Selasa, 15 Jun 2010

Undilah PAS : MENENTANG KEZALIMAN & MENEGAKKAN KEADILAN


Johor memang terkenal dengan jolokan kubu kuat UMNO. Di sinilah tanah
tumpah pengasas ulung UMNO iaitu Datok Onn Jaafar. UMNO dengan orang
Johor memang telah sebati yang tak mungkin dapat dipisahkan. Dengan kata
lain UMNO itu bagi orang-orang Johor lebih dari sebuah parti politik,
dia sudah jadi budaya dan keperluan bagi orang Johor. Semua aktiviti
yang berlaku di dalam kehidupan orang Johor mesti di bawah naungan UMNO.
Dari soal menguruskan ceramah-ceramah agama sehinggalah kepada soal
menguruskan kenduri kahwin. Orang-orang Johor tidak boleh bayangkan
bagaimana keadaan kehidupan ini kalau tanpa UMNO. Tentu keadaan jadi
kelam kabut, semua kerja tidak terurus. Begitulah rapatnya kehidupan
orang Johor dengan UMNO. Selama ini UMNO telah banyak mencurahkan bakti
kepada orang-orang Johor. Selama ini pemimpin UMNO yang mewakili mereka
sentiasa mengambil berat segala masalah kehidupan mereka. Pendek kata
segala-galanya berjalan dengan teratur dan terurus, jadi apa lagi yang
mereka mahu. Tidak ada sebab yang kuat untuk mereka memilih parti PAS
yang asing bagi mereka itu bagi mentadbir kehidupan mereka. Tanpa PAS
pun soal agama mereka terpelihara juga, ceramah ugama di adakan setiap
masa di masjid. Sekolah agama didirikan di merata-rata tempat. Kalau
hendak timbulkan soal pembangunan lagilah PAS tak boleh nak masuk.

Meletakkan calon PAS untuk bertanding di Johor adalah langkah yang
kurang bijak. Kalau orang Johor hendakkan PAS atau sukakan dasar PAS,
dulu lagi PAS boleh menang di Johor. Sejak merdeka saya rasa tidak ada
calon PAS yang menang di Johor. Kalau dulu PAS tak boleh menang di
Johor, atas alasan apa pula PAS boleh menang di Johor pada pilihanraya
akan datang ini. Ini bukan bermakna orang Johor tidak mahu langsung
mengundi parti lain selain dari UMNO kerana pernah di satu ketika dahulu
parti semangat 46 pernah menang di kawasan Johor. Parti PAS begitu asing
bagi orang Johor, kalau Barisan Alternatif ingin juga menang di Johor
maka mereka harus belajar bagaimana BN telah menang di Kelantan pada
suatu masa dulu. Oleh kerana orang Kelantan begitu 'alergic' dengan
parti UMNO maka BN tidak menggunakan UMNO bagi bertanding di Kelantan
sebaliknya menggunakan parti BERJASA yang mirip parti PAS untuk
bertanding di Kelantan. Dengan cara ini akhirnya BN telah dapat menawan
kelantan. Kalau di Johor ini Barisan Alternatif boleh menggunakan parti
KeADILan bagi tujuan yang sama. Semua ahli parti Barisan Alternatif
haruslah menyokong parti KeADILan untuk bertanding di Johor walaupun
tidak menjadi ahli kepada parti KeADILan. Lebih mudah orang Johor hendak
menerima parti KeADILan yang mirip UMNO dan BN itu jika dibandingkan
untuk menerima PAS yang terlalu asing bagi mereka. Kemasukan Kamarudin
Jaafar dari parti UMNO ke dalam parti PAS adalah contoh yang perlu
diikuti. Tentulah tidak manasabah kalau Kamarudin Jaafar memasuki parti
KeADILan di dalam masyarakat Kelantan yang sangat sukakan PAS.

Rasanya tentulah tidak ada masalah besar kalau ahli-ahli PAS di Johor
untuk menyokong atau memangkah parti KeADILan di dalam pilihanraya akan
datang ini bagi memenangkan Barisan Alternatif. Dan rasanya tidak salah
buat masa ini kalau ahli-ahli PAS yang ada di Johor ini menyertai parti
KeADILan sebagai ahli parti itu untuk memantapkan gerakan Barisan
Alternatif, kecualilah kalau mereka telah menganggap parti itu sebagai
agama yang tak boleh diubah walau dalam keadaan mana sekalipun. Yang
lebih sukarnya ialah untuk menarik orang UMNO di Johor memangkah calon
dari parti PAS. Dengan kata lain lebih mudah untuk menarik orang Johor
memangkah parti KeADILan berbanding parti PAS. Di samping itu tidak
mudah juga untuk menarik orang-orang bukan Islam seperti Cina dan India
untuk memangkah PAS yang dikatakan memperjuangkan negara Islam itu.

Memang tidak boleh dinafikan sebagai salah satu anggota parti Barisan
Alternatif, PAS berhak untuk bertanding di Johor, apa lagi kalau kita
lihat kepada ceramah-ceramah PAS yang di adakan di sini sentiasa
mendapat sambutan. Sambutan kepada sesi ceramah yang di adakan belum
tentu akan diterjemahkan kepada kertas undi. Lainlah kalau hampir 50%
dari pengundi di kawasan itu adalah ahli parti Barisan Alternatif, sudah
tentu boleh dijamin PAS boleh menang di kawasan itu. Dan kalau ada
kawasan undi di Johor yang mempunyai hampir 50% pengundinya terdiri dari
ahli parti alternatif, maka memang sesuai benarlah jika calon PAS
dibiarkan bertanding di kawasan itu memandangkan rekod cemerlang yang
ditunjukkan oleh pemimpin parti PAS memerintah Kelantan. Hubungan antara
parti-parti yang menyertai pakatan Barisan Alternatif berada dalam
keadaan baik dan utuh sekali, rasanya tidak ada masalah ahli parti DAP
untuk memangkah PAS jika PAS menjadi calon dalam satu-satu kawasan undi
itu. Buat masa ini matlamat untuk memenangkan satu-satu parti bukanlah
suatu yang penting. Yang lebih penting dari itu ialah hendak memenangkan
Barisan Alternatif. Nanti kerana pentingkan sangat kemenangan parti kita
tanpa disedari kita telah menyebabkan Barisan Alternatif kalah, seperti
kata pepatah yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.
Sekalipun parti kita tidak bertanding di dalam sesuatu kawasan itu,
tetapi duduk di bawah pemerintahan Barisan Alternatif adalah jauh lebih
baik dari terus duduk di bawah pemerintahan BN yang menggerunkan ini.
Oleh itu kita perlu menggunakan kebijaksanaan dalam mengatur strategi
bagi memenangkan Barisan Alternatif bukan hanya berdasarkan kepada
perasan saja.

Masalah yang dihadapi oleh orang-orang Johor sekarang ini ialah sukarnya
mereka bertukar parti dari parti UMNO kepada parti lain. Itulah masalah
utama orang-orang Johor. Masalah ini yang harus kita selesaikan terlebih
dahulu. Kalau kita dapat tukar sikap seorang dari hanya makan di
restoran A saja sudah tentu satu hari nanti dia akan mencuba makanan di
restoran kita pula. Apabila dia telah merasakan makanan di restoran B
lebih sedap dari restoran A yang selama ini disangkanya tiada makanan
yang lebih sedap dari restoran A, maka tentu akan timbul keyakinan
kepadanya mungkin ada lagi makanan yang lebih sedap dan istimewa di
restoran lain pula. Apabila ada sikap mahu berubah dan bertukar ini maka
sudah tentu akhirnya mereka akan jumpa yang terbaik. Sekarang ini tugas
kita ialah untuk mengubah sikap orang Johor supaya boleh berubah.
Sebagai langkah permulaan, pilihan yang sesuai untuk mereka mencuba
perubahan ini ialah menawarkan parti KeADILan yang tak jauh beza dengan
UMNO dan BN yang telah sebati dengan jiwa mereka. Dalam keadaan UMNO
yang pemimpinnya berada dalam keadaan yang begitu kotor dengan
amalan-amalan nepotism, kronism, rasuah, politik wang, penyalahgunaan
kuasa, memperkaya diri sendiri, menindas rakyat dan penginayaan kepada
Anwar Ibrahim maka inilah masanya yang sesuai untuk mengajak orang-orang
Johor melakukan perubahan. Menawarkan PAS kepada mereka tentulah memberi
kejutan yang amat besar, silap-silap akan ditolak mentah-mentah oleh
mereka. Tidak sepatutnya kita memperjudikan parti kita kalau kita tidak
yakin boleh menang. Wallahualam.



Komen TM;
Petikan ini di temui dalam satu laman web yang sudah usang, tarikh dan penulis tidak di ketahui. Hanya untuk bacaan sahaja.