Isnin, 22 Mac 2010

Sikap penduduk kampung nelayan suka buang sampah dikesali










T. Murugiah mendengar taklimat mengenai masalah sampah-sarap yang terdapat di sekeliling kediaman penduduk di Kampung Nelayan Kuala Sepetang, Taiping, semalam.






TAIPING 21 Mac - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah berasa amat kesal dengan sikap segelintir penduduk perkampungan nelayan Kuala Sepetang dekat sini yang membuang sampah merata-rata sehingga sistem perparitan kampung itu tersumbat.
Beliau berkata, masalah itu tidak akan berlaku sekiranya penduduk sendiri mengambil inisiatif untuk menjaga dan lebih peka terhadap kebersihan kawasan kediaman mereka.
''Ini merupakan tempat peninggalan sejarah negara, landasan kereta api pertama dari Aulong ke Kuala Sepetang dan kawasan penanaman kayu bakau terbesar juga di sini.
''Sebagai rakyat Malaysia, saya rasa malu kalau orang asing datang dan laporkan tempat kita tak bersih sedangkan negara kita bersih," katanya kepada pemberita selepas melihat masalah sistem perparitan tersumbat di Kampung Nelayan, Kuala Sepetang dekat sini hari ini.
Menurut Murugiah, dalam hal ini, kerajaan tidak boleh dipersalahkan kerana sistem perparitan itu dibina oleh penduduk sendiri dan mereka juga yang membuang sampah di merata-rata tempat.
''Majlis Perbandaran Taiping (MPT) boleh datang kutip sampah yang dilonggokkan di satu tempat tetapi macam mana hendak harapkan MPT kalau sampah dibuang di merata-rata tempat.
''Dalam masa dua minggu dari sekarang, saya sendiri akan turun bersama semua agensi kerajaan dan Rukun Tetangga di sini bergotong-royong bersihkan kawasan dan sistem perparitan di sini," katanya.
Beliau berkata, rakyat Malaysia perlu menjaga kebersihan sama seperti semasa mereka berada di Singapura.
''Apabila berada di Singapura, kita boleh jaga diri untuk tidak membuang sampah tetapi apabila masuk sahaja ke Malaysia, kita buang sampah. Kita perlu kekalkan disiplin yang sama," katanya.
Dalam pada itu, Murugiah memberitahu, beliau akan berbincang dengan kerajaan negeri mengenai permintaan penduduk nelayan di Kuala Sepetang yang mahu penempatan lebih sistematik dibangunkan.
Kawasan perkampungan tersebut dibina di atas tanah rizab kereta api dan kerajaan negeri masih berunding dengan Perbadanan Aset Keretapi (PAK) bagi penyelesaian pampasan pengambilalihan tanah.