Sabtu, 25 November 2017

NAK BOHONG APA LAGI WAHAI PPBM?





Salah seorang bekas pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin hari ini bertanyakan pimpinan tertinggi parti itu, apakah lagi pembohongan yang dibuat kepada ahli akar umbi.

Ujar Anina, beliau begitu terkejut apabila Pendaftar Pertubuhan (RoS) memaklumkan Armada PPBM belum didaftarkan secara sah dan parti selama ini membenarkan Armada bergerak aktif secara haram.

"Saya dikejutkan sekali lagi apabila mendapat tahu bahawa sayap Armada sehingga kini masih belum wujud dalam sistem RoS. Ini bermaksud, secara tenikalnya majlis angkat sumpah serta pelantikan kesemua barisan kepimpinan Armada PPBM di peringkat pusat, negeri, bahagian dan cawangan juga adalah tidak sah.

"Kenapa perlu berbohong kepada saya dan ahli ketika itu? Dan berapa banyak pembohongan yang kepimpinan PPBM nak lakukan terhadap ahli-ahlinya?," soal Anina dalam kenyataan medianya hari ini.

RoS sebelum ini memaklumkan PPBM berdepan risiko dibubarkan kerana melanggar tiga akta pelembagaan partinya sendiri.

Pertama, gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM), menangguh AGM tanpa merujuk perlembagaan parti dan menggunakan istilah Armada sebagai nama sayap pemudanya.

Anina yang juga Presiden Empirical Malaysia sebelum ini digugurkan daripada jawatan Ketua Srikandi PPBM, selepas kepimpinan tertingginya memberitahu sayap puteri itu masih belum didaftarkan.

"Datuk Seri Muhyiddin Yassin sendiri memaklumkan kepada saya di hadapan setiausaha agung PPBM bahawa pada ketika itu hanya sayap Armada sahaja yang baru didaftarkan dan ditubuhkan," katanya.

Anina juga ditohmah sebagai gila jawatan biarpun beliau tidak sekalipun membuat rayuan kepada kepimpinan PPBM.

"Jika dahulu saya diketawakan dan dilabel gila jawatan kerana kononnya tergesa-gesa melantik barisan kepimpinan Srikandi.

"Hari ini dengan kuasa Allah Taala yang maha adil maka Allah telah menunjukkan kepada kesemua rakyat siapakah yang gila jawatan dengan sesuka hati dan secara semberono mencantas sesiapa sahaja yang mereka tidak sukai untuk mereka terus membohongi rakyat," katanya lagi.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MPT) PPBM itu kemudiannya menasihatkan kepimpinan parti agar tidak lagi berselindung di sebalik alasan 'parti baru'.

"Hentikan alasan yang biasa digunakan, yakni parti baru yang masih banyak kelemahan.

"Jika PPBM mendabik dada bahawa ianya mampu memimpin kerajaan baru di Putrajaya selepas PRU14 kerana pengalaman pucuk pimpinannya yang berpuluh tahun dalam kerajaan, jangan beri alasan bahawa parti baru perlukan masa untuk sempurna.

"Jika pengasas-pengasas parti juga ditipu, beritahu saya bagaimana saya boleh yakin bahawa anda tidak akan menipu rakyat," katanya lagi.