Khamis, 31 Ogos 2017

KEMELUT PKR DIJANGKA BERPANJANGAN


(KOMENTAR BERITA HARIAN, 31 OGOS 2017)

Kemelut yang berlaku dalam PKR sejak mutakhir ini memperlihatkan kelemahan dan perpecahan hebat parti yang cuba memposisikan diri sebagai peneraju Pakatan Harapan (PH). Kemelut ini bermula dari isu lantikan politik PKR di Kelantan  yang diarah meletakkan jawatan serta-merta dari pentadbiran Kerajaan Kelantan oleh Biro Politik PKR.

Arahan Biro Politik PKR ini, yang dilanjutkan beberapa kali, bagaimana pun tidak dipatuhi oleh hampir semua lantikan politik terbabit menyebabkan ia terpaksa ditarik balik. Kegagalan pimpinan PKR Kelantan bertindak tegas dalam isu lantikan politik ini menyebabkan ia dilihat condong kepada PAS dan memarahkan akar umbinya.

Ekoran itu, timbul desakan supaya Pengerusi PKR Kelantan, Abdul Aziz Kadir, dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan, Dr Hafidz Rizal Amran, meletakkan jawatan. Di peringkat Pusat pula, kenyataan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali, mengenai usaha beliau untuk bekerjasama dengan PAS ditentang sebahagian pemimpin PKR.

Kemuncaknya apabila Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, mengeluarkan kenyataan meminta diadakan satu Kongres Nasional Khas bagi memutuskan keperluan berunding dengan PAS. Di dalam kenyataan tersebut, Rafizi mengeluarkan satu senarai panjang nama pemimpin PKR yang bersetuju (Team A) dan yang tidak bersetuju untuk berunding dengan PAS (Team B).

Menurut Rafizi, Team A diketuai oleh Azmin dan dianggotai oleh empat Naib Presiden PKR, iaitu Tian Chua, Shamsul Iskandar, Xavier Jeyakumar dan Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, dan Ketua Wanita, Zuraida Kamaruddin. Turut menganggotai Team A ialah Sivarasa Rasiah, Datuk Saifuddin Abdullah, Datuk Kamaruddin Jaafar, Fahmi Fadzil, Surendran Nadarajan, Elizabeth Wong, Hee Loy Sian, Siti Aishah Shaik Ismail, Dr Mohammad Nur Manuty, Latheefa Koya, Afif Bahardin dan Haniza Talha.

Team B pula dianggotai oleh Rafizi selain oleh Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution, Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad, Bendahari Agung, Datin Paduka Tan Yew Kew, Ketua Penerangan, Syed Ibrahim Syed Noh, Ketua Whip, Datuk Johari Abdul, Pengarah Strategi, Sim Tze Tzin dan Ketua Setiausaha Pengelola, Fariz Musa. 

Turut menganggotai Team B ialah William Leong, Brig Jen (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khattab, Christina Liew, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, Wong Chen, Rodziah Ismail, Fuziah Salleh, Manivannan Gowindasamy, Gooi Hsiao Loong, Azan Ismail, Dr Idris Ahmad, Dr Azman Ismail, Hassan Karim dan Aminuddin Haron.

Menyusuli kenyataan Rafizi ini ialah kenyataan beberapa Ketua Cabang PKR bahawa mereka sedang mengusahakan sokongan dari Cabang PKR seluruh negara bagi mendesak Kongres Nasional Khas diadakan. Semua ini menunjukkan bahawa PKR sedang menuju ke arah perpecahan dalaman teruk yang melampaui isu keperluan untuk bekerjasama dengan PAS dalam PRU 14 sahaja. Ditambah pula dengan insiden berbalas-balas serangan antara kedua-dua belah pihak yang sekadar menyerlahkan lagi kelemahan PKR sebagai sebuah organisasi.

Antaranya ialah tindakan Ketua AMK, Nik Nazmi, dari Team B, memecat Ketua AMK Kelantan, Dr Hafidz Rizal, dari Team A, melalui applikasi WhatsApp. Sebagai tindak balas, Dr Hafidz Rizal mendedahkan bahawa Majlis Pimpinan Pusat AMK yang diketuai oleh Nik Nazmi sudah lebih lima bulan tidak bermesyuarat. Timbalan Ketua AMK, Dr Afif Bahardin, dari Team A, pula mendedahkan bahawa Majlis Pimpinan Pusat PKR sudah lebih tiga bulan tidak bermesyuarat. Turut didedahkan ialah Rafizi sudah sekian lama tidak menghadiri mesyuarat Biro Politik PKR dan rekod sangat buruk Azmin dalam mesyuarat pimpinan PH.

Bahawa mesyuarat sudah lama tidak diadakan, dan bahawa pemimpin kerap tidak menghadiri mesyuarat, menimbulkan tanda tanya mengenai cara PKR ditadbir urus. Bagaimana agaknya PKR boleh memberi keyakinan kepada rakyat mengenai kemampuannya mentadbir negara jika urusan asas kepartian gagal dikendali dengan baik?

Begitu juga dengan perpecahan dalaman teruk yang sedang berlaku dalam PKR yang menyebabkan kemampuan PKR menguruskan perbezaan sangat diragui. Adalah diyakini bahawa perpecahan dalaman ini tidak akan berakhir walaupun Majlis Presiden PH telah memutuskan ia tidak akan bekerjasama dengan PAS.

Keputusan untuk berunding dengan PAS ini dibuat oleh Biro Politik PKR dan dipersetujui oleh Ketua Umum PKR merangkap Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bagaimana mungkin Majlis Presiden PH, yang tidak dihadiri oleh Azmin, boleh membuat satu keputusan yang jelas bercanggah dengan pendirian Ketua Umumnya sendiri?

Adalah diyakini bahawa isu kerjasama dengan PAS ini akan terus hidup kerana, seperti didedahkan oleh Rafizi sendiri, cadangan ini mempunyai ramai penyokong. Malah, ramai pemimpin PKR yang menyebut secara terbuka bahawa pertandingan tiga penjuru akan menyebabkan PKR kehilangan kuasa di Selangor.

Soalnya ialah apakah pemimpin PKR, khasnya yang menjawat jawatan sebagai Menteri Besar, Ahli EXCO dan ADUN, sanggup kehilangan kuasa di negeri itu?