IPOH: Pakatan Rakyat memohon supaya Sultan Perak, Sultan Azlan Shah  tidak memperkenan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan diadakan  pada 30 Mac ini. 
Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, berkata jika Sultan  Azlan memberi perkenan, bermakna institusi istana negeri itu mengiktiraf  Datuk R Ganesan sebagai Speaker sedangkan beliau dipilih secara tidak  sah. 
Ngeh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sitiawan  mendakwa, Ganesan dilantik sebagai 'Speaker' dalam Sidang DUN pada 7 Mei  lalu ketika Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah belum merasmikan  sidang.
Katanya, Ganesan dilantik oleh Adun Barisan Nasional (BN) ketika  sesi pagi yang belum bermula sedangkan Raja Dr Nazrin merasmikan Sidang  DUN kira-kira 3 petang. 
"Jika Sultan Perak mengiktiraf Ganesan, kepercayaan rakyat  terhadap institusi beraja akan merosot. 
"BN juga sudah memulakan tradisi bahawa perasmian Sidang DUN  oleh Sultan atau Raja Muda tidak diperlukan kerana Speaker boleh  dilantik sebelum sesi bermula," katanya dalam sidang akhbar di sini hari  ini. 
                                  Ngeh yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP berkata, sesi  pagi yang dipengerusikan oleh Adun Jelapang, Hee Yit Foong (Bebas)  ketika proses pelantikan Ganesan juga dipertikai kesahan sidang itu  kerana Hee tidak dibenarkan memasuki Sidang DUN kerana sudah meletak  jawatan sebagai wakil rakyat. 
Hee, bekas wakil rakyat DAP dan dua lagi Adun Bebas tidak  dibenarkan memasuki Sidang DUN ketika itu kerana Sivakumar mendakwa  mereka sudah meletak jawatan berikutan tindakan ketiga-tiganya keluar  parti masing-masing. 
Dua lagi wakil rakyat Bebas berkenaan ialah Adun Behrang,  Jamaludin Mohd Radhi dan Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu. 
Mereka keluar parti masing-masing dan mengisytiharkan sebagai  Adun Bebas yang membolehkan BN menubuhkan kerajaan Perak pada 6 Februari  tahun lalu.