungan belanjawan yang terdahulu. Beberapa tokoh ekonomi kecewa dengan keputusan tidak memperkenalkan cukai nilai-tambah (VAT) dengan angka inflasi yang terkawal. Bagaimana pun, selaras dengan Rancangan Malaysia Ketujuh, belanjawan 1997 jelas menunjukkan langkah ke arah penubuhan industri berasaskan maklumat dan pengetahuan dengan pengumuman Koridor Raya Multimedia  sesuatu kawasan Multimedia & sistem teknologi maklumat yang diidam-idamkan, yang bermula dari Kuala Lumpur hingga ke Putera jaya dan pertumbuhan pasaran OTC bagi membiayai syarikat-syarikat berasaskan teknologi. Pelbagai langkah bagi memaju dan menggalakkan sektor perkhidmatan kewangan juga diumumkan. Walaupun belanjawan berbentuk agak berkecuali dari perspektif dasar kewangan, pasaran bagaimana pun kecewa kerana pengurangan cukai korporat yang dinanti-nantikan, tidak diumumkan.

Sumber : Bank Negara Malaysia