Amaran LPKP diperlekeh
KUALA LUMPUR - Amaran Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) untuk membatalkan permit mana-mana pengusaha bas ekspres yang didapati menaikkan kadar tambang kini bagai diperlekehkan segelintir pengusaha berkenaan.
Ini kerana, masih banyak di kalangan pengusaha bas ekspres khususnya di Hentian Puduraya yang menaikkan harga tiket sewenang-wenangnya dengan alasan menampung kenaikan harga diesel.
Malah, rata-rata pembeli tiket yang ditemui memberitahu, penjual tiket juga telah mengambil kesempatan daripada cuti umum semalam untuk menaikkan harga tiket sehingga membebankan orang ramai.
Tinjauan semalam mendapati, harga tiket dari ibu negara ke Alor Setar naik kepada RM35, kenaikan sebanyak RM5 berbanding harga biasa.
Manakala harga tiket dari ibu negara ke Kuantan pula melonjak naik sehingga RM7, menjadikan harga tiket untuk ke destinasi itu mencecah sehingga RM25 berbanding RM18 sebelum ini.
Lebih memeranjatkan, seorang pembeli tiket, Zarina Husin, 29, memberitahu, rakannya telah terbeli tiket berharga RM30 dari ibu negara ke Ipoh sedangkan harga sebenar untuk ke destinasi itu hanya antara RM15 hingga RM17 sahaja.
"Hari ini (semalam) pula, bila saya beli tiket ke Alor Setar naik sebanyak RM3, menjadikan harga tiket kepada RM33 berbanding RM30 sebelum ini.
"Letih la macam ni, minyak naik harga, tiket bas pun ikut naik harga. Tapi nak buat macam mana sebab saya memang nak balik kampung, terpaksa la beli juga," katanya.
Akhbar semalam telah melaporkan tentang kenaikan harga tiket bas ekspres di seluruh negara yang mencecah antara RM5 hingga RM10 ekoran kenaikan harga petrol dan diesel sejak empat hari lalu.
LPKP tiada kuasa
KUALA LUMPUR 7 Jun - Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) tidak mempunyai kuasa untuk mengawal atau menghalang persatuan kenderaan komersial seperti pengusaha lori yang mahu menaikkan harga perkhidmatan mereka.
Pengerusi LPKP, Datuk Markiman Kobiran berkata, lembaga tersebut hanya mengawal pengeluaran lesen kenderaan perdagangan.
''Harga tertakluk pada persatuan atau syarikat yang menjalankan perniagaan tersebut dan ia dilakukan atas dasar perniagaan,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, kenaikan harga perkhidmatan lori tersebut menyebabkan pengguna terpaksa menanggung beban yang lebih tinggi apabila ingin menggunakan perkhidmatan kenderaan komersial itu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Persatuan Pengusaha Pengangkutan Lori Wilayah Utara (PPPLWU) yang menaikkan kadar sewa lori kargo am sebanyak 50 peratus bagi menampung kos operasi.
Persatuan itu turut menaikkan harga perkhidmatan lori kontena mengangkut barang bagi jarak jauh sebanyak 40 peratus.
Ditanya mengenai cara untuk mengawal kenaikan perkhidmatan kenderaan pengangkutan komersial, Markiman memberitahu, ia bergantung kepada pengguna perkhidmatan tersebut.
''Pengguna mempunyai pilihan untuk memilih perkhidmatan mengikut harga yang menepati bajet mereka. Pengguna mempunyai kuasa untuk membuat kawalan,'' ujarnya.