Jul 20th, 2010 | By administrator  | Category:    Utama                       Oleh: MOHD FAIZAL MOHD SALLEH
SHAH ALAM 20 Julai. – Pemuda Umno Selangor pada Selasa menghantar  sejumlah dokumen kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di  sini sebagai sokongan kepada dakwaan penyelewengan pasir yang dibuat  Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Noh Omar Sabtu  lepas.
Ketua Penerangannya, Safarizul Mustafa berkata dokumen setebal  setengah inci itu dihantar bersama bukti seperti resit rasmi berkaitan  aktiviti penjualan dan pembelian pasir di negeri itu.
“Buah semangka berdaun sirih, mengata orang dia yang lebih. Kita  bukan seperti mereka yang mendakwa tanpa bukti, jadi hari ini kita  kemukakan bukti kepada SPRM untuk siasatan lanjut,” katanya kepada  pemberita di sini.
Beliau berkata semua dokumen itu diperolehi daripada badan  perhubungan Umno Selangor.
Pemuda juga akan terus mengumpul bukti berhubung isu pasir di negeri  tersebut bagi memastikan isu berkenaan diambil serius oleh Menteri Besar  Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, katanya.
Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum ini  mendakwa mempunyai bukti wujud penyelewengan dan amalan pilih kasih oleh  anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dalam  menawarkan pembelian pasir kepada syarikat kontraktor.
Antaranya beliau mendakwa KSSB memberi diskaun 22 peratus atau RM4  bagi pembelian setiap tan pasir yang berharga RM17.50 kepada sebuah  syarikat, manakala yang lain hanya diberi potongan sebanyak 50 sen.
Selain itu Noh juga mendakwa KSSB memberi kemudahan kredit kepada  sebuah syarikat dan lima kontraktor untuk mengorek pasir pasir tanpa  perlu membayar deposit. Pemuda UMNO Selangor prihatin dan memandang  serius kegagalan kerajaan negeri melalui anak syarikatnya KSSB dalam  mengurus industri pasir di negeri Selangor dengan telus, terbuka dan  penuh tanggungjawab.
Safarizul berkata, melalui siri pendedahan di media-media arus  perdana, demonstrasi dan penyerahan memorandum bantahan, menguatkan  kegurasan kami tentang berlakunya penyelewengan, amalan perlombongan  tidak terkawal dan kegiatan kecurian pasir.
“Ini jelas suatu bentuk rompakan harta rakyat di samping menjejaskan  alam sekitar serta pembangunan hartanah di masa hadapan,” ujarnya.
“Hari ini kami mendapati wujud pula bukti-bukti bahawa berlaku amalan  tidak telus, pilih kasih atau sikap double standard oleh KSSB.  Antaranya sebuah syarikat kontraktor yang dilantik KSSB memperoleh  diskaun 22% atau RM4 bagi pembelian satu tan pasir berharga RM17.50  sedangkan syarikat lain hanya diberikan potongan 50sen bagi kuantiti  sama”.
Sehubungan dengan itu, bukti-bukti yang berkaitan diserahkan kepada  SPRM untuk tindakan siasatan lanjut demi memastikan tadbir urus yang  baik sebuah anak syarikat kerajaan negeri dan untuk menyelamatkan harta  rakyat Selangor iaitu hasil daripada industri pasir daripada manipulasi  mereka yang tidak bertanggungjawab.
“Sementara siasatan berhubung dengan industri pasir ini dilakukan  SPRM, kami turut gesa kerajaan negeri mengambil tindakan sepertimana  yang terkandung dalan memorandum bantahan industri pasir yang telah  dikemukakan kepada YAB Menteri Besar Selangor pada 15 Julai yang lalu.
“Kami Pemuda Selangor juga menggesa agar kerajaan negeri memberikan  kerjasama penuh terhadap proses siasatan terhadap KSSB dan tidak  mempolitikkan isu pasir ini sebaliknya lihat ini sebagai isu urus  tadbir, ketelusan dan keterbukaan sebuah anak syarikat negeri yang  bertanggungjawab mengurus hasil bumi Selangor dan menjana pendapatan  negeri di mana kini penyelewengan besar-besaran berlaku,” ujarnya yang  juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ampang. – MediaUMNO