Rabu, 23 Julai 2008

RELAKS SEKEJAP, MALI MAKAN MEE UDANG



Mi udang Nurzeety memang enak

TAIPING 22 Julai - Apabila berkunjung ke Changkat Jering dan Bandar Bersejarah Taiping tidak lengkap rasanya jika tidak singgah di Restoran Mee Udang Nurzeety di Jalan Trong-Changkat Jering di sini bagi menikmati keenakan sajian itu.

Restoran yang terletak hanya kira-kira 50 meter dari Tol Changkat Jering itu bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk setempat, malah sering menjadi 'buruan' di kalangan peminat makanan laut khasnya udang laut bersaiz XL.

Pengasas Mee Udang Nurzeety, Abdul Majid Harun (gambar), 58, berkata, restoran berkenaan telah diusahakan sejak sembilan tahun lalu dengan modal permulaan kira-kira RM3,000 hasil simpanan daripada gaji ketika bekerja dengan Syarikat Telekom Malaysia (Telekom).

''Pada tahun 2000, kedai yang saya sewa telah terbakar dan berpindah ke sini. Pada mulanya memang orang ramai tidak tahu tetapi sekarang tidak lagi kerana mi udang saya sangat laris dan menjadi kegemaran ramai.

''Selepas hampir setahun bertahan, saya bersyukur kerana perniagaan mi udang itu semakin mendapat perhatian pelanggan termasuk pelanggan dari luar daerah ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Abdul Majid berkata, mi udang yang dijual di restoran berkenaan berbeza dengan tempat lain berikutan ketelitian dalam menentukan kualiti udang yang dicampurkan ke dalam masakan.

Menurutnya, bagi memastikan pelanggan berpuas hati dengan menu masakan yang disediakan itu, dia hanya menggunakan udang laut segar serta hanya bersaiz 'XL'.

Katanya, bagi memastikan menu istimewa itu terus kekal disukai ramai, dia memerlukan antara 30 hingga 60 kilogram udang segar setiap hari bagi menampung permintaan pelanggan.

''Harga udang segar di pasaran adalah antara RM24 hingga RM30 sekilogram tetapi saya tidak kisah asalkan pelanggan puas hati.

''Udang berkenaan diperoleh daripada pihak pembekal di Kuala Sepetang yang cukup terkenal sebagai salah sebuah pusat pendaratan udang laut segar di Perak," katanya.

Kata Abdul Majid, bagi memastikan aspek kebersihan dan kualiti udang terus terjamin, dia akan mengambil sendiri bekalan udang daripada pihak pembekal.

Apa yang menarik, restoran Abdul Majid turut mempunyai keistimewaan tersendiri kerana ia dikelilingi puluhan pokok manggis berusia lebih 50 tahun.

Katanya, pokok-pokok manggis itu memang sengaja dikekalkan bagi mewujudkan kelainan suasana di samping memberi peluang kepada pengunjung khasnya dari bandar besar yang tidak pernah melihat pokok buah-buahan itu.

Menurutnya, restoran berkenaan kini diserahkan kepada anak perempuannya iaitu Nur Laidatul Fadilah, 26, dengan dibantu suami, Shaipul Anwar Asri, 38.

''Selain daripada mi udang, restoran ini turut menyediakan pelbagai menu lain seperti puyuh goreng, mi hailam, mi goreng udang, mi lakna, nasi goreng udang, sate dan yong tau fu.

''Saya namakan Mee Udang Nurzeety sempena nama anak kelapan, saya rasa nama itu amat sesuai," katanya sambil menambah restoran itu dibuka setiap hari mulai pukul 10 pagi hingga 12 malam kecuali hari Isnin minggu kedua dan ketiga.

Orang ramai yang ingin mencuba Mee Udang Nurzeety boleh membuat tempahan dengan menghubungi Abdul Majid (013-5152678) atau Halimah (012-5731985).