Isnin, 12 Julai 2010

INSTITUSI PENGHULU KEKAL RELEVEN DI PERAK

Umno dan BN Perak akan memastikan institusi penghulu yang diwarisi zaman kesultanan Melayu ratusan tahun dahulu terus relevan sebagai penghubung antara kerajaan dan masyarakat masa kini, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Katanya kerajaan negeri akan merangka pelan latihan yang lebih menyeluruh bagi mereka untuk memantapkan lagi perkhidmatan penghulu.

"Kita juga bercadang memperkenalkan skim pertukaran penghulu dari satu mukim ke mukim yang lain setiap lima tahun berdasarkan prestasi mereka," 

Kata Dr Zambry ketika berucap merasmikan Program Pemukiman Bersama Penghulu Negeri Perak di Teluk Dalam Resort, di sini Isnin.

Menurutnya, penghulu merupakan nadi pentadbiran di peringkat mukim dan menjadi contoh terbaik kepada masyarakat setempat.

"Penghulu merupakan institusi yang dikenali dan diwarisi sejak zaman berzaman serta terus dihormati oleh rakyat. Sebagai perantaraan dalam menyebarkan maklumat pentadbiran negeri, mereka juga turut berperanan melaksanakan tugas di peringkat akar umbi,"

Zambry berkata penghulu adalah pegawai kerajaan yang paling rapat dengan masyarakat khasnya di kawasan luar bandar.