Tempat/Venue : DEWAN MERDEKA, PWTC, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 10/10/96
Tajuk/Title : DI PERHIMPUNAN AGUNG UMNO
PEMIMPIN DAN KEPIMPINAN
1. Alhamdulillah, tahun ini genaplah lima puluh
tahun usia parti kita UMNO. Lima puluh tahun dalam
sejarah manusia tidaklah lama. Tetapi lima puluh
tahun bagi sebuah parti politik di Malaysia adalah
satu usia yang panjang. Kebanyakan daripada parti
politik yang ditubuhkan lima puluh tahun dahulu
sudah tidak ada lagi. Mereka sudah ditelan zaman.
Tetapi UMNO masih ada, masih aktif dan masih
berkuasa. Sebab itu kita harus insaf dan harus
bersyukur.
2. Apakah UMNO akan terus berada lima puluh tahun
lagi? Insya-Allah, UMNO akan terus berada. Tetapi
mungkin juga UMNO akan ditelan zaman. Ada atau
tidak adanya UMNO lima puluh tahun dari sekarang
banyak bergantung kepada kita, ahli-ahli UMNO. Jika
kita bijak, kita ikhlas, kita pegang kepada agama
dan prinsip-prinsip perjuangan kita, kita cinta
parti kita, bangsa kita dan negara kita, insya-Allah
UMNO mungkin terus wujud. Tetapi jika kita lupa
daratan, jika kita menjadi angkuh dengan kuasa yang
kita perolehi, jika kita tamak dan hanya ingin
melayan nafsu kita semata-mata, kemungkinan besar
ialah UMNO akan termusnah dan luput dari muka bumi
ini. Mungkin belum pun genap lima puluh tahun
lagi, mungkin dalam jangka masa yang lebih pendek,
mungkin pada pemilihan parti sekali lagi, mungkin
juga pada tahun ini, UMNO akan terhapus.
3. Segala-galanya ditentukan oleh Allah Subhanahu
wa Ta'ala. Tetapi Allah Subhanahu wa Ta'ala
menyuruh kita berusaha sendiri sebelum mengharapkan
pertolongan-Nya. Tambatlah unta kita dan
berserahlah kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Jangan salahkan takdir jika kita sengaja melakukan
apa yang dilarang oleh Tuhan. Yang cuba
menyelamatkan diri juga mungkin tidak terselamat,
kerana telah ditakdirkan. Tetapi yang cuba
menyelamatkan diri lebih mungkin terselamat, dan itu
juga takdir. Lebih baiklah kita cuba. Lebih
baiklah kita tambat unta kita.
PEMILIHAN PEMIMPIN MASIH DEMOKRATIK
4. Dalam persidangan ini kita akan mengadakan
pemilihan bagi badan yang tertinggi sekali yang
mentadbir dan menguruskan parti kita. Tetapi
pemilihan kali ini berbeza daripada pemilihan
Majlis Tertinggi yang telah diadakan sejak UMNO
ditubuhkan.
5. Kali ini ramai yang mungkin berpendapat bahawa
ia kurang demokratik. Yang pertama, kita telah
putuskan dalam Mesyuarat Agung tahun lalu bahawa
pertandingan untuk jawatan Presiden dan Timbalan
Presiden tidak akan diadakan kali ini. Kedua, kita
telah mengharamkan kempen dan mensyaratkan bahawa
calon-calon bagi jawatan-jawatan yang
dipertandingkan mendaftarkan nama mereka di
ibupejabat, tanpa apa-apa deklarasi mengenai agenda
mereka jika dipilih.
6. Kemudian kita tentukan bahawa bahagian-bahagian
tidak perlu menyatakan siapakah daripada calon-calon
yang telah mendaftar menjadi pilihan mereka. Semua
bahagian dikehendaki mencalonkan semua calon yang
telah mendaftar untuk semua jawatan.
7. Berbanding dengan kebebasan dalam pemilihan-
pemilihan dahulu, tentulah ternampak pemilihan kali
ini kurang bebas. Namun ia tidak boleh dikatakan
tidak demokratik.
8. Dahulu, di zaman Dato Onn dan Tunku Abdul
Rahman, pemilihan Majlis Tertinggi diadakan tiap-
tiap tahun tanpa apa-apa masalah. Biasanya tidak
ada rebutan hangat untuk jawatan-jawatan dan
keahlian dalam Majlis Tertinggi. Walaupun pada
mulanya di zaman Dato Onn semua jawatan, termasuk
Setiausaha Agung, Ketua Penerangan dan Bendahari
dipertandingkan, tetapi tidak ada masalah berkenaan
pemilihan mereka. Pilihan dibuat secara terbuka
dengan mengangkat tangan sahaja. Pencalonan dibuat
pada masa itu juga. Biasanya pemegang jawatan
dipilih semula tanpa dicabar.
9. Apabila Tunku Abdul Rahman mengambilalih,
pindaan dibuat kepada Perlembagaan UMNO supaya
Setiausaha Agung, Bendahari dan Ketua Penerangan
dipilih oleh Yang di-Pertua. Sebabnya ialah kerana
pegawai-pegawai ini perlu bekerja rapat dengan Yang
di- Pertua Parti.
10. Selain daripada itu, Yang di-Pertua juga diberi
hak melantik lima orang ahli Majlis Tertinggi atas
budi-bicaranya sendiri. Ini adalah untuk menentukan
orang yang tidak terpilih tetapi dipercayai oleh
Yang di-Pertua boleh menyumbang kepada Parti akan
dapat memainkan peranan dalam Parti. Sudah tentu
hak-hak ini menjadikan Yang di-Pertua lebih kuat
dalam Parti.
11. Semua pindaan kepada pemilihan Majlis Tertinggi
ini telah dipersetujui dalam Perhimpunan Agung.
UMNO sedar pada ketika itu lagi bahawa jika UMNO
mahu diiktiraf sebagai mewakili orang Melayu dalam
rundingan dengan British, gambaran bahawa UMNO
adalah bersatupadu dan pemimpinnya disokong penuh
oleh ahli-ahli dan orang Melayu amnya mestilah
ternampak nyata. Jika tidak, pihak British tidak
akan menghiraukan UMNO dan orang Melayu. Mereka
akan terus mengugut Raja-raja Melayu supaya menerima
semua rancangan mereka.
12. Kejayaan UMNO memang berasas kepada anggapan
bahawa UMNO adalah `solid' atau tumpat, dan apa juga
pendirian Yang di-Pertua UMNO tetap mencerminkan
pendirian semua ahli UMNO. Pihak British akhirnya
terpaksa memberi kemerdekaan kepada Persekutuan
Tanah Melayu pada 1957, iaitu dua tahun lebih awal
kerana mengikut kehendak UMNO.
13. Amalan memilih Ahli-ahli Majlis Tertinggi tiap-
tiap tahun diberhentikan selepas peristiwa 1969.
Apabila politik dibenarkan semula, UMNO membuat
keputusan untuk mengadakan pemilihan Majlis
Tertinggi tiga tahun sekali.
BUDAYA MELAYU LAMA KUATKAN UMNO
14. Budaya politik orang Melayu berubah secara
beransur-ansur. Sementara jawatan Presiden,
Timbalan Presiden, Naib Presiden tidak dicabar
sehingga tahun 1972, jawatan Ketua Pemuda dan Ketua
Wanita mula dipertandingkan.
15. Kita harus bersyukur kerana budaya merebut-
rebut tempat dalam parti tidak ada semasa UMNO
ditubuhkan dan budaya ini tidak mewarnakan politik
UMNO sehinggalah selesai perjuangan untuk
kemerdekaan. Tunku Abdul Rahman telah dijemput
dengan rela hati oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang
tidak bersetuju dengan Dato Onn walaupun Tunku tidak
terlibat secara langsung dengan UMNO sebelum menjadi
Yang di-Pertua. Almarhum tidak meminta untuk
dicalonkan dan tidak berkempen apabila dicalonkan.
Dato Onn pula tidak dikalahkan dalam pertandingan.
Allahyarham meletakkan jawatannya kerana
pendiriannya tidak diterima oleh majoriti ahli
Majlis Tertinggi UMNO pada ketika itu.
16. Walaupun pemergian Dato Onn menyebabkan
beberapa pemimpin tertinggi UMNO mengikutnya, tetapi
UMNO dapat dipulih semula oleh Tunku Abdul Rahman
dengan disokong oleh Dato Abdul Razak, Sardon, Senu,
Khir Johari, Aziz Ishak dan tokoh-tokoh UMNO yang
lain. Di masa yang sama mereka yang sejak awal lagi
tidak bersetuju dengan Dato Onn, seperti Dr Ismail
dan abangnya Sulaiman Abdul Rahman, mula menyertai
kepimpinan UMNO.
17. Barisan kepimpinan UMNO yang terbentuk setelah
Dato Onn meninggalkan parti masih terdiri daripada
orang Melayu lama iaitu orang Melayu yang bersopan-
santun dan berbudi bahasa, yang tidak ghairah untuk
merebut jawatan. Demikian juga tokoh-tokoh lain
dalam parti tidak berminat untuk merebut jawatan
dalam Majlis Tertinggi melainkan jika ada kekosongan
dan nama mereka dicadangkan. Kerap juga mereka
menolak pencalonan mereka.
18. Mungkin budaya berlemah-lembut ini tidak sesuai
dengan politik dan menjadikan UMNO tidak agresif
dalam melawan penjajah seperti parti-parti politik
lain di Asia Selatan, Asia Tenggara dan Afrika.
Tetapi dengan tidak ada cabaran terhadap kepimpinan
UMNO, UMNO telah menjadi kuat dan kepimpinannya
mempunyai kredibiliti. Dengan itu UMNO dapat
memperjuangkan kemerdekaan dengan jayanya. Jika
kepimpinan 'gentlemen' seperti Tunku dicabar,
kemungkinannya ialah British akan melaga-lagakan
pihak-pihak tertentu dalam UMNO dan melewat-lewatkan
proses kemerdekaan.
19. Walaupun Tunku tidak dicabar tetapi Almarhum
tidak bergantung semata-mata kepada sifat berlemah-
lembut orang Melayu. Selain daripada membuat
perubahan berkenaan dengan jawatan-jawatan tertentu
dalam UMNO, Tunku juga menghapuskan UMNO Negeri dan
menggantikannya dengan Perhubungan UMNO Negeri.
Dengan itu perwakilan ke Perhimpunan Agung datang
daripada Bahagian-bahagian dan tidak seperti
sebelumnya daripada UMNO Negeri yang sudah tentu
lebih kuat dan lantang daripada Bahagian UMNO.
20. Sepanjang kepimpinan Tunku, tidak ada cabaran
yang serius terhadapnya walaupun di tahun-tahun
akhir kepimpinan beliau kedengaran pendapat bahawa
beliau sudah terlalu lama menjadi Perdana Menteri.
Terdapat juga pendapat bahawa mungkin ada baiknya
jika jawatan Perdana Menteri dipisahkan daripada
jawatan Yang di-Pertua UMNO. Ada juga resolusi pada
tahun-tahun sebelum pilihanraya 1969 supaya Tun
Razak mengambilalih kepimpinan parti dan juga
menjadi Perdana Menteri.
21. Cabaran terhadap pucuk pimpinan parti tidak
akan mempunyai apa-apa kesan selagi yang
mencabar tidak mempunyai taraf yang sama atau hampir
sama dengan pemegang jawatan. Cabaran oleh ahli
biasa tidak ada makna dan tidak mungkin berjaya.
22. Mengikut adat resam orang Melayu yang masih
kekal di masa itu, adalah kurang sopan bagi
seseorang yang sedang berada bersama dalam satu
jawatankuasa, bahkan dalam satu Kabinet mencabar
ketuanya. Budaya Melayu lama tidak membenar sesiapa
yang setaraf atau hampir setaraf dengan Yang di-
Pertua untuk cuba merebut jawatan Yang di-Pertua.
Oleh itu walaupun ada resolusi di peringkat bawahan
supaya Tun Razak mengambilalih tempat Yang di-
Pertua, tetapi Tun sendiri menolak cadangan ini.
Dengan ini barisan kepimpinan UMNO tidak pecah.
Tetapi ada tanda-tanda yang Tunku sendiri telah
berasa kurang senang dengan Tun Razak dan ingin
melihat seorang tokoh lain menduduki tempat Tun
dalam Parti dan Kerajaan. Namun Tunku tidak membuat
apa-apa kerana menyingkir Tun Razak daripada jawatan
Timbalan Yang di-Pertua dan Timbalan Perdana Menteri
juga merupakan tindakan yang tidak sesuai dengan
adat resam orang Melayu. Penyingkiran Abdul Aziz
Ishak tidak sama dengan keadaan jika Tun Razak
disingkir.
KEMUNCULAN BUDAYA BARU DALAM UMNO
23. Budaya Melayu lama melalui perubahan sedikit
demi sedikit sehinggalah peristiwa 1969 berlaku.
Rusuhan pada bulan Mei tahun itu menjadi kejutan dan
faktor yang besar dalam mengubah sikap orang Melayu
terhadap pemimpin. Tunku diselar sehingga Almarhum
sendiri berpendapat bahawa populariti dan
pengaruhnya sudah luput. Almarhum sendiri membuat
keputusan untuk mengundur diri dan memberi tempat
kepada Tun Razak.
24. Peralihan kepimpinan berlaku tetapi
pertandingan antara pemimpin tertinggi masih tidak
ada. Justeru itu, barisan kepimpinan UMNO masih
tidak retak. Keadaan hampir kembali kepada budaya
lama sehinggalah Dato Hussein Onn sebagai Presiden
Parti dicabar oleh ahli biasa, iaitu Haji Suleiman
Palestin. Ini bukanlah cabaran yang `credible',
namun ia memecah tradisi UMNO. Selepas itu agak
mudah jawatan Naib Presiden dan juga Timbalan
Presiden dipertandingkan.
25. Tradisi akhirnya hancur apabila buat kali
pertama cabaran yang `credible' untuk jawatan
Presiden dibuat pada tahun 1987 dan pertandingan
yang sengit diadakan. Adat resam, sopan-santun
Melayu hapus dengan pertandingan ini. Buat kali
pertama wang diguna secara meluas. Kempen yang
diadakan tidak lagi terhad. Tuduhan terbuka oleh
calon dan penyokong yang memburukkan bukan sahaja
calon tetapi Parti dan Kerajaan dibuat yang
melemahkan kedua-duanya.
26. Akhirnya masalah Parti dibawa ke mahkamah dan
Parti yang sedang memerintah diharamkan. Pergelutan
berlaku untuk menubuh parti yang memiliki nama UMNO.
Pihak yang gagal tidak sanggup menerima kenyataan
dan terus menubuhkan sebuah parti lain untuk melawan
parti yang jelas mewarisi UMNO. Alhamdulillah,
perasaan benci-membenci ini telah reda dan hari ini
ahli-ahli parti yang ditubuhkan untuk melawan UMNO
akan kembali semula kepada UMNO. Bermaaf-maafan
masih menjadi sebahagian daripada adat resam orang
Melayu dan dengan itu perpecahan dapat digantikan
dengan perpaduan. Yang putus adalah benang, bukan
arang. Kita mengalu-alukan kembalinya rakan
seperjuangan kita ke pangkuan UMNO supaya kita dapat
bersama-sama memperjuangkan nasib kaum bangsa kita,
insya-Allah.
27. Walaupun yang terputus sudah disambung semula
tetapi kesan rebutan jawatan ini menghancurkan
secara langsung budaya Melayu lama. Dalam UMNO
pertandingan untuk apa juga jawatan tidak lagi
beradab sekarang. Apa juga cara, termasuk penggunaan
wang secara besar-besaran, digunakan walaupun di
peringkat Cawangan dan Bahagian. Tidak syak lagi
bahawa perpaduan dalam Parti tidak akan kekal jika
rebutan seperti ini berlaku. Pisang mungkin tidak
berbuah dua kali. Tetapi parti politik bukan pisang.
28. Permusuhan politik di kalangan orang Melayu
biasanya berlanjutan ke dalam bidang sosial juga.
Demikian sejak awal lagi orang UMNO dan PAS tidak
boleh berkawan walaupun di luar parti. PAS membawa
budaya ini ke tahap yang keterlaluan. Mereka paksa
ahli-ahli dan penyokong-penyokong mereka berpisah
sama sekali dengan ahli-ahli UMNO sehingga mereka
tidak boleh menghadiri majlis perkahwinan atau apa-
apa kenduri yang diadakan oleh ahli UMNO, tidak
boleh berkahwin dengan anak ahli UMNO, tidak boleh
sembahyang bersama-sama ahli-ahli UMNO dan tidak
boleh dikebumikan di kubur yang sama.
29. Budaya ini sedikit sebanyak terdapat juga dalam
UMNO sehingga jika ada pertandingan untuk jawatan,
permusuhan secara kekal berlaku. Segala tindakan
untuk melemahkan pemenang akan diambil oleh pihak
yang kalah dan sebaliknya. Perpaduan dalam parti
hancur. Dengan ini tiap-tiap pertandingan akan
menyebabkan pihak yang menang mempunyai penyokong
yang semakin merosot bilangannya. Jika proses ini
diteruskan UMNO akan mempunyai keahlian yang semakin
kecil.
30. Kita percaya ini tidak berlaku kerana bilangan
ahli UMNO bertambah sepanjang masa. Tetapi tambahan
ini adalah kerana ahli baru. Ahli yang lama semakin
merosot bilangan mereka kerana yang kalah kecewa dan
mengasingkan diri daripada UMNO. Mereka yang dahulu
mendapat tempat dan jawatan dalam Kerajaan
sekalipun, apabila sahaja kalah, akan `bersara' dan
tidak aktif lagi. Hanya beberapa kerat sahaja
daripada veteran-veteran ini yang terus aktif dan
sanggup menyokong pengganti mereka.
31. Perubahan budaya UMNO dan orang Melayu ini
perlu diakui oleh Parti dan usaha dibuat untuk
menanganinya. Bukanlah semua daripada budaya Melayu
baru ini tidak baik. Sebenarnya banyak daripada
pertukaran adat resam dan sopan-santun Melayu ini
membawa kebaikan. Tetapi bahawa mereka tidak lagi
segan untuk menonjolkan diri dan bersaing mungkin
boleh membawa kepada perpecahan kepimpinan Parti dan
UMNO. Lainlah dalam bidang perniagaan, dimana kita
mesti sanggup bersaing secara terbuka, menyusun
strategi untuk menang, bagi mewujudkan ahli
perniagaan dan pengusaha Melayu yang berwibawa dan
berjaya. Kerana yakin akan kebolehan diri, kita
lebih mungkin berjaya membentuk satu bangsa yang
dihormati oleh bangsa-bangsa lain, bukan kerana
keangkuhan bangsa tetapi kerana kejayaan yang jelas
dicapai oleh kita.
32. Tetapi 'self-confidence', kepercayaan kepada
kebolehan diri, tidak boleh dibenar menjadikan
seseorang itu `over-confident' atau angkuh dan
sombong kerana terlalu percaya kepada diri sendiri.
Bahayanya `over-confidence' ialah apabila mengejar
kejayaan bagi diri, kesan terhadap pihak lain dilupa
dan diketepikan. Demikian dalam bidang politik,
seseorang tokoh mungkin berjaya sehingga mendapat
jawatan tertentu, tetapi parti mungkin akan hancur
kerana cara kempen yang dilakukan olehnya. Jika
logik ini diteruskan kita akan mendapat pemimpin
yang cekap berkempen yang akan memimpin parti yang
semakin kecil. Akhirnya akan tinggal pemimpin
sahaja tetapi tidak ada orang yang hendak dipimpin.
33. Ini bukan satu ramalan yang keterlaluan. Di
sesetengah negara kerap berlaku perpecahan dalam
parti politik tiap kali pemilihan pemimpin diadakan.
Dan akhirnya bilangan parti bertambah dan permusuhan
antara mereka menjadi lebih utama daripada
penyelesaian masalah negara. Di negara kita juga
perpisahan di antara UMNO dengan Dato Onn
menyebabkan parti-parti IMP dan Parti Negara
ditubuhkan, sementara pertandingan pada tahun 1987
menyebabkan parti Semangat 46 pula ditubuhkan.
Alhamdulillah, majoriti orang Melayu menyokong UMNO
(Baru) dan keadaan dapat dipulihkan. Apakah akan
jadi jika parti masing-masing mendapat sokongan yang
sama banyak? Tentulah parti lawan yang akan menang.
LARANGAN KEMPEN UNTUK SELAMATKAN UMNO
34. Tetapi kita tidak boleh membiarkan sahaja
budaya Melayu ini berubah tanpa kita membuat
perubahan dalam cara kita berpolitik supaya budaya
baru ini tidak menghancurkan kita. Sebab itulah
dalam pemilihan pemimpin kali ini kita telah membuat
beberapa perubahan. Dengan persetujuan Perhimpunan
Perwakilan tahun lepas, jawatan Presiden dan
Timbalan Presiden tidak dipertandingkan. Mungkin
ada anggapan bahawa ini adalah cara kedua-dua
pemimpin ini menyelamatkan diri. Tetapi keputusan
ini dibuat secara spontan, tanpa kempen oleh
sesiapa. Jika saya tidak salah, niat kita ialah
untuk mengelak daripada kempen dan pergelutan yang
akan memecah-belahkan Parti seperti yang berlaku
dalam tahun 1987.
35. Penyokong-penyokong calon tidak begitu
mengambil berat akan nasib buruk Parti. Bagi
kebanyakan daripada mereka, pertandingan antara
pemimpin yang memegang jawatan Kerajaan bermakna
peluang; peluang untuk mengekalkan jawatan mereka
jika `incumbent' menang atau peluang untuk mendapat
jawatan jika pencabar menang. Tidak ada
pertandingan bermakna tidak ada peluang. Tidak ada
pertandingan sengit bermakna kurang balasan budi.
36. Generasi muda akan mewarisi parti. Tetapi
biarlah parti yang akan diwarisi ini kukuh dan
selamat. Tidak ada gunanya mewarisi parti yang
lumpuh dan tidak bermaya. Seperti kata pepatah
Melayu, "menang jadi arang, kalah jadi abu".
37. Dengan tidak adanya pertandingan bagi Presiden
dan Timbalan Presiden demokrasi dalam parti mungkin
tercemar sedikit, tetapi kita akan lebih selamat.
Ingatlah demokrasi adalah untuk kebaikan parti dan
bukan parti diadakan untuk demokrasi. Demokrasi
tanpa parti yang berwibawa tidak bermakna.
38. Larangan terhadap berkempen menjadi penting
kerana cara-cara yang tidak sihat digunakan dalam
kempen. Dahulu, semasa UMNO mengadakan pemilihan
Majlis Tertinggi tiap-tiap tahun tidak ada masalah
yang menimpa parti. Sebabnya ialah calon-calon
tidak berkempen. Mereka bergantung kepada rekod
mereka dalam parti atau dalam Dewan-dewan Undangan
tertentu. Sudah tentu jika mereka menjadi Menteri
prestasi mereka ternampak jelas dan mudah dinilai.
Tetapi harus diingat bukan semua yang dilakukan oleh
Menteri, Ketua Menteri atau Menteri Besar atau Ahli
Dewan dalam menjalankan tugas akan menjadikan mereka
popular. Yang penting ialah ahli-ahli dapat menilai
sendiri prestasi calon-calon tanpa kempen yang
sengaja memburukkan imej atau mendewa-dewakan calon.
39. Yang harus diingat juga ialah sebelum mereka
mendapat tempat sebagai Ahli-ahli Yang Berhormat,
prestasi mereka di peringkat negeri, atau bahagian,
atau cawangan hendaklah baik dan menarik perhatian.
Dengan perkataan lain, proses mendapat tempat dalam
parti bermula di peringkat bawahan. Kadang-kadang
ianya mengambil masa yang lama sebelum ketokohan
seseorang itu dikenali dan diiktiraf. Hari ini
ramai yang ingin `lompat katak', entah dari mana,
untuk menduduki tempat tertinggi dalam parti secepat
mungkin.
40. Jika tidak ada kempen ada pihak yang mendakwa
kononnya teraniayalah orang tertentu kerana
kebolehannya tidak dapat ditonjolkan. Tetapi jika
ada kempen pun ada yang akan menjadi mangsa kerana
mereka tidak berupaya berkempen sedangkan yang
kurang berbakat mampu menggunakan taktik tertentu
yang boleh menonjolkan diri mereka. Sebenarnya yang
cekap dan mampu berkempen dengan cara yang tidak
sihat mungkin terdiri daripada orang yang tidak
sesuai untuk memimpin parti. Kemungkinannya ialah
dengan cara kempen sekarang, orang yang tidak
mempunyai prinsip dan suka sogok akan memimpin
parti. Parti tetap akan hancur jika orang seperti
ini memimpin parti sehingga ke peringkat yang
tertinggi. Parti UMNO akan dipimpin oleh perasuah
yang membeli jawatan dan bukan mendudukinya kerana
kebolehan yang diperlukan oleh Parti dan Kerajaan.
Malaysia yang dipimpin oleh pemimpin yang korup akan
merosot prestasinya dan mustahil Malaysia boleh
menjadi negara yang berjaya. Kita akan dipandang
hina oleh orang lain.
41. Jika kita melarang kempen dan membuat beberapa
peraturan untuk pemilihan kali ini, tujuannya ialah
untuk menyelamatkan parti. Yang penting dan utama
ialah Parti, bukan individu tertentu. Individu
boleh dikecewakan tetapi Parti perlu selamat dan
berwibawa selama yang mungkin. Mereka yang kecewa
harus ingat bahawa jika ada kempen pun, kemungkinan
mereka kecewa ada juga. Daripada segi Parti,
kekecewaan beberapa tokoh tidak dapat dielakkan sama
ada kempen dibenar atau tidak dibenarkan. Tetapi
tanpa kempen, kerosakan kerana ada calon yang kecewa
tidaklah seburuk kerosakan kerana kempen yang buruk
dan sengit yang boleh memecah-belahkan Parti.
42. Kekecewaan di kalangan calon adalah perkara
biasa apabila pertandingan diadakan. Tentu ada yang
akan kalah. Mustahil rebutan untuk satu jawatan
oleh lebih daripada seorang tidak akan menyebabkan
ada yang kalah. Jika kita kalah dan kita sanggup
menerimanya, maka terselamatlah Parti. Jika kita
tidak sanggup menerima kekalahan maka adalah lebih
baik kita tidak bertanding. Yang penting dalam
pertandingan ialah semua pihak menerima keputusan.
Sepertimana kita mahu pihak yang kalah menerima kita
yang menang, kita juga, apabila kalah, mesti
menerima yang menang.
43. Jika kita miliki budaya pertandingan, kita akan
sanggup menerima apa sahaja keputusan. Selesai
pertandingan maka kita mesti rapatkan semula barisan
kita dan kita hadapi cabaran parti lawan. Seperti
yang saya katakan tadi yang penting ialah parti,
bukan individu tertentu. Parti tanpa individu
tertentu akan dapat berpolitik secara berkesan,
individu tanpa parti akan menjadi suara kecil di
hutan belantara.
44. Walaupun tidak ada kempen, tokoh yang betul-
betul baik tetap akan menarik perhatian dan
sokongan. Sedikit demi sedikit ketokohannya akan
diakui dan ia akan naik ke atas dan mungkin akhirnya
menjawat jawatan yang tertinggi sekali. Ini bukan
mustahil kerana pemimpin-pemimpin UMNO yang dahulu
tidak berkempen, tetapi dapat menjadi pemimpin dan
memegang jawatan-jawatan tinggi dalam Kerajaan.
45. Saya sedar adanya kemarahan di kalangan calon-
calon dan ahli-ahli kerana tidak puas hati dengan
tindakan mengharamkan secara langsung kempen dalam
pemilihan ahli Majlis Tertinggi kali ini. Macam-
macam sekatan telah diadakan sehinggakan tidak siapa
pun kononnya dapat bergerak. Saya kata kononnya,
kerana umum mengetahui ada yang bergerak. Kita tahu
siapa di antara calon-calon yang aktif, menggunakan
nama saya dan nama Timbalan Presiden, bahkan
menghulurkan wang. Kemenangan mereka tidak menjamin
tindakan tidak akan diambil kemudian apabila kita
mempunyai bukti yang cukup. Dan wakil-wakil yang ke
sana ke sini untuk meminta itu dan ini, juga akan
diambil tindakan disiplin walaupun pemilihan sudah
selesai.
UMNO GERAKAN REFORMASI YANG BERKESAN
46. Tindakan luarbiasa ini diambil kerana UMNO
terlalu penting bagi orang Melayu dan Bumiputera
lain. UMNO bukan sahaja parti politik yang memberi
peluang kepada orang tertentu mendapat jawatan dan
tempat yang tinggi dalam Negara. UMNO juga bukan
semata-mata bertujuan untuk memerintah dan
membangunkan negara ini. UMNO adalah lebih daripada
semua itu. UMNO adalah suatu gerakan reformasi atau
gerakan pembaharuan bangsa Melayu dan Bumiputera
yang lebih mampu dan berkesan daripada mana-mana
gerakan reformasi yang lain. Sama ada kita akan
dapat menebus maruah kita atau tidak, menjadi bangsa
yang dihormati dan dipandang tinggi oleh bangsa-
bangsa lain di dunia atau tidak, dan menjadi satu
daripada bangsa maju atau tidak, bergantung kepada
reformasi budaya yang telah dan akan dibawa oleh
UMNO. Jika UMNO gagal membawa reformasi ini maka
bangsa kita, Melayu terutamanya bersama Bumiputera
lain akan kembali dihina dan diperhambakan. Saya
yakin tidak ada seorang pun daripada ahli UMNO yang
ingin kita kembali kepada keadaan orang Melayu
semasa dijajah dahulu. Bahkan kita tidak pun ingin
melihat kita kembali kepada keadaan kita sebelum
1969 di waktu mana kemerdekaan kita agak kosong
kerana kita masih menjadi bangsa yang mundur, tidak
berilmu dan tidak berjaya dalam apa bidang pun
selain daripada politik.
47. Keadaan orang Melayu dan Bumiputera lain di
waktu ini sudah berubah. Tidak ada siapa lagi yang
menyoal kemampuan kita mentadbir dan membangunkan
negara kita. Kita dapat buktikan bahawa pentadbiran
kita bukan sahaja jauh lebih baik daripada
pentadbiran penjajah dahulu tetapi lebih baik
daripada kebanyakan negara lain termasuk negara maju
sekarang. Bangsa yang kononnya tidak faham ekonomi,
perniagaan dan perusahaan, kini bukan sahaja dapat
membangunkan ekonomi negara dengan begitu tinggi
tetapi dapat menjadi contoh dalam pengurusan ekonomi
kepada negara-negara lain. Bumiputera yang
dikatakan tidak tahu berniaga, yang cuma mampu
menjadi `Ali' dalam perkongsian `Ali Baba', hari ini
memiliki dan mengurus firma-firma canggih yang maju
jaya, bermodal berbilion ringgit dan meraih
keuntungan yang setanding dengan firma-firma
antarabangsa. Mereka mampu membeli syarikat-
syarikat milik bukan Bumiputera bahkan milik orang
asing di luar negara. Dalam bidang perbankan dan
telekomunikasi, bidang penerbangan dan industri
motor, Melayu dan Bumiputera setanding atau
mendahului kaum-kaum lain di Malaysia. Dan banyak
lagi kejayaan yang dicapai oleh Melayu dan
Bumiputera kerana reformasi budaya yang diusahakan
oleh Kerajaan pimpinan UMNO dan UMNO sendiri.
48. Namun prestasi negara, prestasi Melayu dan
Bumiputera belum lagi sampai ke puncaknya. Ia belum
sampai kepada tahap yang boleh menjamin ia dapat
dikekalkan tanpa diawasi dan dipelihara oleh UMNO
dan Kerajaan pimpinan UMNO. Kita belum betul-betul
maju. Kita sedang melalui proses kemajuan. Kita
masih rapuh. Jika digoncang, kita akan retak, pecah
dan jatuh berkecai. Banyak lagi yang perlu dibuat
terutama dalam pembentukan budaya dan sifat-sifat
yang mampu menangkis dan menahan serangan. Dan
tanggungjawab ini mesti dipikul oleh UMNO.
Reformasi yang perlu dibawa mesti dibawa dan
diusahakan oleh UMNO. Tamadun Melayu/Bumiputera
baru mesti dibentuk dan dijayakan oleh UMNO. Parti
dan kumpulan-kumpulan lain bukan sahaja tidak mampu
berbuat demikian tetapi mereka mungkin menyebabkan
segala yang telah dicapai dikembalikan kepada yang
asal, mundur dan lemah. Jangan kita fikir ini tidak
mungkin. Kita boleh lihat bagaimana banyak negara
yang dahulunya maju telah merosot kerana pertukaran
pemerintahan kepada yang tidak berkemampuan.
49. Sesuatu bangsa itu tidak berjaya atau gagal
kerana kumpulan etniknya. Orang Eropah bukan
berjaya kerana mereka orang kulit putih Eropah.
Orang Jepun, Korea dan China bukan berjaya kerana
mereka daripada kumpulan etnik Mongol. Demikian
juga orang berkulit sawo matang bukan lemah atau
kuat kerana mereka daripada orang yang berkulit sawo
matang. Dalam semua kumpulan etnik ada yang berjaya
dan ada yang gagal. Kemungkinan untuk gagal atau
kemampuan untuk berjaya ada pada sesiapa sahaja.
50. Yang menentukan berjaya atau tidaknya sesuatu
bangsa itu ialah budaya bangsa itu - iaitu jumlah
nilai-nilai yang dipercayai, dipegang dan diamal
oleh bangsa itu. Jika kombinasi nilai-nilai ini
sesuai untuk kejayaan maka berjayalah bangsa itu;
jika tidak, gagal dan mundurlah bangsa itu. Tamadun
yang terkenal dalam sejarah manusia adalah hasil
budaya yang sesuai dengan pembentukan dan pencapaian
tamadun berkenaan.
UMNO MENGUBAH BUDAYA MELAYU
51. Jika pada hari ini kita telah mencapai kemajuan
sedikit sebanyak, ia bukan sahaja kerana dasar-dasar
Kerajaan tetapi yang utamanya kerana perubahan
budaya Melayu dan Bumiputera lain yang dibawa oleh
UMNO. Sebelum adanya UMNO, orang Melayu sanggup
dihina dan dijajah. UMNOlah yang mempengaruhi
pemikiran orang Melayu sehingga mereka berani bangun
menentang penjajah yang mereka telah pertuankan
dahulu.
52. UMNOlah yang menyemaikan kepercayaan bahawa
orang Melayu mampu mentadbir negara sendiri yang
merdeka. Di waktu parti-parti Melayu yang lain
tidak yakin orang Melayu boleh memerintah negara
sendiri, UMNO yakin dan dapat menyakinkan majoriti
orang Melayu mengenai kemampuan mereka.
53. Selepas merdeka, timbul masalah mengisi
kemerdekaan. Pemerintahan penjajah dahulu
menganggap tugas pentadbiran ialah semata-mata
menguatkuasakan undang-undang. Kerajaan pimpinan
UMNO menganggap pentadbiran sebagai alat pembangunan
negara dan rakyat. Pendapat dan pendekatan UMNO
mengenai konsep Kerajaan adalah ciptaannya sendiri
dan jauh lebih bermakna dan lebih baik daripada yang
dibawa oleh penjajah.
54. Hasilnya bangsa yang dahulu hanya boleh menanam
padi dan menoreh getah, sekarang boleh mengeluarkan
barangan canggih dalam kilang-kilang yang moden.
Daripada bangsa petani muncul bangsa industri,
dengan nilai-nilai hidup yang berbeza dan lebih
sesuai dengan pembangunan negara dan persaingan
dengan bangsa-bangsa lain.
55. Melayu dan Bumiputera di zaman industri di
Malaysia tidak sama dengan Melayu di zaman Malaysia
sebagai negara pertanian. Budaya mereka berubah
secara radikal. Tidak semua perubahan ini baik.
Tetapi jika budaya petani Melayu dikekalkan, tidak
mungkin perindustrian akan berjaya dan bangsa Melayu
terkenal seperti sekarang.
56. UMNO telah memainkan peranan dalam pembentukan
budaya Melayu/Bumiputera ini dengan mengadakan
pelbagai kursus, seminar, kajian dan beribu-ribu
ucapan. Buku `Revolusi Mental' dikeluarkan oleh
UMNO dalam usahanya untuk membimbing orang Melayu
supaya dapat menyesuaikan diri dengan perubahan dari
desa ke bandar, daripada petani ke pekerja kilang,
dari zaman kais pagi makan pagi dan kais petang
makan petang kepada zaman pendapatan yang tetap dan
perbelanjaan yang terancang.
57. Mungkin ramai daripada kita tidak sedar akan
reformasi budaya yang diusahakan oleh UMNO secara
langsung atau tidak langsung. Tetapi hakikatnya
ialah UMNO telah mengubah budaya orang Melayu dan
membentuk budaya baru untuk mereka. Dan budaya
inilah yang menolong menjayakan, walaupun tidak
sepenuhnya, Dasar Ekonomi Baru.
MEMBENTUK BUDAYA HADAPI ZAMAN MAKLUMAT
58. Tetapi budaya yang sesuai dengan Dasar Ekonomi
Baru belum tentu dapat menjayakan kita di Zaman
Maklumat yang sudah tiba. Walaupun maklumat boleh
meningkatkan kebolehan kita dalam pelbagai bidang,
ia juga boleh merosak dan melemahkan kita.
59. Hari ini kita menghadapi masalah keruntuhan
akhlak dan gejala seperti penyalahgunaan dadah,
bohsia, mendera anak dan membuang anak. Sedikit
sebanyak ia berpunca daripada kemewahan hasil
perindustrian dan penghijrahan dari kampung ke
bandar. Budaya kampung berbeza dengan budaya
bandar. Di kampung kita tidak jauh daripada keluarga
dan sahabat handai. Kita tidak bebas membuat sesuka
hati kita. Kita tahu malu.
60. Di bandar kita hidup dalam masyarakat yang
tidak kenal siapa. Yang menjadi kawan dan rakan
ialah mereka yang sebaya dengan kita. Minat dan
nafsu adalah sama. Apa yang dibuat oleh kita dibuat
juga oleh rakan kita. Jika kita salah, salah
jugalah mereka. Jika mereka salah, salah jugalah
kita. Dengan itu kita tidak lagi berasa malu atau
segan-silu jika bersalah. Apa sahaja yang hendak
kita lakukan, kita lakukan.
61. Ternampak jelas yang ramai anak muda kita tidak
dapat menangani kebebasan yang meluas ini. Agama
yang diajar lebih menekankan rupa bentuk yang
dikatakan Islam dan bukan nilai-nilai Islam yang
mulia. Soal titik bengik diutamakan, tidak perkara
yang berat. Justeru itu, walaupun pada permukaan
pegangan kepada agama ternampak lebih kuat sekarang
tetapi sebenarnya kefahaman agama dan pegangan
kepadanya amat lemah. Hakikatnya ialah kebanyakan
daripada mereka yang terjebak dengan dadah dan
perbuatan-perbuatan curang terdiri daripada anak-
anak kita yang beragama Islam. Tentu ada sesuatu
yang tidak kena dalam didikan akhlak yang dikatakan
berasas kepada agama. Agama tidak salah. Tetapi
kita tahu apa yang diajar kepada kita ialah tafsiran
dan pandangan orang tertentu. Sebab itu orang Islam
terbahagi kepada berbagai-bagai mazhab dan
kepercayaan, termasuk yang jelas salah dan
bertentangan dengan Islam yang sebenar. Kerana
kesalahan tafsiran yang mempunyai kepentingan
tertentu, agama yang sepatutnya menjadi benteng,
sudah tidak lagi melindungi kita.
62. Kerajaan telah cuba untuk membentuk peribadi
yang mampu menangani masalah hidup di bandar dengan
kemewahannya melalui program rakan muda yang
termasuk juga amalan dan ajaran agama. Tetapi
ternyata kemajuan setakat ini menunjukkan kita belum
dapat menangani masalah ini dengan baik. Apakah
kita dapat membentuk generasi yang kian terdedah
kepada maklumat dan nilai-nilai hidup yang boleh
merosakkan lagi budaya mereka, menggantikan tempat
kita?
63. Kita tidak dapat menyisihkan bangsa kita
daripada dunia luar. Mahu tidak mahu kita terdedah
kepada budaya asing yang ghairah dengan seks dan
keganasan. Terpesong oleh nafsu, ilmu yang berguna
dalam zaman maklumat tidak dituntut untuk
mendatangkan faedah bagi kita. Sebaliknya kita
asyik dengan melayan nafsu.
64. Akhirnya kita akan tergelungsur ke belakang dan
kembali kepada status kita sebagai bangsa yang
dihina dan dijajah.
65. Semua ini tidak akan berlaku atau tidak akan
menjadi terlalu berat jika kita berjaya membentuk
budaya yang boleh mempertahankan kita daripada
gejala-gejala buruk zaman maklumat. Untuk ini kita
perlu kepada kepimpinan yang gagah dan bersih. Dan
kepimpinan ini mesti datang daripada UMNO.
66. Kualiti kepimpinan dalam UMNO akan menentukan
jaya atau tidaknya bangsa kita di zaman maklumat.
Kerana UMNO bukan sahaja perlu berpolitik, UMNO juga
perlu menerajui reformasi budaya supaya kita akan
dapat mempertahankan diri kita daripada dirasuk
`syaitan' yang akan datang bersama dengan ledakan
maklumat dan kemewahan. `Syaitan' ini dengan
`syaitan' yang merasuk semasa kemiskinan, yang boleh
membawa kepada kekufuran, sama sahaja. Justeru itu,
kita tidak dapat mencari perlindungan dengan
mengekalkan kemiskinan dan melindungi diri daripada
maklumat zaman ini. Melarikan diri daripada masalah
bukan caranya untuk menangani masalah. Bangsa yang
bertamadun perlu menghadapi dan mengatasi masalah.
KESAN PILIH PEMIMPIN YANG RASUAH
67. Apakah jenis pemimpin yang diperlukan? Sudah
tentu bukan pemimpin yang tidak bermoral, perasuah,
pemimpin yang lebih mengutamakan kedudukan daripada
kehormatan dan kejayaan bangsa, agama dan negara.
68. Memang biasa terjadi pemimpin yang bersih pun
tergoda oleh duit ringgit apabila mendapat kuasa dan
peluang.
69. Tetapi mereka yang awal-awal lagi sudah
menunjukkan sifat-sifat yang buruk, yang menyogok
untuk mendapatkan tempat, yang tidak segan-segan
menyalahgunakan kuasa dan peluang untuk diri
sendiri, sudah tentu mereka ini akan lebih sanggup
disogok apabila mendapat tempat dan menjadi
pemimpin. Pemimpin yang telah menghulurkan wang
untuk mendapatkan sokongan sudah tentu tidak akan
teragak-agak menerima wang sogokan untuk menyokong
atau meluluskan sesuatu. Pemimpin perasuah akan
mendirikan Kerajaan perasuah.
70. Sebagai Perdana Menteri atau Menteri atau
pemegang jawatan-jawatan tertentu dalam Kerajaan
Persekutuan atau Kerajaan Negeri, pendapatan hanya
cukup untuk hidup sederhana.
71. Oleh itu jika mereka menggunakan wang dalam
kempen, mereka perlu mendapatkan wang yang tidak
halal atau mengeluarkan lesen, AP, saham, memberi
tender atau kontrak dan sebagainya kepada penyokong
mereka. Mungkin mereka yang dapat atau harap
mendapat sesuatu akan menyanjung tinggi pemegang
jawatan-jawatan tertentu dalam Kerajaan yang tidak
bermoral ini. Ada antara ahli-ahli UMNO yang
berpendapat bahawa apa gunanya kuasa jika ia tidak
boleh digunakan untuk menolong kawan atau keluarga
atau ahli parti dan penyokong. Kepada mereka ianya
tidak salah. Kepada mereka ianya hanya untuk
membalas budi. Dahulu kita sokong, sekarang
patutlah kita terima balasan yang setimpal, pada
pandangan mereka. Lagipun yang diberi bukan milik
Menteri, tetapi milik Kerajaan. Kuasa yang
tertakluk kepada aturan-peraturan bukan kuasa.
Kuasa bermakna hak membuat apa sahaja yang disukai.
Jika hanya boleh diguna mengikut peraturan itu
bukanlah kuasa, kata mereka.
72. Tetapi percayalah sama ada membalas budi atau
tidak, penyalahgunaan kuasa dan rasuah akan
menghancurkan parti kita, menghancurkan bangsa,
agama dan negara kita. Sebabnya ialah bagi tiap
seorang yang dibalas budi ada sepuluh, seratus
bahkan seribu yang tidak dapat apa-apa. Mereka ini
akan kecewa dan akan menolak parti apabila masanya
tiba untuk memilih wakil ke Dewan-dewan Undangan.
Apa gunanya menjadi pemimpin parti yang kalah?
73. Dan pemimpin-pemimpin yang korup tidak akan
berhenti setakat membalas budi orang yang menolong
mereka sahaja. Lambat-laun mereka akan menjual
pengaruh dan kuasa mereka untuk memperkayakan diri
sendiri. Akan ada agen mereka yang perlu dibayar.
Untuk mendapat kebenaran atau kelulusan, permohonan
akan sengaja dilambat-lambatkan sehingga disogok.
74. Pada mulanya sogokan dibuat secara tersembunyi.
Kakitangan Kerajaan yang lain yang sedar akan
kecurangan yang sedang berlaku akan mengugut supaya
mereka juga disogok. Akhirnya yang berkuasa dan
yang tidak berkuasa, tetapi tahu akan kecurangan
pihak yang berkuasa, akan turut terlibat dengan
rasuah. Oleh kerana semua terlibat masing-masing
tidak akan berasa malu lagi. Semua akan menerima
sogokan. Semua akan melindungi amalan rasuah.
Rasuah menjadi amalan terbuka. Dan budaya rasuah
ini mungkin akan menular ke seluruh masyarakat.
75. Jika ini berlaku, maka semua urusan Kerajaan
tidak akan berjalan dengan licin dan semua kos akan
meningkat. Tidak ada sesuatu yang akan dikecualikan
daripada rasuah. Lesen, AP, kelulusan, semuanya
memerlukan sogokan. Urusan dengan swasta, seperti
dengan bank, turut memerlukan bayaran tertentu untuk
mereka yang meluluskan.
76. Rasuah tidak ada hadnya. Semakin lama semakin
banyak yang dituntut oleh semakin ramai pihak.
Akhirnya pelabur akan lari, peluang kerja tidak
bertambah, bahkan merosot, kemiskinan merebak dan
ekonomi tidak dapat tumbuh. Segala-galanya akan
tertangguh dan lambat.
77. Negara yang menerima amalan rasuah sebagai satu
budaya tidak mungkin maju. Pemimpin UMNO yang
perasuah akan menjual dirinya kepada sesiapa yang
menawar lebih dan akan dibeli oleh orang tertentu.
Dasar-dasar Kerajaan, terutama yang berkaitan
kepentingan Melayu dan Bumiputera akan diketepikan.
Ingatlah bahawa kemampuan Melayu dan Bumiputera
menyogok tidak sekuat orang lain.
78. Jika ini berlaku pembangunan orang Melayu dan
Bumiputera tidak lagi dapat diusahakan. Mereka
daripada kalangan Bumiputera yang mendapat apa-apa
daripada Kerajaan akan terdiri daripada pengamal
rasuah yang tidak mungkin mempunyai kecekapan. Dan
mereka ini akan menjual segala yang mereka perolehi
dengan serta merta untuk kaya cepat. Mereka akan
membelanja habis secepat mungkin dengan harapan akan
mendapat peluang lagi.
79. Seluruh masyarakat Melayu dan Bumiputera lain
akan runtuh. Bangsa akan runtuh. Negara akan
kembali menjadi miskin, kucar-kacir dan tidak
stabil. Harapan bangsa Melayu dan Bumiputera lain
untuk menjadi bangsa yang maju akan hancur berkecai.
Orang asing akan ketawa, terutama mereka yang sudah
pun mendakwa berkali-kali bahawa orang Melayu
sebagai orang Islam tidak mungkin bangun menjadi
bangsa yang maju dan berjaya. Dan semuanya ini
kerana pemilihan calon yang korup untuk menerajui
parti UMNO.
80. Inilah `scenario' yang boleh berlaku jika
amalan rasuah yang bermula dengan rebutan jawatan
dalam parti yang tidak dibanteras.
81. Sementara itu apa akan jadi kepada UMNO? Hari
ini kita sudah lihat bagaimana kos pemilihan ahli
Majlis Tertinggi sudah meningkat. Ia bermula dengan
sebuah negeri menempatkan wakil ke Perhimpunan Agung
di hotel terkemuka. Kemudian negeri-negeri lain
terpaksa turut. Kemudian taraf hotel untuk
perwakilan terpaksa dinaikkan kepada lima bintang,
tidak boleh kurang daripada itu jika ingin mendapat
sokongan.
82. Semua belanja para perwakilan dan juga
pemerhati ditanggung kononnya oleh Perhubungan
Negeri. Dari mana datangnya wang yang begitu
banyak? Mungkin derma kepada parti. Tetapi
bolehkah wang parti digunakan untuk mempopularkan
orang tertentu?
83. Kemudian calon-calon mula menyogok wang dan
hadiah kepada para wakil. Perlumbaan diadakan
antara calon-calon dan sogokan meningkat nilainya.
Kini proses menyogok dimula lebih awal. Setahun
atau lebih sebelum pemilihan diadakan, sogokan
dimulakan. Bukan prestasi kerja atau kebolehan
seseorang itu yang dijadikan asas pemilihan. Yang
menentukan sokongan ialah nilai rasuah yang sanggup
dihulur.
84. Di peringkat ini, wakil pula mula menawar
sokongan kepada calon jika dihadiahkan sesuatu. Dan
calon terpaksa belanja lebih lagi. Yang mampu
kerana kejayaan Dasar Ekonomi Baru menghulur lebih
banyak kepada wakil. Tetapi undi itu sulit. Dan
wakil yang sama meminta pula sogokan daripada calon-
calon lain. Dan mewahlah si wakil kerana disogok
dengan wang oleh semua calon. Bukan sahaja
perjalanan wakil-wakil ke Kuala Lumpur dan sewa
bilik hotel lima bintang ditanggung, bahkan lawatan
ke luar negeri diatur atau dijanjikan. Mulanya
hanya melintas sempadan, tetapi hari ini rombongan
ke Eropah dan Amerika juga perlu dibiayai untuk
menjamin kesetiaan. Kerana wakil ke Perhimpunan
Agung mendapat banyak faedah maka pertandingan
memilih wakil menjadi sengit. Calon wakil ke
Perhimpunan Agung mula menyogok wakil-wakil ke
bahagian. Kemudian yang menang perlu berusaha untuk
mendapat balik modal. Mereka meminta sesuatu
daripada calon Majlis Tertinggi jika sokongan mereka
dikehendaki.
85. Dari mana datangnya semua wang ini? Sudah
tentu pendapatan biasa tidak mencukupi. Mungkin
penyokong lain yang kaya membantu. Tetapi apakah
bantuan ini percuma? Tidakkah ia juga merupakan
rasuah?
86. Akibat daripada semua ini ialah pemimpin yang
curang dan perasuah akan memimpin UMNO dan menjadi
pemimpin Kerajaan. Apakah dapat kita percaya kepada
pemimpin seperti ini? Apakah mereka tidak akan
menjual kita, ahli-ahli UMNO, orang Melayu,
Bumiputera dan juga negara? Apakah bezanya mereka
sebagai pemimpin UMNO dengan penagih dadah? Bila
sudah ketagih maruah diri dan maruah bangsa akan
dijual kepada sesiapa sahaja.
87. Memang sukar untuk kita menggambarkan sesuatu
yang belum berlaku. Tetapi percayalah apa yang saya
cuba gambarkan ini boleh berlaku. Sedikit sebanyak
ia sudah pun berlaku. Kuasa Kerajaan telah pun
digunakan untuk membeli sokongan.
88. Untuk memajukan sesuatu bangsa dan negara
tidaklah mudah. Ia memerlukan masa dan usaha yang
bersungguh-sungguh. Tetapi untuk menghancurkan
sesuatu bangsa dan negara amat mudah sekali. Dan
tidak ada cara yang lebih berkesan untuk
menghancurkan negara daripada memilih pemimpin yang
curang dan perasuah. Pemimpin, sama ada raja atau
presiden atau diktator, adalah orangnya yang telah
menghancurkan empayar-empayar yang gemilang dalam
sejarah manusia.
PROSES REFORMASI MELAYU BELUM SELESAI
89. Awal-awal lagi tadi saya telah tegaskan bahawa
UMNO bukan semata-mata parti politik, tetapi ianya
adalah satu Gerakan Reformasi, Gerakan Pembaharuan.
UMNO telah mempelopori pertumbuhan budaya baru bagi
orang Melayu, budaya yang telah mendatangkan
kemajuan yang banyak. Daripada satu bangsa yang
dijajah, kita sudah menjadi bangsa yang disanjung
tinggi dan dicontohi oleh bangsa-bangsa lain.
90. Tetapi proses Reformasi orang Melayu dan
Bumiputera lain belum selesai. Banyak lagi yang
perlu kita lakukan, banyak yang telah kita
kenalpasti dan kita rancang. Tetapi semua ini tidak
akan dapat dilaksanakan jika kita tidak mempunyai
pemimpin yang jujur dan ikhlas bukan untuk hari ini
sahaja tetapi untuk masa depan kita. Budaya yang
telah kita bentuk sekarang belum dapat menjamin
kualiti pemimpin-pemimpin kita. Budaya kita hari
ini belum mampu menegakkan Tamadun Melayu Baru.
91. Kita perlu kepada pengekalan kuasa UMNO dalam
Kerajaan untuk pembentukan budaya dan mendirikan
tamadun baru yang kita idamkan ini. Yang telah kita
lakukan hingga kini hanyalah memupuk budaya biasa
yang berasas kepada nilai-nilai biasa. Kita semua
tahu dan kenal nilai-nilai ini - nilai seperti
ketertiban, disiplin, rajin, jujur dan ikhlas, adil
dan lain-lain yang ditafsirkan sebagai nilai mulia
yang universal. Dan secara kasar kita telah cuba
mengamalkan nilai-nilai ini dengan sedikit sebanyak
kejayaan. Tetapi ia belum mencukupi.
92. Budaya, bahkan nilai-nilai yang dikatakan
universal sesuatu bangsa berbeza dengan bangsa-
bangsa yang lain kerana falsafah dan tafsiran
berkenaan butiran terperinci dalam nilai-nilai yang
mulia ini. Demikian ketertiban sesuatu bangsa
berbeza dengan ketertiban bangsa-bangsa lain. Ada
bangsa yang mengganggap menghormati orang tua, kaum
keluarga dan pemimpin adalah sebahagian daripada
ketertiban, tetapi ada yang menganggap semua ini
kolot dan tidak menjadikan budaya mereka lebih
tinggi. Dengan itu institusi kekeluargaan,
keagamaan, nikah kahwin kekal dalam satu bangsa
tetapi hancur dalam bangsa lain. Namun kedua-duanya
menganggap dan mendakwa mereka tertib dan
bertamadun.
93. Konsep kebersihan dan kecantikan juga berbeza
di antara satu budaya dan budaya yang lain. Bagi
satu, tidak kotor bermakna bersih, bagi yang lain
tidak mengotor baru dianggap bersih. Yang pertama
mengotor dan kemudian mengharap pihak tertentu akan
membersihkannya. Bagi yang satu lagi pembersihan
tidak perlu kerana pengotoran tidak dibuat.
Demikian juga dengan kecantikan. Apa yang dianggap
cantik bagi satu bangsa, dianggap tidak cantik bagi
bangsa-bangsa lain. Yang nyata ialah bersih dan
cantik mempunyai tafsiran yang berbeza-beza.
94. Ada bangsa yang cekap memasak makanan yang
lazat. Bangsa lain pula tidak hanya ingin makanan
yang lazat tetapi hidangan, hiasan, cara-cara
memakan juga perlu cantik dan tertib sebelum makanan
dianggap sempurna. Yang mana satukah yang akan
menjadi budaya kita, asas tamadun kita?
95. Seni sesetengah bangsa begitu halus tetapi seni
yang sama bagi bangsa lain amat kasar. Ada bangsa
yang mengutamakan kualiti dan ada bangsa yang
mengutamakan harga yang murah. Ada bangsa yang cuba
menghapuskan semua kecacatan hasil kerja mereka dan
mengejar kesempurnaan atau 'perfection'. Ada bangsa
yang tidak begitu mengambilkira sedikit kecacatan
dalam kerja mereka dan ada pula yang berpendapat
bahawa oleh kerana hanya Allah Subhanahu wa Ta'ala
sahaja yang bersih daripada segala kecacatan, maka
mereka tidak harus cuba mengelak daripada kecacatan
dalam hasil kerja mereka. Bahkan ada yang sengaja
mencacatkan kerja mereka untuk membuktikan Tuhan
sahaja yang tidak cacat. Sikap ini adalah satu
keangkuhan kerana walau bagaimanapun manusia
berusaha, hasil kerjanya tidak mungkin bersih
daripada kecacatan. Jika diperiksa dengan halus
sudah tentu kecacatan akan dikesan walau bagaimana
cekap sekalipun seseorang itu. Oleh itu tidak
perlulah kita sengaja mencacatkan hasil kerja kita.
Kita tidak mungkin bersih daripada kecacatan seperti
Tuhan. Namun jika kita mengejar kesempurnaan maka
kualiti hasil kerja kita menjadi lebih baik dan
berharga. Bangsa yang mengejar kesempurnaan tetap
lebih berjaya daripada bangsa yang tidak
mengutamakannya. Yang mana satukah yang kita akan
pilih untuk menjadi sebahagian daripada budaya kita?
96. Demikian juga dengan keadilan. Sepatutnya apa
yang dianggap adil dalam masyarakat manusia adalah
sama. Tetapi sebenarnya ia tidak sama. Apa yang
dianggap adil bagi satu masyarakat dianggap tidak
adil oleh masyarakat lain. Bahkan apa yang adil
bagi masyarakat pada satu zaman dianggap tidak adil
oleh masyarakat di zaman lain.
97. Dalam masyarakat manusia, jaya atau tidaknya
sesuatu masyarakat banyak bergantung kepada konsep
keadilan dan cara-cara pengadilan yang dipegang dan
diamalkan oleh masyarakat berkenaan.
98. Kesempurnaan keadilan Islam pun terdedah kepada
tafsiran yang berbeza-beza. Semua orang Islam
mendakwa mereka berpegang kepada keadilan Islam,
tetapi amalan mereka tidak sama. Ada yang gantung
musuh tanpa perbicaraan atas nama Islam. Sebaliknya
ada yang menuntut keadilan yang seadil-adilnya juga
atas nama Islam.
99. Kerana perbezaan-perbezaan yang disebut di sini
dan perbezaan-perbezaan lain maka tamadun yang
didiri dan pencapaiannya berbeza antara satu dengan
yang lain. Tamadun Islam terbentuk pada abad-abad
permulaan perkembangan Islam. Selepas itu tamadun
Islam merosot sehinggalah ia menjadi begitu daif di
zaman ini. Apakah konsep keadilan dalam Islam
sekarang tidak memainkan peranan dalam melemahkan
tamadun Islam?
100. Semua yang saya sebutkan ini dan banyak lagi
yang tidak dapat saya sebutkan adalah butiran halus
yang perlu dipertimbang dan dijadikan sebagai budaya
bangsa kita. Dengan memilih butiran-butiran halus
yang boleh menjadikan budaya kita budaya yang sesuai
dengan kemajuan dan kejayaan yang tinggi, maka
pencapaian kita juga akan istimewa. Dengan budaya
ini kita akan dapat membangunkan kesenian, keilmuan
dan kecekapan yang istimewa bagi kita. Pembangunan
mental dan fizikal, pencapaian dalam bidang ilmu,
seni, pembangunan ekonomi, sosial, politik dan
bentuk-bentuk bangunan serta kemajuan kejuruteraan -
semua ini akan mencerminkan tamadun
Melayu/Bumiputera baru, tamadun yang istimewa dan
dikaitkan dengan bangsa Melayu dan agama Islam juga.
101. Inilah Reformasi yang hendak diusahakan oleh
UMNO untuk menyusuli reformasi yang UMNO telah
jayakan sehingga kini. Sudah tentu banyak lagi yang
perlu dikaji, dihalusi, disemak dan dipupuk sebelum
budaya baru orang Melayu dan Bumiputera lain dapat
menjelma, sebelum terbentuk Tamadun
Melayu/Bumiputera dan Islam Abad ke-21 yang
diiktiraf dan disegani.
PEMIMPIN YANG DIPERLUKAN OLEH UMNO
102. Semua ini perlu diusahakan oleh UMNO. Tetapi
ia hanya boleh diusahakan jika kita mempunyai UMNO
yang dipimpin oleh pemimpin yang berkaliber,
berkualiti, bersih daripada rasuah dan kepentingan
diri. Pemimpin UMNO mesti terdiri daripada orang
yang komited kepada perjuangan Reformasi yang telah
diterokai, yang sanggup mengorbankan diri kerana
sayang kepada bangsa, agama dan negara. Pemimpin
UMNO mestilah terdiri daripada orang yang berkualiti
tinggi yang menerajui Kerajaan buat beberapa dekad
lagi, kerana pembentukan tamadun Melayu Baru akan
memerlukan masa yang panjang.
103. Kita mungkin berfikir tidak ada perbezaan di
antara satu pemimpin dengan pemimpin yang lain.
Yang mana juga yang kita pilih, tidak banyak
perubahan yang akan berlaku. Kemajuan tetap akan
tercapai walau siapa pun yang menjadi pemimpin.
Pendapat ini salah. Jangan kita fikir siapa sahaja
boleh mengalahkan Malayan Union, mencapai
kemerdekaan atau membangunkan rakyat desa. Di
negara-negara lain kerana pemimpin yang salah
dipilih, negara yang maju menjadi mundur. Dan
apabila yang sesuai dipilih, negara mundur menjadi
maju. Tidakkah pengalaman kita di Malaysia juga
demikian? Jika kena pilihan kita, kemajuan yang
tidak kita sangkakan boleh berlaku. Di kalangan
calon yang bertanding ada yang akan menjadi pilihan
kita yang kena pada tempatnya. Tetapi ada yang
hanya akan merosakkan masa depan kita. Jika mereka
ini yang dipilih maka sudah tentu kita tidak akan
dapat membangunkan budaya yang cemerlang dan
membentuk tamadun Melayu dan Islam yang kita
harapkan.
TOLAK PEMIMPIN RASUAH
104. Sebagai orang Melayu, sebagai Bumiputera,
sebagai pencinta bangsa, agama dan negara, saya
menyeru para perwakilan supaya menolak semua calon
yang telah menghulurkan rasuah dalam apa juga
bentuk, termasuk mereka yang berkempen setelah ia
dilarang. Tolak dan tumbangkan mereka sebelum mereka
menumbangkan parti kita yang tercinta ini, sebelum
mereka menggagalkan gerakan reformasi kita yang
bermatlamat mewujudkan Tamadun Melayu/Bumiputera
Baru. Tolak mereka semua. Jangan kira kawan atau
rakan. Kesetiaan kepada kawan yang tidak bermoral
akan menghancurkan perjuangan bangsa dan negara.
Sampaikan kepada mereka mesej yang jelas - UMNO
tidak mempunyai tempat bagi pemimpin yang rasuah.
105. Singkirkan mereka kerana bangsa, agama dan
negara, kerana masa depan kita. Tidak akan rugi,
tidak akan lemah parti kita jika mereka yang korup
tidak ada di kalangan pemimpin parti kita bahkan di
dalam parti kita. Sebaliknya kita akan menjadi
lebih kuat dan kita akan dapat menguruskan parti
kita, perjuangan kita dengan baik dan dengan
jayanya, insya-Allah.
106. Perjuangan bangsa kita belum selesai. Masih
banyak yang perlu diperjuangkan, diusahakan,
sebelum kita dapat menjadi bangsa yang maju yang
dihormati oleh dunia. Kita mempunyai bakat. Kita
mempunyai kebolehan. Dan kita boleh, insya-Allah.
107. Tanda-tanda sudah ada yang menunjukkan
kemampuan kita untuk mencapai matlamat yang
ditujukan. Jangan gadai masa depan kita. Jangan
gadai budaya dan tamadun baru yang akan kita bentuk,
hanya kerana sedikit keuntungan di hari ini.
108. Saya sedih kerana terpaksa mendedahkan pekong
di dada sendiri dan membuat rayuan ini. Tetapi saya
percaya benar-benar akan malapetaka yang akan
menimpa kita jika kita tidak menolak mereka yang
menyogok kita.
109. Sayanglah Parti, sayanglah bangsa, sayanglah
agama dan sayanglah negara. Saya berdoa semua yang
akan mengundi pada hari ini mengundi dengan hati
yang bersih dengan mengingati Allah Subhanahu wa
Ta'ala. Insya-Allah dengan berbuat demikian akan
terpeliharalah kita, akan terselamatlah perjuangan
kita untuk bangsa, agama dan negara, untuk
menegakkan tamadun Melayu dan Islam Abad ke-21. Dan
akan tertebuslah maruah bangsa.