Selasa, 1 Mei 2018

Taiping Bakal Mendapat Kemudahan UTC



TAIPING 30 April – Calon muka baharu Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Taiping, Tan Keng Liang berikrar untuk membawa perubahan kepada pembangunan Taiping selepas 10 tahun ber­ada di bawah pembangkang, jika diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Keng Liang, 41, seorang peguam dan merupakan Ketua Pemuda Gerakan, mahu pembawa pembinaan Pusat Transformasi Bandar (UTC) ke bandar ini selain menyelesaikan masalah banjir yang melanda sekitar Kamunting dan Taiping dengan peruntukan Ahli Parlimen yang bakal diperoleh.

“Pembinaan UTC Taiping adalah antara impian saya bagi Parlimen Taiping yang mempunyai lebih 90,000 pengundi.

“Selain dapat memudahkan penduduk setempat untuk me­mohon pasport atau sijil lahir di luar waktu pejabat, orang ramai juga tidak perlu memohon cuti daripada majikan semata-mata untuk berurusan dengan agensi kerajaan,” katanya di sini hari ini.

Keng Liang yang mempunyai manifesto khusus untuk Parlimen Taiping, an­tara lain berhasrat membangunkan bandar warisan ini sebagai hab pengajian tinggi di utara tanah air bagi me­rangsang pertumbuhan ekonomi selain kewujudan kawasan perindustrian sedia ada di Kamunting.

Dalam pada itu, Keng Liang berkata, selain membantu mangsa ribut, beliau juga berazam untuk menyelesaikan masalah banjir di kawasan Kamunting dan Taiping.

Katanya, sejak tiga tahun berkhidmat di sini, beliau sentiasa melawat mangsa banjir di Kamunting bersama-sama Ke­tua UMNO Bahagian Taiping, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kamunting, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid.

“Sebelum ini, kerajaan BN telah melaksanakan projek longkang besar yang meliputi sekitar kawasan Kampung Expo untuk membantu mengurangkan masalah banjir apabila hujan turun terlalu lebat.

“Selain Kampung Expo, Kampung Sungai Relong, Kampung Baru dan kawasan lain di Kamunting, saya juga akan memohon suatu peruntukan khas dari kerajaan Pusat untuk menyelesaikan masalah banjir di seluruh Parlimen Taiping termasuk di DUN Aulong dan Pokok Assam,” katanya.