Khamis, 24 Ogos 2017

Enggan Tandatangan IKRAR BEBAS RASUAH , Rupanya Ada Buat Salah





“Patutlah enggan tandatangan Ikrar Bebas Rasuah (IBR), rupanya ada buat salah,” ujar Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Johan Abdul Aziz.

Beliau berkata demikian mengulas kontroversi rasuah yang melibatkan Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) berkaitan skandal Universiti Selangor (UNISEL) dan Jana Niaga.

“Saya tidak menuduh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali terlibat dengan rasuah tetapi dia perlu jelaskan kepada seluruh rakyat negeri Selangor berkaitan isu UNISEL ini.

“Jika benar tidak ada apa yang mahu disorokkan maka dia bertanggungjawab memberi penjelasan dan jelaskan juga mengapa enggan menandatangani IBR, bukannya suruh angkat sumpah, hanya turunkan tandatangan.

“Atau mungkin kerana sudah mengghidu ‘something wrong somewhere’ maka dia tidak berani memberi komitmen dengan turunkan tandatangan IBR,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Tambah Johan, sebagai anak jati Selangor, perkara ini amat memalukan kerana UNISEL adalah sebuah universiti ternama malah ketika di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN), tidak pernah ada masalah sebegini yang menimpa UNISEL.

“Jika perkara sebegini menimpa kerajaan pusat, sudah pasti mereka akan terus mendesak dan menekan agar diberi penjelasan, lihat sahaja berkaitan isu 1MDB… walaupun telah diberi penjelasan berjuta kali namun isu ini terus dimainkan seakan-akan kerajaan pusat langsung tidak memberi kerjsama atau memberi penjelasan.

“Tetapi bila hal yang sama menimpa mereka, mereka akan diam diri atau pusing cerita. Sekarang kita desak mereka untuk terangkan hal sebenar.

“Bukan kita tuduh mereka bersalah tetapi kita minta mereka terangkan keadaan sebenar agar rakyat faham. Tidak perlu berasa takut sekiranya tidak melakukan kesalahan. Berani kerana benar, takut kerana salah,” tegas Johan.

Skandal UNISEL mula terbongkar apabila MBI dikatakan telah membayar RM16 juta dan menyambung kontrak Jana Niaga untuk menyelenggara bangunan dan asrama Kampus UNISEL di Bestari Jaya.

Di bawah pentadbiran bekas Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim, Jana Niaga telah ditamatkan kontrak kerana gagal mematuhi perjanjian. Syarikat itu kalah di mahkamah dan rayuan juga ditolak.

Tindakan Azmin dan MBI membayar RM16 juta kepada Jana Niaga dan menyambung semula kontrak menjadi kontroversi kerana dibantah Naib Canselor UNISEL, Prof Redzuan Othman. – MediaUMNO