Selasa, 6 Julai 2010

Huru-Hara Laksana Sistem Daftar Pengundi Automatik - SPR

Adalah sesuatu yang tidak masuk akal cadangan pembangkang untuk melaksanakan sistem daftar otomatik kepada pengundi muda yang mencapai usia 21 tahun. Ini kerana setiap hari akan ada yang mencapai usia 21.

Bagaimana nak menguruskan kalau setiap hari ribuan nama masuk ke SPR. Bagaimana Spr hendak meletakkan kawasan pengundian mereka. Satu lagi masalah, seorang individu telah terdaftar secara otomatik, dua hari selepas itu dia meninggal dunia. Bagaimana? tak ke pening pegawai SPR dan komputer.

Tak masuk akal langsung. Panggillah pakar IT dari mana pun ia tidak mampu melakukan. Cuba duduk dan fikir sendiri..TM dah berteori perkara ini dan lama tetapi jawapannya TIDAK BOLEH. Ia mesti berdaftar secara berasingan.



PETALING JAYA: Cadangan pelaksanaan sistem pendaftaran pengundi secara automatik akan menimbulkan huru-hara dan mengganggu kelancaran proses pilihan raya pada hari pengundian.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, adalah mustahil melaksanakan sitem itu kerana maklumat yang dibekalkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kepada suruhanjaya berkenaan tidak dikemaskini.

“Kita ada masalah untuk dapatkan maklumat terkini daripada JPN, kerana waris si mati tidak mengambi sijil kematian daripada JPN.

“Ini menyebabkan maklumat mengenai orang yang telah meninggal dunia tidak dapat dikemaskini dan dibersihkan daripada daftar pemilih yang dikeluarkan oleh SPR. Jadi kami tidak boleh dipersalahkan 100 peratus dalam hal ini,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan yang dikemukakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menggesa SPR melaksanakan sistem daftar pemilih automatik bagi menggalakkan lebih ramai orang muda mendaftar sebagai pengundi pada PRU13.

Abdul Hadi berkata masalah tersebut dapat mengatasi masalah pengundi yang tidak seimbang mengikut pecahan kaum.

Mengulas lanjut Abdul Aziz berkata, SPR turut menghadapi kekangan untuk melaksakan sistem berkenaan kerana pihaknya menggunakan kad pengenalan sebagai dokumen rasmi untuk menentukan kawasan mana seorang pengundi itu layak mengundi.

“Jika pengundi tidak mengemaskini alamat tempat tinggal semasa mereka, bagaimana SPR hendak tentukan daerah mengundi yang sesuai.

“Apabila mereka tidak dapat mengundi kerana pusat mengundi jauh daripada tempat tinggal mereka ini sudah pasti akan menyalahkan SPR, sedangkan setiap kali kita bertukar alamat mereka perlu memaklumkan kepada JPN mengenainya,” katanya.

Oleh itu, beliau menyeru agar pengundi baru mendaftar awal dan mengemaskini alamat semasa mereka bagi mengelakkan keadaan huru-hara pada hari pengundian.

“Pihak kami sentiasa memberi peringatan melalui media elektronik, cetak mahupun secara atas talian untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai perlunya mereka mengemaskini alamat mereka.

"Namun masalah ini tetap berlaku, orang ramai masih lagi dengan sikap endah-tak endah dengan perkara ini. Jadi untuk mengatasi masalah ini SPR turut mendapatkan maklumat terkini pengundi daripada pihak polis, hospital dan pihak berkuasa tempatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai tarikh PRU13, Abdul Aziz berkata masih terlalu awal untuk menentukan tarikh yang sesuai untuk melaksanannya.

“Kita ada lebih kurang tiga tahun lagi sebelum Parlimen boleh dibubarkan. Masih terlalu awal untuk membuat ramalan mengenainya.

“SPR juga akan membuat pengumuman rasmi mengenai urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya bermula pada 21 Mac tahun hadapan,” katanya.

Sebelum ini, timbul desas-desus yang menyatakan bahawa pilihan raya umum akan datang akan diadakan lebih awal daripada tahun 2013.