Polis bertindak merampas lagi buku-buku kartun yang diterbitkan oleh Gedung Kartun yang dimiliki oleh Kartunis Zunar atau nama sebenarnya, Zulkifli Anwar Ulhaque dan rakan-rakannya.Kali ini, Polis Jasin merampas buku dan majalah kartun itu di Asahan, Melaka.
Menurut Zunar dalam kenyataannya, pada 20 Mac lepas, ASP Woon Chai Choi serta tiga anggota dari IPD Jasin Melaka bertindak merampas majalah-majalah kartun keluaran beliau dari seorang pengedar di Asahan.
Mereka pada mulanya merampas berpuluh-puluh majalah Gedung Kartun, Perak Darul Kartun, Isu Dalam Kartun dan 1Funny Malaysia, tetapi selepas bantahan dari beliau melalui telefon, barulah jumlahnya dikurangkan kepada satu naskah setiap judul.
Dalam perbualan melalui telefon dengan beliau, ASP Woon menyatakan sebab rampasan ialah untuk menyiasat. Tetapi melalui surat rampasan yang diberi (dilampirkan) tidak dinyatakan sebab-sebab rampasan dan di bawah akta apakah rampasan dibuat.
Februari lepas, sepasukan polis yang diketuai Chief Inspektor Mohd Noor Azlan Bin Mansor telah membuat serbuan di sebuah kedai di Carrefour Seberang Jaya, Pulau Pinang dan merampas empat naskah majalah Isu Dalam Kartun.
Serbuan yang sama juga dibuat di Butterworth dengan 15 naskah rampasan, Taman Bertam, pekan Kepala Batas, Kampung Belah Dua, Permatang Pauh serta beberapa kawasan lagi.
Ogos tahun lepas, pegawai-pegawai KDN merampas 408 naskah sulung majalah Gedung Kartun di pejabat saya di Brickfields, Kuala Lumpur Pegawai-pegawai KDN juga merampas plat percetakan dari kilang percetakan majalah tersebut.
Dalam kenyataan medianya, Zunar menyifatkan tindakan pihak berkuasa ini sebagai 'rampasan sesuka hati' dan membelakangkan kedaulatan undang-undang.
"Saya mengulangi bahawa tindakan pihak berkuasa bermotif politik untuk menyekat pandangan alternatif dan suara-suara yang mengkritik. Ia juga adalah satu bentuk ancaman kepada saya dan kartunis-kartunis saya," katanya.
Beliau juga menyifatkan tindakan ini menjadikan kebebasan akhbar di bawah pemerintahan Najib Tun Razak mengundur beratus tapak ke belakang dan sekarang tidak lebih dari 'satu cerita kartun' dan bahan ketawa masyarakat dunia.
"Saya menggesa agar semua buku saya yang dirampas dipulangkan. Saya juga sedang berbincang dengan peguam untuk mengkaji apakah tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pihak berkuasa berhubung tindakan ini," katanya lagi.