Lebih 5,000 rakyat pelbagai kaum hadir memeriahkan sambutan rumah terbuka sempena Tahun Baru Cina yang dianjurkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di sini hari ini.
Sambutan tersebut adalah yang julung-julung kali diadakan oleh seorang Menteri Besar bagi bersama-sama meraikan perayaan kaum lain.
Majlis yang bermula pada pukul 1 tengah hari itu turut dimeriahkan dengan kehadiran tidak disangka-sangka `gadis Bond', Datuk Michelle Yeoh dan pasangannya, Datuk Seri Jean Todt.
Majlis yang bermula pada pukul 1 tengah hari itu turut dimeriahkan dengan kehadiran tidak disangka-sangka `gadis Bond', Datuk Michelle Yeoh dan pasangannya, Datuk Seri Jean Todt.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk R. Ganesan; Ketua Pemuda MCA Perak, Datuk Dr. Mah Hang Soon, barisan Exco kerajaan negeri, pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ketua-ketua jabatan kerajaan.
Bercakap kepada pemberita pada majlis tersebut, Zambry melahirkan rasa puas dan gembira beliau dengan kehadiran begitu ramai orang pada majlis rumah terbuka yang diadakannya.
Bercakap kepada pemberita pada majlis tersebut, Zambry melahirkan rasa puas dan gembira beliau dengan kehadiran begitu ramai orang pada majlis rumah terbuka yang diadakannya.
Beliau berkata, idea untuk mengadakan rumah terbuka itu dicetuskannya sendiri yang kemudian mendapat sambutan baik daripada rakan-rakan dalam kerajaan negeri dan parti komponen BN.
"Melihat kepada jumlah kehadiran tidak disangka-sangka ini dan apatah lagi majlis ini dirancang dalam masa singkat, kehadiran begitu ramai orang sangat penting kepada Perak.
"Ini menandakan masyarakat kita (Perak) dapat hidup aman makmur dan masing-masing memberikan perhatian ke arah penyatuan. Mereka kelihatan begitu gembira sekali pada majlis ini,'' katanya.
Pada majlis tersebut, Dr Zambry dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli turut memberi `ang pau' kepada kanak-kanak yang hadir.
Kedua-duanya juga melayan mesra karenah orang ramai yang mahu bergambar kenang-kenangan bersama mereka pada majlis tersebut.
Terdahulu, Dr Zambry menghadiri majlis Jamuan Mesra Sempena Tahun Baru Cina 2010 anjuran MCA Perak di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Yuk Choy di sini.
Majlis yang berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari itu turut dihadiri Pengerusi MCA negeri, Datuk Seri Kong Cho Ha yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Timbalan Menteri Luar, Datuk Lee Chee Leong.
Dalam ucapannya, Cho Ha meminta rakyat memberi kerjasama kepada kerajaan negeri untuk menjayakan perancangan yang dibuat pada tahun ini dalam usaha menjadikan Perak antara negeri termaju.
"Tahun ini adalah tahun harimau dan saya harap semua rakyat akan bersama dengan kerajaan negeri untuk membangunkan Perak,'' katanya.