Sabtu, 6 Jun 2009

TAPI AKU MASIH LAGI TERMANGU

Oleh Datuk Haji Mohd. Nakhaie Haji Ahmad

Â

Lima puluh musim berlalu

Sedar-sedar kita telah dewasa

Telah punya tanah sendiri yang kita miliki

Tiada lagi tergadai di tangan orang

Â

Di atas tanah bertuah peninggalan nenek moyang

Kita bangunkan pencakar langit menjulang awan

Lebuhraya memendek perjalanan

Keseluruh penjuru tanah pusaka

Â

Kita bangunkan Putrajaya

Dan puluhan kotaraya

Anak-anak ke menara gading tanpa lagi merentas benua

Â

Â

Sinar ilmu menerangi perjalanan

Dan suara lantang kita

Bergema di alam buana

Â

Lalu kita bangga menjadi anak Malaysia

Â

Di mana-mana orang memuji nama Malaysia

Idola dunia ketiga

Dunia Islam menjulang harapan

Setinggi awan menanti kebangkitan kita

Malaysia gah di serata dunia

Â

Tetapi sesuatu berlaku tanpa terduga

Menara moral tersungkur

Dirempuh taufan durjana

Lebuhraya budaya terbelah diranap gempa

Musyawarah hanya pada nama

Menjadi permainan orang kaya

Digelanggang politik wang dan sogokan yang teruja

Suara rakyat yang menentu masa hadapan tanah pusaka

Diniaga di meja snooker

Â

Lima musim berlalu

Aku berpijak di tanah pusaka

Yang kaya harta, yang memiliki segala

Tapi aku masih termangu.

Â

Â

SEBIJI MUTIARA

Oleh: Datuk Haji Mohd. Nakhaie Haji Ahmad

Â

Sebiji mutiara bernama perlembagaan

Ditatah intan berlian, dipapah para pahlawan

Terukir pada mahkota raja

Lambang kedaulatan bangsa

Â

Tersurat pada tulisan

Bahawa Islam mercu tanda Negara

Tersirat pada pengertian

Bahawa bahasa jiwa bangsa

Terlukis pada harapan

Melayu akan bangkit semula

Â

Hasil jerih pejuang bangsa

Dan pahlawan gugur dipersada

Kita ukir kebahagiaan di wajah duka

Kita bina mahligai dikota raya

Kita gelak ketawa

Berhibur sehingga leka

Â

Mutiara negara sedang dirungkai

Dan agama-agama menjadi rata

Tiada beza semuanya sama belaka

Dan hanya jalan-jalan lain ke syurga

Â

Kita tiada lagi punya bahasa

Kita tiada lagi mampu mengungkap kata

Bahawa Melayu tak kan hilang di dunia

Â

Kerana yang menentukan bukan kita

Bukan lagi akal bicara bijaksana

Tetapi harta

Â

Mutiara lambang kedaulatan bangsa

Sedang dirobek-robek wataknya

Sehingga Melayu menjadi kerdil

Di bumi pusaka

Yang bukan lagi hanya milik kita