Selasa, 3 Ogos 2010

Ikut Perlembagaan Kerajaan Selangor Lakukan Penghinaan Besar -Dr Ramlah

SHAH ALAM, 3 Ogos – Kegagalan Kerajaan Negeri Selangor dalam insiden ketika Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah hadir merasmikan acara Festival Lagu-Lagu Islamik Antarabangsa 4 Julai lalu tidak boleh dianggap memalukan sahaja sebaliknya ia adalah kecuaian dan satu penghinaan besar kepada baginda.

Menurut Penganalisis Politik dan ahli sejarah, Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam, ia bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan dengan hanya meminta maaf sebagaimana golongan biasa sebaliknya permohonan ampun secara beradap perlu dibuat kepada baginda.

“Kita melihat Raja Permaisuri Agong adalah orang kedua selepas Yang DiPertuan Agong. Baginda adalah Permaisuri Negara dan mempunyai kedudukan yang paling tinggi selepas Agong malah ianya termaktub dalam Perlembagaan negara sendiri,” katanya kepada umno-online.com.

Menurut laporan, antara insiden memalukan itu termasuk kegagalan pegawai-pegawai tertinggi kerajaan negeri termasuk Menteri Besarnya sendiri, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menjemput ketibaan Seri Paduka pada acara tersebut.

“Kita mesti tahu tugas dalam protokol dan pelaksanaan tanggungjawab khususnya membabitkan baginda yang mempunyai kedudukan penting dalam negara. Begitu juga dengan kegagalan memaklumkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai kehadiran Raja Permaisuri Agong ke acara tersebut. Ia tidak sewajarnya berlaku,” tegas Dekan Pentadbiran Sains dan Polis, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.

Jelas beliau, dalam sistem pemerintahan Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara, kegagalan untuk meraikan Raja Permaisuri Agong adalah satu kesalahan besar.

“Sebagai rakyat biasa, minta maaf tidak boleh dibuat sebaliknya perkataan yang paling sesuai ialah memohon ampun iaitu insaf atau rasa bertaubat atas kesilapan besar yang telah dilakukan.”

Di dalam hal tersebut, beliau turut menekankan sebagai tradisi dalam masyarakat Melayu sendiri, Raja adalah ketua yang sememangnya perlu dihormati dan dipatuhi.

“Sebagai ketua pengurusan negeri dan mempunyai badan eksekutifnya sendiri, tentunya mereka maklum akan protokol berkaitan hal-hal membabitkan Yang DiPertuan Agung serta baginda Raja Permaisuri.

“Justeru soal tidak tahu adalah kecuaian dalam melaksanakan sistem pentadbiran dan protokol negara,” tegasnya lagi.

Dilaporkan juga, hanya kira-kira 200 pengunjung hadir pada festival yang diadakan di Stadium Tertutup Melawati sedangkan ia mampu memuatkan 5,000 orang penonton.

“Kegagalan kerajaan untuk memenuhi kahlayak dalam majlis tersebut juga adalah satu penghinaan terhadap baginda yang merupakan Raja Permaisuri Agong,” katanya. -MediaUMNO