Ahad, 4 April 2010

NGEH PANAS PUNGGUNG

IPOH 3 April - Polis akan mengambil tindakan terhadap Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham jika siasatan mendapati dakwaannya yang menggambarkan seolah-olah pasukan tersebut akan menembak sesiapa tidak disukainya pada 30 Mac lalu, adalah benar.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, buat masa ini, siasatan masih dijalankan termasuk merakam percakapan beberapa wartawan yang hadir pada sidang akhbar ketika Koo Ham membuat dakwaan itu.

"Siasatan masih diteruskan dan beliau (Koo Ham) akan dipanggil apabila tiba masanya. Ketika ini, kita merakam percakapan saksi-saksi bebas termasuk para wartawan," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Koo Ham dalam sidang akhbar Selasa lalu mendakwa ramai anggota serta pegawai polis hadir di Bangunan Perak Darul Ridzuan semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berlangsung.

Beliau dipetik sebagai berkata: "Saya takut jika ada perbahasan dan ada mana-mana polis tidak suka kita, mereka akan tembak mati. Ini boleh berlaku kerana mungkin ada polis tidak suka dengan kita".

Malah dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini semalam, Koo Ham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sitiawan menegaskan, beliau tidak gentar disiasat polis berhubung kenyataannya yang dibuat selepas sidang DUN itu.

Dzuraidi berkata, beliau tidak menolak kemungkinan akan turut memanggil ADUN yang hadir pada sidang akhbar tersebut untuk membantu siasatan.

"Sebaik sahaja siasatan yang dijalankan ini lengkap, baru kita akan rujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk mengambil tindakan selanjutnya," katanya.