Sabtu, 3 Mac 2018

UCAPAN PERASMIAN AGUNG UMNO 20/06/2002




"MENDEDAH YANG TERBUKA" 

1. Alhamdullillah, Segala puji bagi Allah s.w.t. Sekali lagi kita Parti UMNO dapat bersidang dalam keadaan aman dan tenteram, bersidang untuk membincang dan membahas prestasi parti dan bangsa kita, dasar-dasar dan masa depan negara yang tercinta ini, Negara Malaysia. Bahawa kita dapat berbuat demikian dalam keadaan yang sempurna adalah satu nikmat yang besar kerana sebenarnya ia adalah sesuatu yang istimewa, yang luar biasa. Bahawa setelah berusia 56 tahun UMNO masih wujud sebagai sebuah parti yang berwibawa, yang berkuasa dalam negara ini, yang tersusun rapi, tertib dan berkesan, adalah perkara- perkara yang perlu kita bersyukur dengannya. Tidak banyak parti politik yang berusia seperti kita yang masih ada, dan jauh sekali masih berkesan, berwibawa dan masih menjadi parti pemerintah. 

 DUNIA YANG PENUH MASALAH 

 2. Lagi pun kita berada dalam dunia yang penuh dengan masalah, ketidaktentuan; terancam dengan keganasan yang luar biasa, dengan penindasan oleh yang kuat ke atas yang lemah, yang kaya ke atas yang miskin; dengan peperangan berlaku di sana-sini, pembunuhan beramai- ramai, kezaliman dan ketidakseimbangan yang ketara di antara yang miskin dengan yang kaya. 

 3. Alaf ketiga dan abad ke 21 tidak membawa tamadun manusia ke tahap yang lebih baik, walaupun kepandaian dan kecekapan manusia begitu tinggi sekali. Zaman teknologi maklumat, zaman ilmu pengetahuan sudah tiba. Malangnya manusia sudah menjadi angkuh dengan kebolehan mereka. Ilmu yang diperolehi tidak banyak digunakan untuk kebaikan dan kesejahteraan hidup manusia, tetapi lebih kepada peningkatan kebolehan menindas dan membunuh lebih ramai manusia. 

 4. Kebesaran negara diukur melalui penciptaan dan pemilikan senjata yang boleh membunuh jumlah manusia yang lebih besar dan bukan kerana tamadun yang mulia. Dengan jumlah nuklear "warhead" yang boleh menghancurkan seluruh dunia dan seluruh umat manusia, mereka memaksa negara-negara di dunia supaya tunduk kepada mereka. Ini jelas menunjukkan bahawa manusia belum dapat maju setapak pun dari Zaman Batu di mana kekuatan bermakna kebenaran. "Might is right". Mereka yang kuat boleh buat apa sahaja. Mereka yang lemah perlu terima sahaja nasib yang ditimpa ke atas mereka. 

 5. Keadilan dan kebenaran tidak ada tempat dalam perkiraan mereka yang menjadi kuasa besar. Dengan tidak segan-segan mereka menggunakan dua kayu ukur - satu untuk mereka dan satu lagi untuk orang lain. Apa sahaja yang dilakukan oleh mereka adalah betul, baik dan wajar. Tetapi perlakuan perkara yang sama oleh orang lain adalah salah dan tidak wajar. 

 6. Perang Dingin sudah tamat hampir dua dekad tetapi penyelidikan, penciptaan dan pengeluaran senjata-senjata baru masih diteruskan. Selain daripada senjata nuklear ada pula senjata kuman dan gas. Senapang satu peluru diganti dengan mesingan yang boleh membunuh berpuluh- puluh orang sekali dipetik, yang boleh melontar grenad dan api yang mampu bukan sahaja membunuh manusia tetapi memusnah dan membakar apa sahaja. 

 7. Kemampuan meriam, roket peluru berpandu dan senjata- senjata lain untuk membunuh lebih ramai manusia telah dipertingkatkan. Di udara kemampuan pesawat pejuang untuk memusnah dan membunuh, pesawat yang sudahpun cukup canggih telah dipertingkatkan lagi kemampuannya. Daripada pesawat yang hanya berharga ratusan ribu dolar, sekarang ini tiap pesawat berharga ratusan juta dolar. Berbilion-bilion dolar dibelanjakan oleh kuasa besar untuk membekal angkatan perang mereka dengan beratus- ratus pesawat ini. Dan negara yang miskin juga terpaksa membeli pesawat-pesawat ini kerana jika tidak, negara jiran atau negara musuh akan dibekalkan dengan pesawat- pesawat ini. Perbelanjaan untuk memiliki bekalan senjata tidak memberi pulangan apa-apa selain daripada menaikkan semangat pasukan pertahanan dan Kebangsaan sesebuah negara. Dengan perlunya pemodenan senjata setiap masa, negara-negara besar dan kecil mensia- siakan sejumlah besar wang ringgit yang begitu sukar diperolehi untuk membeli senjata yang tidak akan diguna, sementara orang miskin terus merana. Namun penciptaan dan peningkatan kecanggihan senjata masih diteruskan dan semakin besarlah jumlah wang tiap negara yang akan disia- siakan. 

 8. Di masa yang sama pencipta dan pembekal senjata ini tidak dapat faham kenapa di sana sini peperangan berlaku. Mereka kononnya menentang huru-hara, peperangan kecil dan aneka jenis penindasan. Mereka menentang penjualan senjata secara haram. Mungkinkah ini disebabkan penjualan haram menjejas pasaran senjata yang mereka anggap sebagai hak mereka? Bahawa tanpa mereka mengeluarkan senjata-senjata ini, tidak mungkin ada pasaran haram tidak mengganggu fikiran mereka. 

 9. Dengan begitu banyaknya senjata di seluruh dunia tidak hairanlah peperangan dan pemberontakan bersenjata berlaku di seluruh pelusuk dunia. Tidak ada satu hari yang berlalu yang berpuluh manusia tidak dibunuh dengan senjata-senjata yang dicipta dan dipasar tanpa sekatan ini. 

 PERISTIWA 11 SEPT DAN KEGANASAN 

 10. Pada 11 September berlakulah peristiwa yang mengejutkan seluruh dunia. Ketika negara kaya dan berteknologi tinggi menumpu kepada ciptaan senjata- senjata canggih yang boleh memberi lebih "fire-power" kepada mereka, pesawat penumpang biasa digunakan sebagai peluru berpandu untuk menyerang pusat dan simbol kekuasaan negara maju. Tetapi kesannya lebih daripada kehancuran bangunan dan kematian lebih 3000 orang. Kesan yang ketara ialah ketakutan yang amat sangat oleh seluruh dunia akan serangan oleh pengganas. Bukan sahaja bangunan yang runtuh tetapi ekonomi dunia turut runtuh dengan teruk kerana ketakutan pelancong dan ahli perniagaan akan terperangkap dalam pesawat yang diculik oleh pengganas untuk dijadikan peluru berpandu. Beratus- ratus bilion dolar telah hilang kerana aktiviti pelancongan, perniagaan dan industri penerbangan hampir terhenti terus. 

 11. Berhadapan dengan ancaman yang tidak diduga ini kuasa-kuasa besar naik gelabah dan seolah-olah hilang pedoman. Oleh kerana tidak berpengalaman dalam menangani serangan pengganas, mereka kembali kepada cara-cara peperangan biasa. Walaupun semua pengganas 

11 September bukan daripada orang Afghan, tetapi oleh kerana Afghanistan menjadi pangkalan kepada kumpulan pengganas Al-Qaeda yang dipercayai terlibat dengan serangan pada 11 September, maka negara itu diserang dengan senjata yang tidak kenal siapa. Ramai yang tidak bersalah, orang awam, perempuan tua dan muda, kanak- kanak, orang sakit telah terbunuh dan cedera, dan berjuta-juta rakyat negara yang malang ini terpaksa melarikan diri ke negara jiran di mana mereka hidup merana, tanpa teduh, tanpa makanan yang cukup, tanpa perubatan. 

 12. Alhamdulillah, puak Taliban yang dahulu diperalatkan oleh kuasa tertentu untuk menjatuhkan Kerajaan Afghanistan, telah lari berselerak. Jika tidak akan ranaplah semua bandar dan kampung di Afghanistan; akan terbunuhlah ramai rakyatnya, kerana serangan udara yang tidak kenal siapa. 

 13. Tetapi keganasan tidak dapat dihentikan. Kuasa- kuasa besar terus berada dalam ketakutan, terus hidup dalam iklim perang kerana dipercayai bila-bila masa sahaja pengganas akan menyerang lagi. Mengalahkan Afghanistan tidak memberi apa-apa kesan kepada peperangan melawan keganasan. 

KEGANASAN TERHADAP PALESTIN 

 14. Sebenarnya kemungkinan keganasan berlaku sudah bertambah kerana Israel, yang menindas Palestin, mengambil kesempatan daripada peperangan melawan keganasan untuk bertindak lebih ganas terhadap rakyat Palestin. Ariel Sharon, Perdana Menteri Israel, berpendapat keganasan boleh dihentikan dengan keganasan yang lebih dahsyat terhadap pihak yang kononnya melahirkan pengganas. 

 15. Tiap kali Israel dan rakyatnya diserang oleh pasukan berani mati Palestin, Sharon mengarahkan supaya sebilangan yang lebih besar rakyat Palestin dibunuh. Puncak terakhir ialah serangan ke atas Jenin, di mana rumah batu diruntuh dengan penghuninya masih ada di dalam. Maka beratus-ratuslah rakyat Palestin terbunuh, jauh lebih ramai daripada rakyat Israel yang terbunuh oleh serangan bom manusia Palestin. Tindakan Israel ini bukan sahaja tidak mengurangkan keganasan tetapi sebaliknya menimbulkan kemarahan yang amat sangat di kalangan semua orang Islam, yang mana ini boleh menyebabkan lebih banyak keganasan. 

 16. Israel harus ingat bahawa ia berada di tengah- tengah negara Arab dan Islam. Sampai bilakah dapat Israel bertindak balas dengan lebih kejam terhadap rakyat Palestin? Jika Israel dapat membunuh semua enam juta rakyat Palestin pun, tidak ada jaminan orang Islam dan orang Arab dari negara-negara di sekeliling Israel tidak akan mengganas seperti rakyat Palestin yang berani mati. Ingatlah bahawa yang menyerang pada 11 September bukan rakyat Palestin. Mereka adalah dari negara-negara Islam yang di sekeliling Israel. Tidak mungkin Israel dapat membunuh 1,300 juta orang Islam untuk menyelamatkan dirinya. 

 17. Ariel Sharon harus faham dan penyokong Sharon di dalam dan luar negeri juga harus faham bahawa mengganas lebih daripada keganasan pengganas bukan cara untuk menyelamatkan Israel. Kata Mat Salleh, "you are painting yourself into a corner." Lebih kejam dan ganas serangan Israel ke atas rakyat Palestin, lebih marah dan lebih naik angin bukan sahaja orang Palestin tetapi semua orang Islam. Dengan itu lebih sukar lagi untuk mencari penyelesaian bagi masalah Israel; lebih sukar lagi untuk menamatkan keganasan. Hari ini pun sudah ada puak-puak di kalangan orang Palestin dan Islam yang tidak lagi sanggup berdamai dengan Israel. Mereka ingin meneruskan keganasan sebagai cara membalas dendam. Mereka tidak peduli akan tindak balas Israel, walau bagaimana kejam sekali pun. Dan mereka tidak peduli menang atau kalah asalkan mereka dapat membunuh orang Israel dan penyokong mereka sebagai balasan terhadap kekejaman Israel. 

 18. Kita khuatir sesiapa sahaja daripada mana-mana bangsa yang menyokong Israel akan menjadi sasaran serangan pengganas, di mana juga mereka berada, sama ada dalam negeri atau luar negeri. Orang yang tidak berdosa antara mereka mungkin dibunuh atau diculik. Tidak mungkin pengawal keselamatan diadakan bagi setiap orang apabila mereka ke sana-sini di seluruh dunia menjalankan urusan mereka. 

 19. Israel perlu sedar akan "futility" atau sia-sianya pendekatan yang mereka ambil. Penyokong mereka juga harus sedar bahawa berperang dengan pengganas tidak seperti perang biasa. Dalam perang biasa negara yang menjadi musuh boleh diserang sehingga tentera mereka dikalahkan, sehingga wilayah mereka ditawan. Apabila ini berlaku musuh akan menyerah kalah dan perang akan tamat. Musuh sekuat Jepun dan Jerman pun boleh dikalahkan dengan cara ini. 

 20. Perang melawan pengganas tidak semudah ini. Pengganas bukan pemerintah yang bertanggungjawab terhadap kalah menang negara. Mereka tidak berada di negara tertentu. Mereka boleh berada di mana sahaja. Mereka boleh menjadi orang biasa di satu hari dan menjadi pengganas pada hari esoknya. Mereka bukan askar yang bertindak secara teratur dan mengikut arahan. Kehilangan ketua tidak semestinya menghentikan keganasan mereka. Tidak ada jaminan arahan ketua akan dipatuhi mereka, termasuk arahan menghenti mengganas, arahan berhenti perjuangan. 

 ATASI SEBAB UNTUK HENTI KEGANASAN 

 21. Hanya yang akan menamatkan keganasan mereka ialah apabila mereka dapati tidak ada sebab lagi kenapa mereka perlu mengganas. Tidak ada manusia yang sanggup mengorbankan nyawanya terutama meletupkan dirinya tanpa sebab. Oleh itu tentukanlah sebab mereka mengganas dan hapuskanlah sebab itu. 

 22. Kita tidak syak bahawa sebab utama keganasan dilakukan oleh pengganas Islam ialah kemarahan terhadap Israel, terhadap rampasan wilayah Palestin oleh kuasa Barat untuk menubuh Israel, pengusiran keluar orang Palestin dari wilayah mereka setelah Israel ditubuh, pembangunan rumah haram oleh pemerintah Israel di atas tanah Arab Palestin, meruntuh rumah-rumah orang Palestin dan keganasan askar Israel menembak dan membunuh rakyat Palestin termasuk kanak-kanak yang hanya melontar batu. Turut menyebabkan kemarahan orang Islam ialah penindasan ke atas negara-negara Islam lain dan orang Islam di merata dunia. 

 23. Jika keganasan hendak dihentikan maka kezaliman dan penindasan Israel ke atas Palestin dan rakyatnya hendaklah dihentikan dengan segera terlebih dahulu. Wilayah Palestin perlu dikembalikan kepada rakyat Palestin. 

 24. Orang Islam, orang Arab bukanlah degil dan ketegar secara buta tuli. Mereka sanggup mengiktiraf Israel jika Israel memberhentikan keganasan mereka, kembali ke wilayah asal Israel dan membenar pelarian Palestin kembali ke tanah mereka, sama ada dalam Israel atau di Palestin. Israel perlu mengiktiraf Palestin sebagai negara yang berdaulat. Wilayah Palestin yang diduduki oleh rakyat Israel mestilah dikembalikan kepada Palestin. 

 25. Walaupun terdapat banyak punca dan sebab keganasan berlaku, tetapi punca terbesar ialah Israel dan penguasan secara ganas wilayah Palestin olehnya. Kuasa- kuasa besar perlu tangani masalah ini dan menyelesaikannya jika mereka ingin menamatkan sebahagian besar keganasan dan dunia dibebaskan daripada ketakutan. 

 ANCAMAN GLOBALISASI 

 26. Selain daripada ancaman perang dan keganasan terdapat banyak kepincangan dan masalah bagi dunia di permulaan abad ke 21 ini. Semasa Perang Dingin puak Kapitalis membendung nafsu mereka kerana takut negara- negara miskin memilih komunisme sebagai ideologi. Tetapi tamatnya Perang Dingin telah membebaskan puak kapitalis untuk melayan nafsu mereka tanpa had. Tidak puas dengan meraih kekayaan dalam negara sendiri, mereka ingin membolot semua kekayaan yang terdapat di dunia. Dengan mengambil kesempatan daripada perhubungan telekomunikasi dan penerbangan jet yang pantas mereka mencipta konsep dunia tanpa sempadan dan globalisasi. 

 27. Mereka begitu geram melihat wilayah yang ditakluk oleh mereka dahulu mencapai kemerdekaan dan menghalang eksploitasi oleh mereka. Tidak puas dengan agensi antarabangsa dan penubuhan badan-badan bukan Kerajaan sebagai agen mereka untuk menidakkan kebebasan negara- negara yang baru merdeka ini, dengan mendakwa sempadan negara tidak penting lagi, mereka berharap mereka dapat kembali untuk menguasai semula tanah-tanah jajahan mereka dahulu. 

 28. Mereka mentafsirkan dunia tanpa sempadan atau globalisasi sebagai kebebasan bagi modal melintasi sempadan tanpa peraturan atau syarat untuk negara-negara yang bebas dan berdaulat melindungi diri. Oleh kerana negara miskin tidak mempunyai modal, kebebasan ini tidak dapat dimanfaatkan oleh mereka. Selain daripada modal tidak ada kebebasan melintasi sempadan. Rakyat negara miskin tidak boleh berhijrah ke negara kaya. 

 29. Kononnya kemasukan modal akan memperkayakan negara miskin. Yang tidak disebutkan ialah apabila modal ditarik keluar, terutama secara mendadak, negara-negara yang sederhana maju pun boleh menjadi miskin dan merana dalam sekelip mata. 

 30. Inilah yang dilakukan semasa krisis kewangan di Asia Timur. Kerana kononnya negara-negara Timur ini tidak ditadbir dengan telus dan baik maka mereka diramal akan mengalami kemerosotan ekonomi. Untuk mengelak daripada kerugian, pelabur asing menarik keluar dana mereka dan spekulator matawang menjual wang yang kononnya dimiliki oleh mereka dalam pasaran wang secara mendadak. Dengan tindakan ini maka merosot sungguhlah ekonomi negara-negara ini dan beruntunglah mereka yang menjual saham dan wang yang kononnya mereka miliki. 

 31. Semua konsep dagangan wang ini dicipta oleh mereka semata-mata untuk mereka meraih keuntungan. Kenyataan yang sebenar ialah pentadbiran yang dikatakan tidak telus dan kurang cekap sebenarnya telah berjaya membangunkan negara-negara Asia Timur dengan amat pesat sehingga mereka digelar sebagai harimau ekonomi. Yang benar ialah kemerosotan negara-negara ini disebabkan oleh penyangak matawang yang menjual secara besar- besaran matawang negara-negara ini dan pemain pasaran saham yang menjual secara jualan singkat atau "short- selling" saham dalam bursa saham. 

 32. Walaupun ini semua jelas membawa malapetaka ekonomi tetapi pihak-pihak tertentu masih enggan meminda rejim kewangan antarabangsa. Mereka ingin mengekalkan rejim ini supaya mereka dapat terus meraih keuntungan bagi diri mereka. 

 33. Kita lihat bagaimana banyaknya negara di dunia yang menjadi amat miskin sehingga tidak dapat dipulihkan kerana sistem kewangan antarabangsa ini. Sesungguhnya sistem kewangan antarabangsa dan dunia tanpa sempadan atau globalisasi menjadi ancaman dan cabaran kepada negara kecil seperti kita. Bukanlah kita menolak globalisasi secara total tetapi kita berpendapat tafsiran yang hanya memberi kebebasan kepada modal melintasi sempadan adalah amat merbahaya. 

 34. Kita juga khuatir akan tujuan bank-bank dan syarikat-syarikat gergasi meneruskan percantuman mereka untuk menjadi lebih besar. Jika mereka dibenar masuk dan bermaharajalela di negara kecil sudah tentu mereka akan menguasai semua perniagaan dan ekonomi negara- negara ini. Syarikat-syarikat dan bank-bank tempatan akan ditelan oleh mereka. Kita percaya dalam usaha untuk meningkatkan keuntungan mereka, sebahagian daripada pekerja bank atau syarikat yang ditelan oleh mereka akan digugurkan. Akhirnya rakyat negara kecil tidak lagi akan memiliki perniagaan sendiri tetapi menjadi pekerja upahan gergasi asing. 

 35. Yang lebih menakutkan ialah gergasi-gergasi ini akan menjadi begitu besar, kuat dan berpengaruh sehingga dapat menguasai politik negara. Ini telah berlaku di Amerika Tengah di mana pengurus ladang pisang dapat menentukan siapa menjadi Presiden negara. Tidak mustahil ini juga akan berlaku apabila gergasi-gergasi asing sudah menguasai ekonomi dunia sepenuhnya. Tiap gergasi ini adalah berpuluh kali lebih besar daripada segi kewangan daripada majoriti negara-negara membangun. 

 36. Negara kita Malaysia tetap menjadi sasaran. Media asing tidak berhenti-henti memburukkan negara ini. Segala pendapat, pendirian dan amalan kita dikecam hebat oleh mereka. Apatah lagi kita adalah negara Islam di mana orang Islam menjadi majoriti dan menguasai negara ini. Kejayaan kita hanya menimbulkan perasaan geram dan benci yang berlebihan di kalangan mereka. Jika tidak kerana ini apakah sebabnya mereka mencaci kita yang bukan-bukan, seolah-olah kita tidak pernah membuat apa- apa yang baik sama sekali? 

 NASIB MALANG UMAT ISLAM 

 37. Sebelum pun berlaku peristiwa 11 September, agama Islam dan umat Islam sudah dituduh sebagai agama dan orang yang mundur, tidak mampu memerintah dan membangun negara sendiri dan sering terlibat dengan keganasan. Pandangan ini menjadi lebih buruk selepas 11 September. Hari ini sesiapa yang memiliki nama Islam diberi layanan yang buruk. Mereka ditahan, disoal, diperiksa, diserang, bahkan dibunuh dengan sewenang-wenangnya. Pemilikan kad kredit tertentu pun ditegah bagi orang Islam. 

 38. Jelas sekali di waktu ini umat Islam amat tertindas dan terhina di dunia. Kita kecewa kerana walaupun mereka sering bercakap berkenaan hak asasi manusia, berkenaan keadilan, tetapi orang Islam nampaknya dikecualikan, tidak berhak dan boleh ditindas bila-bila dan di mana-mana sahaja. 

39. Sementara kita boleh menuntut supaya mereka berlaku lebih adil kepada kita orang Islam, tetapi adalah sukar untuk memperbaiki sikap dan tindakan orang lain, terutama yang bermusuh dengan kita. Adalah lebih mungkin dan lebih baik kita cuba memperbaiki sikap kita sendiri. 

 40. Hakikatnya ialah kita orang Islam sudah tidak lagi berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar. Hari ini orang Islam dan negara-negara Islam lebih kuat bermusuh sesama sendiri daripada bermusuh dengan orang bukan Islam atau negara bukan Islam yang bermusuh dengan kita. Walaupun kita sedang diserang oleh musuh, kata sepakat berkenaan dengan pertahanan kita pun tidak dapat kita capai. Ada antara orang Islam dan negara Islam yang lebih sanggup bersubahat dengan musuh Islam daripada bekerjasama dengan orang Islam atau negara Islam. 

 41. Sejak kejatuhan Empayar Othmaniah kerana mengabaikan ajaran Islam, tidak ada negara Islam yang mengikut ajaran Al-Quran supaya melengkapkan diri dengan senjata yang cukup untuk menggerunkan musuh dan mengadakan pertahanan yang mampu mengalahkan musuh. Dengan menolak ilmu dan perindustrian, negara-negara Islam terpaksa mendapatkan senjata daripada orang lain termasuk daripada musuh mereka. Sudah tentu senjata yang diperolehi tidak setaraf dengan senjata yang dimiliki oleh musuh. Oleh itu senjata dan bala tentera negara Islam tidak sedikit pun menggerunkan musuh dan mampu mempertahankan negara Islam, sesuatu yang dituntut oleh agama Islam, sesuatu yang menjadi fardu kifayah. 

 42. Bahawa orang Islam membelakangkan fardu kifayah tidak mengganggu pemikiran mereka. Mereka hanya menumpu kepada fardu ain dan berdoa memohon pertolongan daripada Allah s.w.t. Mereka lupa bahawa Allah telah berfirman bahawa Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu berusaha untuk mengubah nasibnya sendiri. Jelas sekali berdoa sahaja tidak akan mengubah nasib orang Islam. Mereka perlu berusaha bersungguh- sungguh untuk memperbaiki nasib mereka dengan meningkat keupayaan mencipta, mengeluar dan mengguna senjata yang canggih untuk pertahanan diri dan maruah mereka. 

 43. Orang Islam juga harus ingat bahawa Al-Quran menegaskan bahawa segala keburukan yang berlaku adalah daripada mereka sendiri dan segala kebaikan datangnya daripada Allah s.w.t. Jika nasib malang menimpa umat Islam, ia adalah kerana mereka sendiri. Janganlah sesiapa cuba melepas tangan dengan mendakwa malapetaka yang menimpa mereka adalah takdir kerana jika mereka berusaha memperbaiki nasib mereka sehingga berjaya, itu juga adalah takdir. Untuk memperbaiki nasib mereka maka mereka harus cekap dan berjaya mentadbir dan membangunkan negara-negara mereka, menguasai segala ilmu dan kecekapan yang diperlukan untuk maksud ini. 

 44. Yang amat malang lagi ialah apabila sahaja pemerintah sesebuah negara Islam cuba membangunkan negara serta ketahanannya dengan mengejar ilmu dan kecekapan dalam bidang-bidang seperti sains dan teknologi maka akan muncullah kumpulan yang menentang percubaan ini kerana kononnya ini adalah bukti yang pemerintahan adalah sekular dan tidak Islam dan perlu dijatuhkan. Mereka ini kerap menggunakan Islam sebagai nama gerakan mereka untuk menghalalkan tindakan ganas mereka. Walaupun mereka menamakan kumpulan mereka Persaudaraan Islam atau Parti Allah atau Parti Islam, mereka tidak segan-segan membelakangkan ajaran Islam dengan mengkafirkan Pemerintahan negara, dan mereka sanggup membunuh kepimpinan Kerajaan Islam dan orang Islam lain dalam usaha untuk menghalang kemajuan yang mereka dakwa sekular itu. 45. Sibuk dengan mempertahankan diri daripada ditikam dari belakang oleh puak yang telah "hijack" Islam ini, Pemerintah negara-negara Islam tidak dapat membangunkan negara dan meningkatkan pertahanan. Dengan itu musuh Islam dapat dengan mudah menindas negara-negara Islam, orang Islam dan agama Islam. Tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa kumpulan yang telah "hijack" Islam, yang menentang penguasaan ilmu selain daripada yang khusus berkenaan dengan agama Islam dan dengan itu melemahkan negara Islam adalah pengkhianat, yang secara langsung atau tidak langsung bersubahat dengan musuh- musuh Islam dan menolong menindas orang Islam dan negara- negara Islam. 

 46. Inilah perkara-perkara yang perlu diberi perhatian oleh orang Islam dan negara Islam. Mereka perlu betulkan diri mereka, perlu kembali kepada ajaran Islam yang sebenar demi menyelamatkan diri mereka. Tidak ada gunanya mengutuk dan mendesak musuh Islam supaya tidak menindas orang Islam, supaya berperikemanusiaan. Jika kita begitu sukar menukar sikap kita untuk kebaikan diri kita sendiri apakah dapat kita menukar sikap orang lain dan musuh kita supaya kita mendapat manfaat daripadanya? 

 UMNO SATUKAN MELAYU 

 47. Kita perlu lihat semula keadaan di Malaysia. Selama 450 tahun yang kita dijajah oleh Portugis, Belanda, British, Jepun dan Siam, tidak ada sebarang usaha yang bersungguh-sungguh untuk membebaskan negeri- negeri Melayu. Orang Melayu begitu lemah semangat sehingga mereka percaya hanya orang putih sahaja yang mampu memerintah negeri-negeri mereka. Jika tidak kerana Jepun, bangsa Asia yang bukan berkulit putih, mengalahkan Penjajah British, mungkin orang Melayu hari ini pun tidak akan menuntut kemerdekaan, kerana tidak percaya kepada diri sendiri sebagai orang yang mampu mentadbir dan memajukan negeri-negeri Melayu. 

 48. Kesilapan British ialah mereka terlalu tamak dan ingin menjadi negeri-negeri yang diletak di bawah naungan mereka sebagai tanah jajahan milik mereka secara langsung. Raja-Raja Melayu hendak dijadikan Kadi Besar sahaja yang bertanggungjawab terhadap agama Islam dan adat istiadat Melayu. Siapa sahaja yang tinggal di Tanah Melayu tanpa mengira kaum, pendatang atau tidak, masih berwarganegara asing atau tidak, akan diiktiraf sebagai warga negara Malaya dengan hak yang sama dengan anak watan. Oleh kerana orang Melayu begitu daif, dalam keadaan ini mereka akan kehilangan hak sama sekali. 

 49. Buat kali pertama orang Melayu terkejut, terkejut kerana mereka akan menjadi "the disposessed in their own land", orang yang tidak berhak di negara sendiri. Keadaan mereka mungkin jadi seperti orang Palestin di Palestin, atau orang Red Indian di Amerika Syarikat dan Kanada, orang Maori di New Zealand. Miskin, tidak berilmu pengetahuan, terbahagi kepada negeri-negeri kecil dengan kesetiaan terhad kepada raja masing-masing, tidak bersenjata dan tidak mempunyai badan yang boleh mewakili mereka, ternampak jelas bahawa orang Melayu akan kehilangan tanahair mereka. Mereka akan menjadi kuli di negeri sendiri, diperintah oleh orang lain yang jauh lebih kaya, lebih terpelajar dan lebih dipercayai oleh penjajah untuk mengikuti telunjuk mereka. 

 50. Tetapi Alhamdulillah, di saat yang genting ini timbul kesedaran dengan mendadak dan meluas di kalangan orang Melayu akan pentingnya mereka membelakangkan kenegerian mereka dan bersatu dalam satu pertubuhan untuk menangkis rancangan Malayan Union British. 

 51. Semua pertubuhan Melayu dari semua negeri Semenanjung dan Selat sebulat suara bersetuju menubuhkan sebuah pertubuhan yang dinamakan United Malays National Organisation, nama perpaduan yang diilhamkan oleh United Nations Organisation atau UNO pada masa itu. Hanya yang mengecualikan diri ialah Malay Nationalist Party (MNP) pimpinan Dr. Burhanudin Al Helmi dan Ahmad Boestaman. 

 52. Kita bersyukur beribu kali kerana di waktu itu orang Melayu mengutamakan perpaduan. UMNOlah yang menyatupadukan orang Melayu. Tidak ada badan lain yang dapat menjayakan perpaduan ini, perpaduan yang begitu penting untuk menjayakan perjuangan orang Melayu melawan Malayan Union British. 

 53. Dato Onn Jaafar dipilih sebagai pemimpin agung Melayu bersatu ini, bersama dengan beberapa tokoh lain yang muncul dari negeri Melayu dan negeri Selat. Demikianlah perpaduan dan sokongan padu kepada UMNO dan kepimpinannya sehingga British, yang sebelumnya berurusan semata-mata dengan Raja-Raja Melayu yang telah mereka ugut tidak akan mengiktiraf jika tidak mengikut telunjuk mereka, terpaksa menerima UMNO sebagai suara tunggal Melayu Bersatu. 

 54. Malayan Union British terpaksa digugur dan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu. Pemimpin UMNO dilantik ke Federal Legislative Council atau Majlis Perundangan Persekutuan dalam sistem "Member" yang bertanggungjawab terhadap portfolio tertentu. Mereka ini diberi gelaran "Honourable", dan elaun serta kemudahan lain. Di negeri- negeri pula, ramai pemimpin UMNO dilantik sebagai ahli Majlis Negeri masing-masing. 

 AGAMA ISLAM DIPERALAT 


 55. Maka sedarlah orang Melayu bahawa politik boleh mendatangkan jawatan, pangkat dan gelaran dan upahan yang dianggap lumayan. Di waktu inilah beberapa ulama UMNO mula meragui akan masa depan mereka sebagai tokoh UMNO. Mereka ternampak bahawa walaupun ada orang yang berpelajaran agama dipilih untuk menganggotai beberapa Majlis Negeri, tetapi tidak ramai daripada mereka yang akan dicalonkan dan berpeluang memegang jawatan-jawatan tinggi dalam Kerajaan Pusat dan Negeri. Kekecewaan mereka menyebabkan mereka memisahkan diri dari UMNO untuk menubuh parti lain. Sedar akan betapa kuatnya pegangan orang Melayu kepada agama Islam, mereka pilih untuk mengguna agama Islam sebagai alat untuk menarik sokongan orang Melayu. Dengan itu dinamakan parti mereka Pan Malayan Islamic Party atau PMIP. 

 56. Semasa UMNO sibuk berjuang untuk kemerdekaan, PMIP cuba mengembangkan pengaruh melalui sekolah-sekolah pondok dan Tok Guru-Tok Guru dengan mengguna agama Islam sebagai asas menentang perpaduan dalam UMNO dan dengan menjanjikan Tok Guru-Tok Guru peluang untuk menjadi Yang Berhormat dengan elaun yang cukup lumayan. 

 57. Alhamdulillah, orang Melayu menolak PMIP dan terus memberi sokongan padu kepada UMNO. Dalam Pilihanraya yang terpenting pada 1955, PMIP menang hanya satu daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Jika dalam pilihanraya ini PMIP memenangi sebilangan besar daripada kerusi tersebut, besar kemungkinan kemerdekaan pada 1957 tidak tercapai. Ini adalah kerana PMIP menolak kemerdekaan kononnya kerana orang Melayu belum mampu memerintah dan menguasai Kerajaan Malaya disebabkan orang bukan Melayu lebih kaya dan berpengaruh dengan British dan British tidak akan menyerah pemerintahan Malaya yang merdeka kepada orang Melayu. 

 58. Kemenangan 51 daripada 52 kerusi oleh Parti Perikatan dan penolakan oleh orang Melayu, yang menjadi majoriti terbesar daripada pengundi Persekutuan Tanah Melayu jajahan British, terhadap parti-parti lain, memaksa British menerima UMNO dan Perikatan sebagai mewakili Malaya pada ketika itu. Dan hasilnya ialah kemerdekaan dua tahun lebih awal daripada yang dibayangkan oleh Colonial Office, London. 

 59. Yang menjayakan perjuangan orang Melayu, bangsa yang dijajah 450 tahun, bangsa yang lemah, bangsa yang tidak mempunyai kekayaan, tidak mempunyai cerdik pandai, tidak memiliki senjata atau pasukan perang untuk merebut kemerdekaan; ialah perpaduan yang erat antara mereka. Ini sahajalah senjata yang ada pada mereka, senjata yang begitu mustajab sehingga dapat mengalahkan satu kuasa dunia yang baru sahaja menang perang besar. 

 PERPECAHAN MELAYU 


 60. Hari ini orang Melayu sudah tidak mengutamakan perpaduan lagi. Apa sahaja boleh memecahbelahkan orang Melayu. Rebutan tempat dalam parti, sangkaan buruk yang tidak berasas kepada pemimpin, kekecewaan dalam mendapat peluang perniagaan, hasutan oleh parti lawan, perasaan terlalu terselamat dan berbagai-bagai lagi boleh memecahbelahkan orang Melayu. 

 61. Mereka bukan sahaja sanggup berpecah tetapi ramai yang sanggup bersubahat dengan orang yang bermusuh dengan orang Melayu untuk menggagalkan perjuangan orang Melayu. Demikian PAS yang dahulu mengkafirkan UMNO kerana bekerjasama dengan orang bukan Islam, sekarang sanggup berpeluk-peluk dengan pemimpin DAP yang menolak Malaysia sebagai negara Islam. Namun masih ramai orang Melayu yang tidak mahu bersatupadu dalam UMNO atau sekurang-kurangnya tidak mengasingkan diri daripada majoriti orang Melayu yang menyokong UMNO. Nikmat yang banyak yang mereka terima hasil perjuangan UMNO dilupakan kerana mereka diajar oleh pihak tertentu supaya tidak berterima kasih apabila diberi sesuatu. 

 62. Tuduhan yang dilempar terhadap UMNO tidak berkesan pada tahun 1955 tetapi mengkafir UMNO memberi kemenangan kepada PAS di Kelantan dan Terengganu pada tahun 1959. Sejak itu serangan terhadap UMNO yang kononnya tidak Islam telah dipertingkatkan oleh PAS. Sekarang tuduhan dibuat kononnya pemimpin UMNO tidak percaya pada hari akhirat dan bermacam-macam lagi. Penyokong PAS tidak menyoal apakah buktinya bahawa tuduhan-tuduhan ini benar. Bagi mereka apa sahaja tuduhan yang dilempar terhadap UMNO oleh pemimpin mereka mestilah dianggap sebagai benar. Dan mereka terus membenci UMNO dan mengekalkan perpecahan di kalangan orang Melayu. 

 63. Perpecahan semakin ketara berlaku di kalangan orang Melayu disebabkan serangan-serangan yang tidak berasas ke atas UMNO. Dalam sistem demokrasi memanglah ada peranan bagi parti pembangkang. Tanpa pembangkang parti pemerintah mungkin membuat kesalahan yang banyak kerana tidak ditegur. Perpecahan yang boleh berlaku kerana salah laku Pemerintah tidaklah serius. Walaupun sokongan diberi kepada parti lawan, tetapi kesedaran dan kesetiaan kepada bangsa dan agama masih boleh diadakan. Apabila bangsa atau agama terancam maka pemerintah dan pembangkang boleh bersatu untuk maksud mempertahankan bangsa dan agama sendiri. Dalam perkara-perkara politik biasa kelainan pendapat atau pendirian, walaupun boleh memisah penyokong-penyokong, tidaklah sehingga menjadi musuh ketat yang tidak boleh bekerjasama sama sekali, tidak boleh beribadat bersama dan merapatkan barisan apabila diancam oleh musuh luar. 

 POLITIK BENCI HALANG PERPADUAN 


 64. Tetapi kita dapati permusuhan terhadap UMNO bukan lagi kerana perbezaan pendapat berkenaan politik atau pun agama. Permusuhan terhadap UMNO oleh sebilangan daripada orang Melayu hasil daripada pengaruh PAS adalah disebabkan perasaan benci yang amat sangat, perasaan benci yang disemai dan dipupuk dari kecil sehingga menjadi sebahagian daripada budaya orang ini. Orang UMNO bukan sahaja dianggap tidak Islam tetapi pemimpin UMNO digambarkan sebagai `Firaun' dan maaf, sebagai `barua'. Sebabnya tuduhan ini dibuat tidak perlu disoal atau dijelaskan. Bencikan sahaja. 

 65. Di zaman Jahilliah, Kabilah-kabilah Arab berperang sesama mereka, kerana mereka adalah musuh antara satu dengan yang lain. Kenapa mereka bermusuh tidak lagi diingati atau diketahui oleh mereka. Yang utama ialah mereka adalah musuh dan jika mereka berjumpa mereka mesti berperang, mesti membunuh. Kabilah-kabilah Arab Jahilliah ini cuma berhenti berperang apabila diIslamkan oleh Rasullullah. Sebagai penganut agama Islam mereka bersatupadu dan mereka berjaya akhirnya mendirikan empayar yang terbesar yang kekal selama 1300 tahun. 

 66. Jelas sekali bahawa kebencian yang tidak berasas yang dipupuk dalam hati sanubari pengikut PAS dari kecil sehingga tidak dapat berfikir, dan permusuhan yang ketat hasil daripadanya; kebencian ini menghalang perpaduan walaupun apabila menghadapi musuh yang sama. 

 67. Inilah keadaan yang kita lihat di kalangan orang Melayu sekarang. Politik yang tidak rasional, politik benci sudah menular sehingga menghancurkan nilai yang mulia yang diajar oleh agama Islam seperti bersyukur, berterima kasih, bersaudara sesama Islam dan lain-lain. 


 MELAYU MASIH KURANG MAJU 


 68. Orang Melayu yang juga orang Islam yang teramai sekali di Malaysia belum selamat. Orang Melayu masih menjadi kaum yang lemah, kaum yang termiskin di negara kita ini. Ya, Malaysia sudah banyak maju, tetapi orang Melayu masih kurang maju. Jika kita keluarkan orang Cina dengan segala-gala yang dibina dan dimiliki oleh mereka, tidak akan ada bandar kecil atau besar di Malaysia, tidak akan ada perniagaan dan perusahaan, dan tidak akan ada dana daripada cukai pendapatan dan korporat untuk membiayai segala subsidi, bantuan dan kemudahan untuk orang Melayu. Orang Melayu akan kembali ke zaman mereka dijajah dahulu, miskin, tidak berpelajaran dan dihina oleh siapa sahaja. Jangan fikir selepas UMNO, PAS tetap akan memerintah. Dalam politik, yang tidak dijangka boleh berlaku. 

 69. Orang Melayu belum selamat. Tetapi kita boleh jadi selamat, kita boleh majukan diri kita, kita boleh menebus sepenuhnya maruah kita, bangsa kita, jika kita sedar akan bahaya yang kita hadapi sekarang dan kita membuat persiapan untuk mengatasinya. 

 70. Yang pertamanya, jika pun kita harus berpolitik dan berparti, janganlah ada pemisahan antara kita sehingga apabila kita hadapi musuh ataupun masalah yang sama, kita tidak dapat bertindak bersama dengan serentak, dengan satu tujuan. Apakah salahnya kita memiliki pendirian yang sama apabila saudara seagama kita dibunuh beramai-ramai oleh orang Israel? Apakah dalam perkara ini pun kita perlu mengutamakan politik parti lebih daripada agama? Apakah tidak ada langsung persaudaraan Islam antara kita? Janganlah mengkafirkan orang Islam dengan sewenang-wenangnya sehingga tidak dapat bersaudara atau pun sekurang-kurangnya bekerjasama di hadapan musuh yang sama. Biarlah musuh yang sama ini dikalahkan dahulu, dan kemudian kembalikan kepada `permusuhan' sesama kita. 

 KECAMAN DEB TAK BERASAS 


 71. Dalam menghadapi masalah dalaman juga kita orang Melayu sering berjumpa musuh yang sama. Apabila kita lancarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk kebaikan semua orang Melayu dan juga Bumiputera lain sepatutnya semua orang Melayu bersatu hati menyokong DEB. Buat beberapa ketika tidak ada tentangan oleh orang Melayu terhadap DEB. 

 72. Tetapi apabila orang asing dan media mereka mula menuduh kononnya DEB hanya menguntungkan beberapa kroni Kerajaan, tanpa usul periksa pembangkang Melayu menyambut tuduhan ini dan mengecam DEB. Yang mereka lihat hanyalah peluang untuk mengutuk Kerajaan dan mendapat "political mileage" daripada tuduhan ini. Biarlah orang Melayu gagal dan merana asalkan parti dapat sokongan lebih sedikit. Tidakkah mereka sedar orang asing ini mempunyai agenda yang lain dan mereka tidak suka melihat orang Melayu berjaya, terutama kerana kita dapat mempertahankan kebebasan kita, budaya kita? 

 73. Asyik dengan peluang mendapat keuntungan politik, orang Melayu ini lupakan sama sekali akan peluang dan biasiswa yang membolehkan ratusan ribu anak Melayu yang dahulu tidak mungkin berpelajaran tinggi, menuntut aneka jenis ilmu sehingga ke peringkat universiti. Mereka tidak ternampak bagaimana semua Naib Canselor universiti terdiri daripada orang Melayu, demikian juga majoriti profesor dan pensyarah. Mereka tidak menghargai lebih 40 dana yang diadakan untuk membantu peniaga Melayu di semua peringkat, dan puluhan ribu kontrak yang diberi kepada beribu-ribu kontraktor Melayu. Mereka tidak ambilkira ribuan lesen, AP, dan saham-saham syarikat orang lain yang diperuntukkan kepada beribu-ribu orang Melayu melalui Akta Penyelarasan Industri. 

 74. Kerajaan juga menyediakan RM 3 bilion sebagai modal kepada PNB yang menubuhkan beberapa Saham Amanah yang berjaya menjadikan 7.28 juta Melayu pemilik saham syarikat-syarikat besar di Malaysia dengan jumlah pelaburan sebanyak RM 34.89 bilion. Saham-saham yang diperuntukkan kepada PNB adalah hasil penyusunan semula atau penubuhan syarikat-syarikat baru yang disyaratkan oleh DEB supaya menjual 30 peratus daripada saham mereka kepada Bumiputera. 


 75. Sesungguhnya jika tidak kerana PNB, Saham Amanah dan badan-badan milik Kerajaan yang diurus khas untuk orang Melayu, hari ini pencapaian Dasar Ekonomi Baru hanyalah dua peratus sahaja. Sebabnya ialah apabila saham dijual kepada pelabur Melayu, mereka terus menjual balik saham itu kepada bukan Bumiputera. Demikian juga dengan lesen, AP dan kontrak yang diberikan kepada mereka. 

 76. Hanya beberapa orang sahaja daripada peniaga, kontraktor dan pengusaha Melayu yang tidak menjual peluang yang diberi kepada mereka untuk mendapat keuntungan cepat. Mereka ini tekun berusaha dan ada antara mereka yang berjaya. Melihat bahawa mereka tidak menggagalkan Dasar Ekonomi Baru, Kerajaan memberi lebih banyak peluang kepada mereka tidak kira siapa mereka, sehingga muncullah beberapa daripada mereka sebagai orang yang berjaya dalam perniagaan. Apabila ini berlaku maka datanglah perasaan hasad dengki dan tuduhan bahawa mereka adalah kroni Kerajaan, kroni pemimpin Kerajaan. Yang menuduh bukan sahaja orang asing dan media mereka. Tetapi orang Melayu sendiri turut menuduh bahawa DEB menguntungkan hanya beberapa orang kroni Melayu. 

 77. Sebenarnya orang yang dikatakan kroni ini tidak pun dikenali dahulu oleh pemimpin Kerajaan atau orang ramai. Jika tidak kerana mereka menunjuk bakat dan tidak menjual peluang yang diberikan kepada mereka tetapi sebaliknya mereka berusaha sehingga mencapai kejayaan, mereka tidak akan mendapat peluang yang bertambah. Jika benarlah Kerajaan mengamal kronisme, sudah tentu tidak akan ada ahli keluarga dan kawan-kawan pemimpin Kerajaan yang miskin dan merana. Tetapi di Malaysia ramai daripada kawan, rakan, anggota parti dan ahli keluarga yang terus miskin, tidak mendapat apa-apa peluang daripada Dasar Ekonomi Baru selain daripada apa yang dinikmati oleh semua rakyat lain, seperti persekolahan, bekalan elektrik dan air, jalan dan lain- lain. 

 78. Siapakah mereka yang menjadi kaya-raya yang terkenal sebagai peniaga dan pengusaha Melayu yang berjaya? Mereka adalah siapa sahaja yang berusaha bersungguh-sungguh, yang tidak menjadi Ali dalam perkongsian Ali Baba. Selidiklah latar belakang mereka. Apakah benar mereka berjaya kerana mereka kroni atau apakah kerana mereka tidak menjual peluang yang mereka berjaya? Sebabnya mereka memperolehi peluang yang lebih ialah kerana mereka lebih mungkin tidak akan menjual peluang mereka dan mereka lebih mungkin berjaya. Jika yang gagal atau yang menjual peluang diberi peluang lagi maka tidak mungkin akan ada Melayu dan Bumiputera yang berjaya seperti mereka daripada kaum lain. Malangnya jika ada sahaja Melayu yang berjaya maka timbullah perasaan hasad dengki dan tuduhan mereka ini adalah kroni Kerajaan. 

 79. Jika Kerajaan tidak hendak dituduh mengamalkan kronisme, maka tiap kali ternampak ada orang Melayu yang berjaya dan boleh berjaya lagi, tiap kali orang Melayu panggung kepala dalam perniagaan maka awal-awal lagi mereka ini perlu diketuk supaya jatuh semula, supaya tidak berjaya lagi tetapi terus gagal dan bankrap perniagaan mereka. Dengan cara ini tidak akan ada sesiapa pun daripada orang Melayu yang akan berjaya dan Kerajaan akan bebas daripada tuduhan mengamal kronisme. 

 80. Tetapi Kerajaan tidak juga akan terlepas daripada dikecam. Melihat yang menjadi "millionaires" dan "billionaires", yang duduk dalam mahligai, yang memiliki semua bangunan pencakar langit, perniagaan dan kilang yang besar; melihat yang mengambilalih semua syarikat dan khidmat milik Kerajaan apabila diswastakan, melihat mereka ini semua terdiri daripada bukan Melayu dan si Melayu hanya menjadi pemandu kereta besar milik orang dan menjadi kuli yang mengambil upah daripada orang lain, maka kecaman terhadap Kerajaan tetap akan menjadi nyaring. 

 81. Masyarakat Melayu akan mengutuk Kerajaan kerana Dasar Ekonomi tidak berjaya. Kejayaan dalam bidang- bidang lain seperti PNB dan jumlah biasiswa tidak akan diberi penghargaan sama sekali. 

 82. Sesungguhnya jika pembangunan usahawan dan peniaga Melayu yang berjaya tidak dibebankan ke atas bahu Kerajaan, pembangunan negara akan menjadi lebih mudah, lebih tinggi dan lebih cepat. Yang melambatkan pembangunan negara ialah kerana Kerajaan cuba dan terus mencuba untuk mengimbangkan ekonomi orang Melayu dengan orang bukan Melayu di semua peringkat, dalam semua bidang. 

 SUKA JALAN MUDAH 


 83. Orang Melayu tidak kekurangan apa-apa. Mereka mempunyai akal fikiran yang cerdas dan pintar, kemampuan, kecekapan kerja tangan yang tinggi, tenaga yang sama dengan orang lain. Jika mereka tidak berjaya setelah diberi peluang berkali-kali, setelah dibantu dengan pelbagai kemudahan dan juga wang, sebabnya ialah (di sini saya pohon ampun dan maaf daripada orang Melayu) kerana mereka tidak rajin iaitu mereka malas dan suka kepada jalan yang mudah dan cepat, tidak kira apa akibatnya. 

 84. Mereka tidak sabar, tidak sanggup menunggu sebentar. Mereka hendak kaya saat itu juga. Justeru itu apabila diberi lesen, lesen dijual; apabila diberi AP untuk import, AP dijual; apabila diberi kontrak, kontrak dijual untuk dapat wang tunai. Tidak ada kerja yang dibuat selain daripada merapat orang yang berpengaruh dan berkuasa untuk mendapat sesuatu kerana mereka Melayu, mereka Bumiputera. Setelah dijual dan mendapat wang, maka mereka datang lagi, minta lagi. 

 85. Sesungguhnya saya berasa amat malu menyatakan semua ini, terutama di hadapan orang lain, di hadapan seluruh negara, di hadapan dunia. Tetapi mereka sudah pun tahu semua ini. Saya bukan mendedah perkara yang belum diketahui. Saya cuma sebut apa yang diketahui umum. 

 86. Sebenarnya orang Melayu dan Bumiputera lain boleh berjaya jika mereka berusaha lebih sedikit. Untuk kejayaan mereka perlu jujur kepada diri sendiri. Uruslah dengan baik dan elak daripada amalan yang tidak baik. Pinjaman untuk perniagaan mestilah diguna hanya untuk perniagaan, diguna secara cukup cermat, diurus secara tertib, kerana wang yang dipinjam mesti dibayar balik. Jika belum untung jangan belanja dahulu kerana harapan akan untung. Kawallah nafsu dan belanja hanya sebanyak yang mampu sahaja dan amallah amalan-amalan yang sihat bagi menjayakan perniagaan. Insyaallah, kita akan berjaya. 

 87. Belajarlah daripada orang Cina. Ingatlah apabila kita jual lesen, kontrak dan lain-lain kepada mereka, kos perniagaan mereka meningkat. Kita tidak perlu tanggung kos membeli lesen dan kontrak. Tetapi walaupun kos bagi peniaga Cina lebih tinggi masih juga mereka berjaya mendapat keuntungan. Kenapakah dengan kos yang lebih rendah kita orang Melayu dan Bumiputera lain tidak boleh dapat untung? 

 88. Sebenarnya yang diperlukan daripada orang Melayu dan Bumiputera lain dalam bidang perniagaan ialah kerajinan, kawalan diri atau disiplin dan kesabaran. Kecekapan dan kepintaran dalam perniagaan boleh diperolehi melalui latihan dan pengalaman. Insyaallah, dengan sifat-sifat ini orang Melayu dan Bumiputera lain akan berjaya. 

 89. Mungkin tuan-tuan dan puan-puan bosan dengan teguran dan kecaman saya ini. Tetapi apakah saya sebagai orang yang dipilih untuk memimpin tidak harus perkatakan sesuatu yang benar dan bertujuan baik? Apakah saya sebagai pemimpin hanya dikehendaki mengikut sahaja, untuk menjadi popular dengan orang yang menjadi penyokong? Tidak ada maknalah jika pimimpin menjadi pengikut, dan membisu apabila melihat pengikut membuat atau menuntut benda yang salah, yang akan merosakkan semua, pemimpin dan pengikut. 

 KELEMAHAN BUDAYA MELAYU 

 90. Oleh itu maafkan saya sekali lagi kerana saya perlu tegur tentang kelemahan budaya orang Melayu sekarang. Orang Melayu semuanya beragama Islam, agama yang suci, agama yang mampu membina manusia dan masyarakat yang mulia dan berjaya, yang bebas daripada aneka jenis jenayah atau pun sekurang-kurangnya yang boleh mengurangkan jenayah. 

 91. Sekali lagi ingin saya ulangi kesan pengIslaman orang Arab Jahiliah. Mereka menjadi orang yang baik dan berjaya dan dapat mendirikan negara dan empayar yang termasyhur. Daripada manusia jahil, pembunuh kanak- kanak, penculik perempuan, pengganas yang tidak mempunyai budaya dan bertamadun, mereka menjadi manusia yang tertib, beradat-istiadat, bersopan santun dan berperaturan serta memiliki sistem perundangan yang kemas. Dan mereka berjaya. 

 92. Demikian kesan pengIslaman ke atas orang yang jahil. Tetapi kita dapati walaupun orang Melayu semuanya sudah lama beragama Islam, di masa akhir ini ramai daripada mereka sudah banyak mengenepikan budaya Islam. Apa sahaja yang tidak baik dan berdosa dilakukan oleh sebilangan yang tidak kecil daripada mereka. Menagih dadah, mengidap penyakit AIDS dan HIV, merogol, melakukan hubungan seks luar tabii, melakukan sumbang mahram, membunuh, termasuk membunuh ibu dan ayah, abang dan ahli keluarga yang lain, mencuri dan menyamun dan melakukan berbagai-bagai jenayah - semua ini dilakukan oleh orang Melayu lebih daripada kaum lain, kaum yang bukan Islam. 

93. Banyaklah alasan yang diberi kenapa orang Melayu lemah moral mereka. Kita dapati, jika dilihat daripada pakaian dan lagak orang Melayu sekarang, mereka lebih Islam dan lebih warak dari dahulu. Kalau kita dengar mereka bercakap demikian juga. Tidak akanlah orang yang begitu berpengetahuan tentang ajaran Islam, yang kuat nampaknya berpegang kepada Islam, sanggup melakukan begitu banyak perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam dan jelas berdosa. Orang yang kuat imannya tidak mungkin membuat dosa yang banyak, terutama dosa besar. Tetapi hakikatnya ialah ramai orang Melayu sekarang tidak bermoral, sanggup melakukan berbagai-bagai jenayah dan dosa besar. 

 94. Tidak ada sesuatu yang berlaku tanpa sebab. Kita sekali lagi tidak boleh berkata ini semuanya takdir. Ingatlah sekali lagi bahawa segala keburukan datang daripada kita dan bukan daripada Allah s.w.t. 

 95. Budaya dan nilai hidup yang dipegang oleh manusia menentukan kelakuan mereka, jaya atau tidaknya mereka, bahagia dan sejahteranya mereka ataupun sebaliknya. Budaya dan pegangan kepada nilai hidup yang mulia oleh ramai orang Melayu sudah luntur. Ramailah daripada kita yang mempunyai teori berkenaan fenomena ini. Saya juga ingin perkenalkan teori saya, yang mungkin betul atau mungkin tidak. 

 KESAN "BROKEN FAMILY" 

 96. Budaya dan nilai hidup terbentuk sebahagian besarnya daripada didikan ibu bapa semasa kecil dan semasa belum ke sekolah. Apabila ibu bapa tidak mempunyai budaya dan nilai hidup yang baik sudah tentu mereka tidak dapat mendidik anak mereka dengan nilai hidup yang sempurna. Sebenarnya ramai ibu bapa sekarang tidak memiliki nilai hidup yang baik dan tidak berasa bertanggungjawab terhadap didikan anak. Ya, majoriti baik dan bertanggungjawab tetapi terdapat minoriti yang agak besar yang tidak baik jika dibanding dengan ibu bapa kaum lain. Sementara ibu bapa kaum lain mengawal dan mengawasi anak supaya mereka tekun belajar di rumah dan di sekolah, ibu bapa kaum Melayu tidak begitu mengambil berat. Sudah tentu nilai-nilai lain yang baik juga tidak dipupuk sehingga berkesan. 

 97. "Broken family" atau keluarga yang tidak bahagia, dengan penceraian ibu dan bapa juga terdapat lebih ramai di kalangan orang Melayu. Agama Islam membenar kita berkahwin dua, tiga atau empat tetapi jika kita tidak dapat berlaku adil kepada isteri-isteri ini kita disuruh kahwin satu sahaja. Saya percaya semua yang beristeri lebih daripada satu dalam dewan ini dapat berlaku adil kepada isteri-isteri, tetapi saya percaya ramai dalam dewan dan di luar dewan yang tidak dapat. 

 98. Ada yang bercerai dan ada yang tidak ambil berat akan nasib isteri-isteri yang tidak diceraikan, dengan tekanan emosi dan perasaan ke atas mereka yang tidak mendapat layanan yang sewajarnya sebagai isteri. Kita boleh tafsirkan keadaan yang terdapat sebagai "broken family" atau keluarga yang kurang atau tidak bahagia. Sudah tentu keluarga seperti ini tidak memberi teladan dan contoh yang baik bagi anak, tidak dapat mendidik anak dengan berkesan. Tak mungkin bapa memberi masa dan perhatian kepada semua anak daripada semua isteri, terutama isteri yang bukan "favourite"nya. 

 99. Tidak ada kajian yang dibuat berkenaan keluarga yang "broken" seperti ini dan kesan terhadap anak mereka. Oleh itu saya tidak tahu pandangan saya, atau teori saya ini betul atau tidak. Tetapi yang saya tahu bagi mana-mana kaum atau pengikut agama yang lain, "broken homes' biasanya mempunyai kesan yang buruk kepada anak. 

 100. Mungkinkah "broken homes" menjadi sebagai satu daripada sebab keruntuhan akhlak yang menjadi-jadi dalam masyarakat Melayu. Jika ia, apakah kita akan biarkan keadaan ini berterusan? 

101. Selain daripada ibubapa, yang mempengaruhi anak kita iaitu generasi yang akan mengganti kita, ialah guru- guru di sekolah. Guru boleh membentuk peribadi yang mulia melalui teladan dan didikan. Tidak ada sesuatu yang diberi tekanan di Malaysia seperti pendidikan. Kita memperuntukkan 20 peratus daripada belanjawan kita untuk pelajaran. Daripada satu juta pekerja Kerajaan lebih daripada 300,000 atau lebih 30 peratus terdiri daripada guru dan pendidik di sekolah-sekolah dan institusi- institusi pelajaran lain. 

 102. Sepatutnya kerana tumpuan ini, semua anak kita mendapat didikan yang baik termasuk didikan akhlak. Guru agama pula memainkan peranan yang amat penting kerana didikan agamalah yang akan menyedarkan anak-anak kita akan buruk baiknya sesuatu, akan apa yang salah dan apa yang tidak, yang berdosa dan yang mendatangkan pahala, akan dosa kecil dan dosa besar, akan balasan syurga dan api neraka di akhirat kelak. 

 103. Sekali lagi ingin saya tegaskan bahawa majoriti daripada anak-anak kita di sekolah menerap nilai-nilai yang baik, tahu membeza antara yang salah dengan yang tidak, yang berdosa dan yang tidak, dan kerana itu mereka berjaya mengelak daripada perbuatan yang tidak berakhlak, yang ditegah. 

 104. Tetapi berbanding dengan kaum lain, penganut agama lain, jumlah anak Melayu yang tidak baik kelakuan, yang tidak rajin belajar, yang kemudian apabila membesar terlibat dengan aneka jenis kegiatan yang dilarang, adalah lebih ramai. 

 105. Kenapakah ini berlaku? Apakah tekanan yang diberi semasa mendidik anak Melayu? Apakah tekanan yang cukup diberi kepada pembentukan peribadi yang mulia, kepada perbezaan di antara kebaikan dan keburukan, akan apa yang ditegah oleh agama dan adat resam kita dan apa yang disuruh? Sesungguhnya mereka yang mengabaikan tugas pendidikan ini, mereka yang sebaliknya mengajar supaya bermusuh dan membenci sesama orang Melayu dan Islam, mereka yang tidak menyemaikan nilai-nilai Islam yang sebenar, nilai-nilai yang semuanya mulia, mereka ini mengkhianati agama dan bangsa Melayu. 

 106. Saya tidak syak bahawa jika ibubapa menunjuk teladan yang baik dan pendidik menjalankan tanggungjawab mereka secara ikhlas, maka banyak gejala sosial di kalangan orang Melayu dapat dielak daripada berlaku. 

 107. Kita tidak nafi ada faktor-faktor lain yang menyumbang kepada kerosakan akhlak orang Melayu. Gambar- gambar keganasan dan lucah yang didapati melalui internet dan televisyen turut menyumbang kepada keruntuhan akhlak. Tetapi ia tidak menjawab soalan kenapa lebih ramai orang Melayu yang terlibat dengan gejala sosial. Dalam perkara ini kita harus ikhlas dan memperkatakan yang benar. Hanya dengan mengetahui sebab yang sebenar baharulah dapat kita mengubatinya. 


KENYATAAN NEGARA ISLAM DIPOLITIK 

 108. Debat berkenaan negara Islam masih berterusan. Ia tidak mendatangkan banyak faedah kerana yang diutamakan bukan kenyataan, bukan kebenaran tetapi kepentingan politik pihak tertentu. 

 109. Apabila kita menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam, sebabnya ialah supaya perkara ini tidak dijadikan isu politik yang memecahbelahkan umat Islam di Malaysia. Dakwaan ini kita buat kerana segala syarat yang mengikut ajaran Islam bagi kita menjadi negara Islam terdapat di Malaysia ini. 

 110. Kita tidak buat kenyataan ini untuk mendapat pengiktirafan daripada parti tertentu. Parti ini adalah parti politik yang mengutamakan kepentingan politiknya semata-mata. Demikian parti ini sanggup mendakwa orang yang tidak menyokongnya adalah kafir, bukan Islam; orang yang mengundi mereka akan ke syurga dan lain-lain lagi. Jika perkara-perkara seperti ini yang jelas tidak benar dan bertentangan dengan agama Islam sanggup mereka perkatakan, apakah mungkin mereka menerima kenyataan bahawa Malaysia adalah negara Islam? Sudah tentu tidak. 

 111. Yang penting ialah kita tahu dan kita yakin akan keIslaman negara kita. Jika kerana kita dituduh tidak melaksanakan hukum hudud tafsiran mereka maka negara kita tidak Islam, ini tidak harus mengurangkan keyakinan kita akan keIslaman negara kita. Jika syarat mereka hendak dijadikan ukuran, hari ini tidak ada satu pun negara Islam di dunia. Ini adalah kerana tidak ada satu pun negara di dunia yang menguatkuasakan hukum hudud seperti yang ditafsir oleh parti ini. 

 112. Kita tidak tolak hukum hudud yang sebenar. Kita terimanya seperti juga kita terima semua ajaran Islam. Tetapi kita tahu ajaran Islam tidak sebegitu ketat atau keras sehingga kita mesti melaksanakannya tanpa mengambilkira keadaan dan akibatnya. Kita tahu dalam keadaan tertentu kita diberi kelonggaran supaya agama kita tidak menjadi beban yang menyusah dan membawa mudarat kepada kita. Jika kita sakit, jika kita tidak dapat berdiri, jika kita berada di tempat yang jauh, tempat yang tidak selesa, kita boleh sembahyang umpamanya dengan cara lain daripada yang biasa, kita boleh campur dan pendekkan sembahyang waktu kita, kita tidak perlu buat gerakan tubuh badan seperti biasa. Demikian juga dengan puasa, mengeluarkan zakat dan membuat kerja haji semuanya mengikut keadaan. Berkenaan dengan lafaz dua kalimah syahadat pun, jika kita dipaksa dengan seksaan supaya menyatakan penolakan dua kalimah ini, kita boleh menyuarakan penolakan tersebut asalkan kita terus berniat menolak kenyataan yang dipaksa kita buat. Dalam hati kita, kita terus naik saksi akan Allah yang satu yang kita sembah, dan Nabi Muhammad adalah RasulNya. 

 113. Agama Islam tidak diturunkan oleh Allah s.w.t. untuk menjadi beban kepada penganutnya, untuk menyeksa mereka. Jika ini berlaku sebabnya ialah kerana umat Islam sendiri menolak nikmat kemudahan yang diberi oleh Allah s.w.t, dan cuba menjadikan agama Islam sebagai beban yang menyusahkan mereka, menjadikan mereka lemah dan tidak berupaya mempertahankan dan memajukan diri mereka. 

 HUKUM HUDUD 

 114. Demikianlah dengan hukum hudud. Tujuan hukum dalam Islam ialah untuk mewujudkan masyarakat Islam yang bahagia, masyarakat yang bebas daripada ketidakadilan. Dalam Al-Quran terdapat banyak ayat yang menekankan keutamaan dan pentingnya keadilan dilakukan. Jika pelaksanaan hukum dalam Islam membawa kepada ketidakadilan maka sebabnya ialah kerana orang Islam lebih mengutamakan cara penghakiman - "legal process" daripada keadilan. 

 115. Undang-undang yang dicipta oleh manusia yang membawa kepada ketidakadilan bukanlah undang-undang Islam, walau apa pun nama yang diberi kepadanya. Semua kita, orang Islam dan bukan Islam, tahu bahawa keadilan bermakna penjenayah yang mesti dihukum dan bukan mangsanya. Undang-undang gubahan manusia yang menghukum mangsa sebagai bersalah sudah tentu tidak adil dan tidak Islam. Yang salah bukan ajaran Islam tetapi mereka yang membuat tafsiran kerana kepentingan politik mereka. Orang yang membuat undang-undang supaya mangsa rogol dihukum dengan hukuman yang berat, sementara perogol dibebas, orang ini tidak berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar supaya berlaku adil. 

 116. Demikian jika seorang wanita mendakwa ia dirogol oleh orang tertentu dan terdapat pada wanita itu tanda- tanda atau alasan jelas yang ia dipaksa dan di zaman ini kita mempunyai cara untuk menentukan air mani datang daripada perogol yang dituduh atau tidak, apakah hendak kita ketepikan semua bukti ini kerana prosedur tertentu tidak dapat kita turuti? 

 117. Dalam Surah An-Nisaa, surah khas untuk perempuan, Ayat 58, Allah menegaskan: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil". Dalam surah yang sama ayat 112, Allah telah berfirman bahawa: "Menuduh orang yang tidak bersalah (menuduh seorang yang telah dirogol dan kemudian hamil dan melahirkan anak sebagai telah berzina sedangkan ia telah dirogol) iaitu tuduhan yang salah, itu adalah satu pemalsuan dan berdosa." Fikirkanlah apabila anak itu dilahir maka rupanya sama seperti orang yang dituduh merogol, dan semakin lama semakin jelas siapa yang menjadi bapa kepada anak yang telah membesar; dan di zaman ini kita mempunyai cara untuk menentukan siapa bapa kepada anak, apakah tuduhan yang dibuat oleh pendakwa dan hukuman yang dibuat oleh hakim tidak merupakan ketidakadilan, tuduhan yang palsu dan berdosa kerana yang dituduh sebenarnya tidak bersalah? 

 118. Orang yang menuduh mangsa rogol sebagai berzina jelas melakukan kesalahan dan berdosa. Sudah tentu orang yang menggubal undang-undang yang tidak adil, yang mendakwa dan menghukum secara tidak adil, mereka semua bersalah dan berdosa. 

 119. Dalam Al-Quran Allah telah berkali-kali menegaskan supaya menghukum dengan adil. 

 120. Surah 4 (An-Nisaa), Ayat 58 yang telah saya sebut menegaskan: "Apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil." Surah 16 (An-Nahl) Ayat 90 bermaksud : "Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman." Demikian juga Surah 7, (Al-Araaf), Ayat 29: "katakanlah: Tuhanku menyuruh berlaku adil (pada segala perkara), ...." Dan dalam Surah 49 (Al-Hujurat), Ayat 6, Allah berfirman : "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." 

 121. Yang jelas ialah agama Islam menekankan akan pentingnya keadilan dalam tiap sesuatu yang dilakukan oleh orang Islam. Jika sesuatu yang dilakukan atau jika satu undang-undang yang dicipta oleh manusia biasa, walau bagaimana alim sekalipun tetapi akan membawa kepada ketidakadilan maka ia tetap tidak Islam dan bertentangan dengan ajaran Islam. Sebab itu orang Islam mesti menolak undang-undang yang digubal oleh orang yang berkepentingan yang jelas membawa kepada ketidakadilan, walau apa pun nama yang diberi kepada undang-undang itu. Mereka yang menyebabkan Islam dipandang hina oleh semua kerana begitu tidak adil hasil tafsiran mereka, mereka akan tanggung dosa di akhirat kelak. Ini telah dijanji. 

 122. Maka akan berkatalah orang tertentu, "Orang yang bercakap ini tidak berpelajaran agama, tidak tahu bahasa Arab dan tidak berhak bercakap berkenaan agama". Selain daripada mereka ini bersikap angkuh dan sombong dengan kononnya ilmu pengetahuan yang sedikit yang ada pada mereka - dan sikap ini tidak disukai oleh Allah s.w.t. dan bertentangan dengan ajaran Islam, mereka harus diingatkan bahawa dunia Islam memandang tinggi terhadap negara Malaysia dan secara terbuka menyatakan bahawa Malaysia adalah contoh Negara Islam, contoh yang ingin mereka ikut. Mereka tidak anggap Malaysia sebagai contoh negara Islam kerana gelagat orang yang cuba memperalatkan Islam untuk politik parti mereka. Mereka anggap Malaysia sebagai contoh kerana pentadbiran dan pembangunannya serta juga pegangannya kepada agama Islam mengikuti kehendak agama Islam. Dan banyaklah anugerah yang diterima oleh negara ini kerana amalan ajaran Islamnya. 

 123. Orang yang dikatakan tidak layak dan tidak berhak kononnya bercakap berkenaan dengan agama telah dijemput oleh orang Islam di negara lain untuk bersyarah berkenaan dengan Islam, dan buku-bukunya yang ditulis berkenaan dengan Islam juga diterima baik oleh ramai orang Islam, diterjemah oleh mereka ke dalam bahasa mereka termasuk bahasa Arab dan diedar dengan meluas. Oleh itu janganlah pihak tertentu angkuh dan mendakwa hanya mereka sahaja yang boleh bercakap berkenaan dengan agama Islam. 

 MALAYSIA JELAS NEGARA ISLAM 

 124. Jika kita mendakwa bahawa Malaysia adalah negara Islam, sebabnya amat jelas. Orang Islam di Malaysia bebas hidup secara orang Islam, tidak dihalang berbuat ibadat, dan mereka menikmati keadilan seperti yang dituntut oleh agama Islam. Sudah tentu mereka yang melakukan jenayah atau menyalahgunakan Islam untuk kepentingan lain; mereka yang menentang pemerintah dengan keganasan dan cara-cara lain, mereka yang menyembunyi ajaran Tuhan mengikut Surah Al-Baqarah, Ayat 174 yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan (meminda atau mengubah) apa-apa keterangan Kitab Suci yang telah diturunkan oleh Allah dan membeli dengannya keuntungan dunia yang sedikit faedahnya, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka selain dari api neraka, dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya." 

 125. Demikian juga dalam Surah An-Nahl ayat 25: Tuhan berfirman bermaksud, " mereka dibiarkan menuduh dengan yang demikian supaya mereka memikul dosa-dosa mereka dengan sepenuhnya pada hari kiamat dan memikul sebahagian dari dosa-dosa orang-orang yang mereka sesatkan dengan tidak berdasarkan pengetahuan yang benar; sesungguhnya beratnya dosa-dosa yang mereka lakukan." 

 126. Sehingga sekarang pihak tertentu tidak dapat menjelaskan negara Islam yang kononnya mereka akan dirikan di Malaysia jika mereka berkuasa. Yang diumumkan ialah cara-cara pemerintahan yang tidak berbeza dengan yang terdapat sekarang - iaitu secara tidak langsung mengakui akan kebenaran kenyataan bahawa Malaysia adalah Negara Islam sejak kita merdeka. Mereka tidak sebut dengan jelas akan hasrat mereka untuk melaksanakan hukum yang didakwa oleh mereka sebagai Hukum Hudud supaya kita semua tahu jenis keadilan atau ketidakadilan yang hendak dilaksanakan oleh mereka jika, Na'uzubillah, mereka berkuasa. 

 127. Perbahasan berkenaan Malaysia sebagai Negara Islam tidak perlu diteruskan. Tidak ada perubahan dalam Perlembagaan Malaysia yang perlu dibuat untuk menjadikan Malaysia negara Islam. Malaysia sudah pun Negara Islam. Hanya yang perlu dibuat ialah menentukan negara ini tidak disesatkan oleh pihak tertentu kerana kepentingan politik mereka sehingga tidak lagi Islam, sehingga menjadi lemah dan ditindas oleh musuh-musuh Islam. 

 BANYAK JUGA KEMAJUAN DICAPAI 

 128. Walaupun saya tidak puas hati berkenaan berbagai- bagai perkara yang telah saya sebutkan dalam ucapan saya ini, tetapi saya perlu mengaku bahawa sebenarnya kita telah mencapai banyak juga kemajuan. 

 129. Yang pertamanya dalam dunia di mana kebanyakan daripada negara membangun kehilangan kebebasan dan kemerdekaaan mereka, di mana ekonomi mereka runtuh dan kemiskinan melanda ramai daripada rakyat mereka, kita masih bebas menyuarakan pendapat kita, berkecuali di mana perlu, dan memulih ekonomi serta mengurangkan kemiskinan. Rakyat kita hidup bahagia, dalam keadaan aman dan selamat, bebas daripada ketidakadilan, bebas daripada ancaman kumpulan-kumpulan ganas yang ingin meruntuhkan demokrasi dan menjatuhkan Kerajaan negara kita. 

 130. Walaupun DEB tidak berjaya sepenuhnya tetapi jurang perbezaan di antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera telah kita kurangkan. Jika dahulu Bumiputera hanyalah petani dan nelayan yang miskin dan merana, hari ini terdapat ramai juga Bumiputera yang berjaya, yang berkebolehan dalam bidang perniagaan dan perusahaan, yang mempunyai kepakaran dalam berbagai-bagai bidang profesional. Mereka bukan sahaja mampu bersaing dalam negara tetapi berjaya juga di negara-negara asing. 

 131. Ramai daripada Melayu/Bumiputera yang terkenal sebagai pakar dalam bidang pentadbiran, bidang kewangan, pembangunan ekonomi dan pemulihannya sehingga mereka dijemput oleh negara-negara lain untuk menasihat dan membantu menangani masalah ekonomi dan kewangan mereka. 

 132. Bandar-bandar di Malaysia mempunyai segala kemudahan yang terdapat di negara-negara maju. Sistem Keretapi Komuter Elektrik, Sistem Keretapi Ringan atau LRT, jalan-jalan bertingkat, bangunan pencakar langit, termasuk yang tertinggi sekali dalam dunia, pusat beli- belah yang memasar barangan tempatan yang canggih dan juga jenama asing yang terkenal - semua ini terdapat di Malaysia. 

 133. Kawasan luar bandar juga telah dibangun dengan baik. Hampir tidak ada kampung yang tidak dibekal dengan air dan elektrik, jalan bertar, sekolah dan klinik kesihatan, kemudahan telefon dan lain-lain lagi yang tidak terdapat sebelum merdeka; yang tidak juga terdapat di negara membangun yang lain yang mencapai kemerdekaan bersama dengan kita. 

 134. Purata pendapatan seseorang atau "per capita income" yang hanya 300 Dolar Amerika di waktu kita mencapai kemerdekaan, hari ini adalah sebanyak 4,000 Dolar Amerika dengan kuasa membeli sebanyak 10,000 Dolar Amerika. Masih ada mereka yang miskin tetapi peratusannya telah berkurangan daripada hampir 50 peratus kepada hanya tujuh peratus. 

 135. Malaysia menjadi negara dagangan yang ke-17 terbesar antara 192 buah negara di dunia. Jumlah import dan eksport kita adalah hampir 170 bilion Dolar Amerika atau 646 bilion Ringgit setahun. Selama 54 bulan berturut-turut kita mencatat lebihan eksport daripada import. Simpanan Rizab kita berjumlah 33 bilion Dolar Amerika atau 125.40 bilion Ringgit. Tidak ada masalah bagi kita membeli barangan dari negara asing. 

 136. Rumah rakyat Malaysia tidak lagi diperbuat daripada buluh atau papan dengan atap nipah tetapi dengan bata dan konkrit dan bumbung genting, lengkap dengan air paip dan lampu elektrik. Ratusan ribu rumah kos rendah dibangun setiap tahun. Jika mereka tidak memiliki kereta bermotor, pekerja biasa memiliki motorsikal. 

 137. Kehidupan orang Melayu dan Bumiputera lain juga sudah lebih baik dari dahulu. Bagi yang sanggup bekerja tanpa terlalu memilih memang ada kerja bagi mereka. Jika ada begitu ramai pekerja asing, sebabnya ialah kerana rakyat Malaysia tidak sanggup membuat kerja tertentu dan peluang kerja begitu banyak. 

 138. Petani dan nelayan terus miskin berbanding dengan pekerja lain dan kemiskinan mereka tidak mungkin diatasi sampai bila-bila kerana petani dengan tanah seluas dua hektar atau kurang dan bekerja hanya separuh masa bagi beberapa bulan dalam setahun tidak mungkin mendapat pendapatan yang sama dengan pekerja bergaji yang bekerja lapan jam sehari sepanjang tahun selain dari hari-hari lepasan. Jika petani dan juga nelayan yang menangkap ikan di pesisir pantai sanggup mengguna masa yang banyak yang ada pada mereka untuk membuat kerja-kerja lain, untuk mengeluarkan barangan kerja tangan, pendapatan mereka tetap akan meningkat dan mereka tidak lagi akan menjadi orang yang miskin. Subsidi yang bertambah bukan cara untuk mengatasi kemiskinan mereka, demikian juga menaikkan harga hasil pertanian dan tangkapan ikan mereka. Harga hasil usaha mereka sudah pun jauh lebih tinggi daripada harga keluaran yang sama di negara jiran. Jika harga dinaikkan yang akan kita lihat ialah lebih banyak penyeludupan. 

 139. Selain daripada kemiskinan petani, nelayan dan mereka yang terlalu memilih kerja, rakyat Malaysia termasuk orang Melayu dan Bumiputera lain, hidup lebih bahagia dan akan bertambah bahagia dengan pertumbuhan ekonomi negara yang pesat. 

 140. Sesungguhnya bangsa yang berjaya ialah bangsa yang rajin dan sanggup menghadapi cabaran hidup. Tidak ada bangsa yang mundur kerana warna kulit atau kerana kaum atau agama atau kerana hidup di alam tropika. Kita telah buktikan bahawa apabila orang Melayu dan Bumiputera lain sanggup berusaha mereka akan dapat menguasai semua ilmu dan kecekapan untuk menjadikan mereka orang yang berjaya. 

 141. Orang Melayu sebagai orang Islam boleh berdoa dan meminta daripada Allah s.w.t. supaya mereka berjaya, tetapi ingatlah Tuhan telah berfirman dalam Al-Quran bahawa Ia tidak akan mengubah nasib sesiapa jika tidak ada usaha oleh mereka untuk mengubah nasib sendiri. Ingatlah juga bahawa segala keburukan yang menimpa kita adalah kerana kita sendiri dan segala kebaikan datangnya daripada Allah s.w.t. Oleh itu janganlah cepat mendakwa bahawa nasib buruk kita sebagai telah ditakdir oleh Allah s.w.t. Nasib buruk kita disebabkan oleh tidak ada usaha atau kurang usaha oleh diri kita sendiri. Apabila kita berusaha maka Allah s.w.t. akan memberi kejayaan kepada kita dan itu juga adalah takdir. 

 142. Saya pohon maaf kerana bahasa yang kasar yang saya gunakan dalam ucapan ini. Tetapi saya tidak mencarut dan tidak memanggil sesiapa dengan nama yang buruk yang mengaibkan. Bahasa saya bukan bahasa buku kerana saya bukan pakar bahasa atau ahli sastera. Hanya yang saya ingin ialah supaya orang memahami apa yang hendak diperkatakan oleh saya. 

 143. Saya guna bahasa biasa ini kerana lebih senang menyatakan perasaan saya sebagai seorang Melayu yang sayang pada bangsanya, sayang sejak saya faham saya adalah daripada bangsa Melayu lebih 65 tahun dahulu, di waktu mana saya mula sedar bahawa saya daripada bangsa yang terhina, bangsa yang dijajah, bangsa yang tidak mempunyai maruah, bangsa yang berasa dirinya begitu rendah berbanding dengan bangsa-bangsa lain, kaum-kaum lain. 

 TELAH USAHA SEDAYA UPAYA 


144. Seperti juga dengan orang lain dalam keadaan yang sama, saya berangan-angan untuk menukar persepsi saya, persepsi orang Melayu, persepsi orang asing terhadap bangsa saya. Saya tidak mimpi boleh membuat apa-apa ke arah itu selain daripada sebagai rakyat biasa. Tetapi Alhamdullillah, saya diberi peluang berkat sokongan ahli UMNO, orang Melayu, orang Malaysia yang lain, dengan izin Allah s.w.t untuk menjadi seorang yang memainkan peranan yang besar juga dalam menukar sedikit prestasi bangsa saya, bangsa Melayu, mengubah persepsi terhadap bangsa ini. 

 145. Saya telah cuba sedaya upaya. Terdapat sedikit kejayaan kata orang. Saya tidak berhak menilai kecapaian saya sendiri. Itu adalah hak orang lain. Tetapi saya telah berusaha bersungguh-sungguh. Ada masanya yang saya gembira sedikit dengan apa yang saya anggap sebagai kejayaan saya. Tetapi yang lebih saya rasai ialah kekecewaan-kekecewaan kerana sedikit sangat hasil yang saya dapati daripada tugas saya yang utama - tugas untuk menjadikan bangsa saya bangsa yang maju, bangsa yang dihormati, bangsa yang bermaruah tinggi, bangsa yang mulia. 

 146. Saya pohon maaf kerana kegagalan saya. Saya berdoa supaya di kalangan orang Melayu akan muncul pemimpin yang lebih mampu menukar sifat-sifat tertentu yang ada pada orang Melayu dan Bumiputera lain supaya mereka akan memiliki budaya yang lebih sesuai dengan kejayaan. 

 147. Daripada segi pertubuhan yang mampu melakukan perubahan ini, kita sudah ada. UMNOlah parti yang sesuai dan mampu menukar budaya Melayu. UMNO telah berjaya menyatupadukan orang Melayu dan mengikis sifat rendah diri mereka sehingga mereka berani bangun untuk menghadapi penjajah, untuk menuntut hak mereka. 

 148. Tetapi amat malang sekali kejayaan yang sedikit ini telah merosakkan, atau "undermine" pemikiran orang Melayu sehingga mereka anggap mereka sudah selamat dan boleh membuat apa sahaja. Hari ini semangat kebangsaan mereka sudah luntur dan kemampuan mereka menghadapi cabaran sudah menurun. Kalau hari ini mereka dijajah kemampuan mereka untuk melawan penjajah tidak boleh dijamin. 

 149. Kerana perpecahan di kalangan mereka kuasa politik mereka pun sudah susut. Mereka belum sedar akan hakikat ini tetapi hari ini apabila hak dan kedudukan mereka dicabar secara terbuka mereka tidak berupaya mempertahankan diri mereka. Mereka mencari perlindungan daripada kuasa politik. Tetapi kerana perpecahan kuasa politik mereka tidak sebegitu kuat seperti dahulu. Dan satu hari kuasa ini boleh luput sama sekali. 

 150. Ini tidak mengapa jika individu Melayu sudah menjadi orang yang gagah yang memiliki kebolehan yang tersendiri, kebolehan dalam bidang ilmu dan ekonomi, kebolehan bersaing tanpa keistimewaan yang hari ini mereka anggap sebagai hak mereka. Tetapi mereka bukan sahaja tidak menjadi individu yang gagah; sebaliknya mereka tidak sanggup menghadapi persaingan barang sedikit pun. Mereka begitu takut kepada kaum lain. Tanpa pengalaman bersaing dengan orang lain, jika perlindungan tiba-tiba hilang maka tidak mungkin sama sekali mereka "survive". 


 MELAYU BELUM SELAMAT 


 151. Orang Melayu jelas belum selamat. Janganlah ingat kuasa orang Melayu dalam arena politik akan kekal selama- lamanya, akan menjamin keselamatan orang Melayu sampai bila-bila. Sedarlah tidak ada yang kekal dalam masyarakat manusia, sudah tentu tidak ada yang kekal dalam politik manusia. 

 152. Ada bangsa yang tidak pernah bangun dan ada bangsa yang maju tetapi kemudian runtuh dan hilang dari muka bumi ini. Kita tidak bercita-cita besar untuk menjadi bangsa yang teragung, bangsa yang menjadi kuasa besar. Tetapi kita ingin terus bebas, merdeka dan tidak dihina, dijajah sekali lagi. 

153. Untuk ini pun kita perlu berjaga-jaga dan berusaha supaya bukan sahaja kekuatan politik kita dipulih dan dikekalkan tetapi kemampuan tiap seorang daripada kita dalam bidang tertentu, bidang ilmu dan kecekapan perniagaan dan perusahaan dipertingkatkan sehingga dapat kita menghadapi dan mengatasi segala saingan dan cabaran secara bersendirian. 

 KEMBALI KE JALAN BENAR 

 154. Untuk ini kita perlu kembali kepada budaya dan nilai-nilai mulia bangsa kita dan kepada ajaran agama kita. Hari ini banyak negara bukan Islam mendakwa bahawa orang Melayu dan negara Malaysia adalah "moderate" atau sederhana daripada segi keIslamannya. Ini tidak benar sama sekali. Kita bukan "moderate Muslims". Kita adalah "Muslim fundamentalists" iaitu kita berpegang kepada asas-asas atau "fundamentals" ajaran Islam, asas yang terdapat dalam Al-Quran dan Hadis yang sahih. 

 155. Ajaran Islam yang "fundamental" dan sebenar tetap akan menjadi kita orang Melayu sebagai manusia yang baik dan berjaya. Betapa tidak? Bukankah Islam menyuruh semua orang Islam bersatu dan bersaudara; bukankah Islam menyuruh orang Islam membaca; iaitu mempelajari ilmu, bukankah Islam menyuruh kita menuntut kebahagiaan di akhirat dan jangan lupa akan kebahagiaan kita di dunia, bukankah agama Islam menyuruh kita bermusuh hanya dengan orang yang bermusuh dengan kita, bukankah agama Islam melarang perbuatan yang mungkar dan menyeru kepada yang maaruf, berlaku adil dan bermacam-macam lagi yang baik dan membina? Tetapi ramai daripada kita orang Melayu yang semuanya beragama Islam, ramai yang mengikut nafsu dan mencipta serta menafsir ajaran Islam untuk menghalalkan perbuatan yang bertentangan dengan ajaran agama kita. Dan lepas itu kita tidak faham kenapa kita gagal. 

 156. Tugas UMNO, tugas kepimpinan UMNO, tugas semua ahli UMNO ialah untuk menyeru dan memberi panduan serta contoh teladan kepada semua orang Melayu supaya kembali kepada jalan yang benar. Dan ini perlu kita buat dengan memberi ingatan dan menunjuk cara yang baik kepada orang Melayu. 

 157. Oleh itu marilah kita perbaharui ikrar kita untuk menjayakan matlamat UMNO untuk menjadikan orang Melayu orang yang berjaya, orang yang tidak pernah luntur pegangan kepada ajaran Islam yang sebenar. Insyaallah dengan usaha gigih ke arah ini Allah s.w.t. akan makbulkan hasrat kita yang mulia ini. 

 158. Dengan berdoa supaya UMNO terus berwibawa dan meneruskan perjuangan asalnya, saya dengan ikhlas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan UMNO bagi tahun 2002 ini. 

 Sumber : Pejabat Perdana Menteri